FIZIKAL dan otot lemah.
FIZIKAL dan otot lemah.
DR Shazli
DR Shazli
Lizam Ridzuan


APABILA usia semakin meningkat, pelbagai perubahan fizikal dan psikologi berlaku dan kadang kala tingkah laku juga di luar kawalan terutama bagi golongan warga emas.

Sudah pasti dalam komuniti yang terdiri daripada kalangan keluarga dan orang yang rapat seperti ibu dan bapa atau datuk serta nenek mengalami perkara yang menuntut untuk kita memahaminya dengan lebih baik.

Pensyarah Kanan, Program Psikologi Klinikal & Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, menurut psikologi, apabila seseorang memasuki umur 60 tahun ke atas mereka akan berada di tahap lanjut usia iaitu tahap terakhir dalam kehidupan.

"Palmore (1984) mendapati pada tahap ini, individu tidak dapat mengela melalui perubahan fizikal yang memberi kesan kepadanya dan beberapa bentuk perubahan dilalui iaitu sistem pendengaran, penglihatan, deria rasa dan pernafasan," katanya.

Berdasarkan jantina, lelaki tua lebih banyak mengalami masalah kurang pendengaran berbanding wanita tua.

"Golongan lanjut usia juga didapati tidak dapat melihat objek dengan jelas apabila cahaya dipancar tidak cukup.

"Bekalan darah ke mata berkurangan dan menyebabkan mereka tidak dapat bezakan warna dan kebanyakan gologan ini perlu memakai cermin mata.

"Kajian mendapati pada usia 60 tahun deria rasa tidak sensitif pada rasa dan ia berkait rapat dengan deria bau dan kemerosotan serta perubahan itu mempunyai hubungan rapat dengan minat dan selera makan dalam kalangan warga emas," katanya.

Katanya, Hugo dan Hershley (1997) mendefinisikan tahap lanjut kepada empat kriteria mengikut aspek penuaan sosial iaitu individu tua akan menyesuaikan cara tingkah laku bersesuaian dengan umur dilalui.

MASALAH penglihatan antara kesan penuaan.
MASALAH penglihatan antara kesan penuaan.

"Kriteria pertama, penuaan biologika iaitu kebolehan biologikal individu khususnya berhubungan dengan kelemahan otot-otot badan sistem saraf dan keupayaan fizikal.

"Selain itu penuaan kognitif pula ialah kelemahan keupayaan mengasimilasi maklumat baru dan sukar mempelajari sesuatu pengetahuan baru.

"Begitu juga penuaan efektif iaitu memperlihatkan ciri-ciri penurunan keupayaan untuk mengubahsuai diri dengan persekitaran baharu," katanya.

Menurut Dr Shazli yang juga Presiden Bakal, Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), golongan ini terdedah kepada penyakit mental dengan dua bentuk kecelaruan berlaku iaitu kecelaruan kefungsian dan sindrom organik.

Kecelaruan kefungsian berlaku disebabkan faktor bukan dari aspek fisiologikal atau biologikal antaranya kemurungan, reaksi paranoid dan hipchondriasis.

Kemurungan dapat dilihat dengan jelas apabila mereka memperlihatkan perasaan dan tingkah laku bersedih hati yang ekstrim serta hilang minat kepada keseronokan dalam kehidupan.

Reaksi paranoid pula berprasangka tidak menentu dan tidak baik terhadap orang lain.

Mereka tidak dapat mendengar dengan baik dan tidak dapat melihat dengan jelas serta kurang daya perasa.

"Oleh itu sangat wajar untuk kita layan mereka sebaiknya tidak kira situasi yang mencabar dilalui golongan ini kerana sokongan sosial holistik dapat menyuburkan kesejahteraan warga emas ini di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2023 @ 6:20 AM