RUHAYA
RUHAYA
INDIVIDU menafikan bahaya Covid-19 kerana  optimistik, tetapi berfikiran tidak realistik.
INDIVIDU menafikan bahaya Covid-19 kerana optimistik, tetapi berfikiran tidak realistik.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SITUASI pandemik Covid-19 di Malaysia dilihat semakin membimbangkan berdasarkan kes positif harian Covid-19 sudah mencecah lebih 20,000 kes.

Bilangan mangsa yang meninggal dunia pula melepasi 10,000 orang dan peningkatan ketara itu berlaku sejak kemunculan varian membimbangkan (VOC) iaitu varian Delta.

Jika dibandingkan sembilan bulan pertama 2020, kes kumulatif kematian kurang daripada 100 orang. Namun, kini kes kematian harian mencapai 200.

Bagaimanapun, di sebalik angka yang menunjukkan lonjakan kes, masih ramai mengambil sikap tidak endah.

Bahkan, tidak mempedulikan bahaya Covid-19 kepada diri dan keluarga mereka.

Dekan Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Shukran Abd Rahman berkata, mereka seolah-olah berkeyakinan tidak akan dijangkiti penyakit berbahaya ini.

Menurutnya, ia dibuktikan apabila ramai mengambil mudah dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka ketika di tempat awam dan amalan prosedur operasi standard (SOP).

"Masih ramai enggan mengikut nasihat dan terus bersentuhan atau bersalaman dengan saudara-mara serta tidak mematuhi SOP kesihatan yang lain.

"Ini mungkin kerana mereka beranggapan tidak ada salahnya bersalaman dan berpelukan kerana sudah lama tidak bertemu.

SENTIASA patuh SOP untuk mengelakkan jangkitan Covid-19.
SENTIASA patuh SOP untuk mengelakkan jangkitan Covid-19.

"Bahkan ada yang mengambil mudah mengenai hakikat bahawa Covid-19 boleh menjangkiti sesiapa sahaja," katanya.

Beliau berkata, mungkin juga mereka berfikiran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan adalah arahan penguatkuasaan semata-mata tanpa melihatnya sebagai langkah pencegahan dan kawalan penyakit berjangkit.

"Jadi, apabila tiada lagi penguatkuasaan, mereka berasakan boleh bergerak bebas ke mana saja tanpa memikirkan kesan yang mungkin timbul sekiranya terbabit dengan pandemik ini.

"Dalam bidang ilmu psikologi sosial, perkara sebegini sering terjadi kerana terdapat individu yang berasa optimistik, tetapi berfikiran tidak realistik," katanya.

Shukran berkata, ini adalah antara kesalahan dalam proses pemikiran manusia.

Katanya, cara berkesan bagi mengatasi kesalahan dalam proses pemikiran sebegini ialah dengan membina sikap sepatutnya dalam kalangan masyarakat termasuk dua sikap yang perlu dibina.

"Pertama ialah sikap mengenai bahaya penyakit Covid-19. Usaha ini perlu digiatkan untuk memberi maklumat secukupnya berkaitan jangkitan virus itu kepada masyarakat.

"Ia bertujuan membina kesedaran dan penerimaan mengenai hakikat bahayanya pandemik berkenaan.

"Selain itu, mereka juga perlu tahu kesan jangkitan terhadap kesihatan untuk jangka masa panjang dan keadaan sosioekonomi masyarakat sekiranya wabak ini tidak dapat diuruskan dengan baik," katanya.

Jelasnya, kedua adalah sikap positif terhadap usaha memerangi pandemik Covid-19.

"Masyarakat perlu diberikan maklumat berhubung kepentingan untuk memutuskan rantaian cara virus ini merebak," katanya.

SHUKRAN
SHUKRAN

Beliau berkata, inisiatif dimainkan banyak pihak berkuasa melalui pelbagai media perlu dipertingkatkan dengan menekankan aspek perubahan dan pembinaan sikap masyarakat terhadap isu Covid-19.

Katanya, usaha meningkatkan sikap berwaspada terhadap Covid-19 adalah penting untuk mengupayakan masyarakat dalam menjaga diri daripada dijangkiti virus itu atau mengekang penularan wabak berkenaan.

Sementara itu, Penolong Profesor Jabatan Psikologi di Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM, Dr Ruhaya Hussin berkata, pembentukan sikap terhadap bahaya Covid-19 membabitkan beberapa aspek.

Menurutnya, aspek pertama adalah kognitif yang memerlukan penyebaran atau perkongsian maklumat sahih berkenaan bahaya Covid-19.

"Ia merangkumi cara virus ini merebak, menghindarkan jangkitan, kadar jangkitan dan semua maklumat berkaitan Covid-19.

"Selain itu, usaha mendidik masyarakat mengenai perkara berkaitan vaksinasi adalah perlu.

"Aspek kognitif yang cukup dan jelas akan membantu membina arah emosi atau perasaan dalam diri individu," katanya.

Beliau berkata, maklumat tepat berupaya membentuk emosi bimbang, takut dan berwaspada terhadap Covid-19.

"Perasaan ini akan mendorong individu menjauhi sebarang keadaan yang mendedahkan mereka kepada bahaya wabak terbabit.

ADA melanggar SOP dengan bersalaman.
ADA melanggar SOP dengan bersalaman.

"Maklumat ini juga membolehkan mereka berfikir sebaik mungkin sebelum mengambil sesuatu tindakan.

"Mereka juga akan melakukan tindakan sewajarnya bagi membendung jangkitan virus ini dalam komuniti seperti pemakaian pelitup muka yang sempurna, menjaga jarak fizikal, tiada ziarah-menziarahi serta menganggap setiap orang adalah penghidap atau pembawa virus Covid-19 termasuk diri sendiri," katanya.

Ruhaya berkata, sikap seperti ini perlu dibina dalam kalangan masyarakat supaya mereka menjaga diri sendiri dan ahli keluarga daripada bahaya Covid-19.

Di samping itu, katanya, penguatkuasaan undang-undang daripada pihak berkuasa perlu terus dilaksanakan.

Beliau berkata, menurut kajian, sikap lebih mudah untuk berubah jika dibandingkan dengan tingkah laku.

"Dalam sesetengah keadaan, perubahan sikap didokong oleh maklumat yang banyak serta jelas akan menjurus kepada perubahan tingkah laku individu.

"Contohnya Ops Sikap Covid-19 boleh diadakan untuk meningkatkan maklumat masyarakat mengenai bahaya wabak ini, cara ia tersebar dan kesannya kepada diri serta masyarakat.

"Ops ini perlu membabitkan langkah menyeluruh yang bukan sahaja dirangka dan dilaksanakan kementerian tertentu, tetapi juga oleh semua kementerian, agensi atau organisasi berkaitan," katanya.

Selain itu, katanya, peranan ahli profesional dan akademik dalam bidang kesihatan serta ilmu kemanusiaan dan kemasyarakatan perlu digembleng bersama bagi menjayakan kempen pembinaan sikap dalam mencegah penularan pandemik Covid-19.

KORBAN mangsa jangkitan Covid-19 semakin bertambah.
KORBAN mangsa jangkitan Covid-19 semakin bertambah.

"Teori, prinsip dan amalan dalam ilmu psikolologi, sosiologi, komunikasi, sejarah, bahasa, pendidikan agama serta lainnya perlu dimanfaatkan untuk mendidik masyarakat demi merubah dan membina sikap waspada terhadap pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 6:20 AM