SALIN lampin sebelum menidurkan anak juga kaedah untuk buat anak lebih selesa.
SALIN lampin sebelum menidurkan anak juga kaedah untuk buat anak lebih selesa.
Nurul Husna Mahmud


Kajian berlainan mengenai tabiat tidur kurang sihat terutama tempoh tidur tidak cukup lapan hingga sembilan jam bagi kanak-kanak didapati memberi kesan terhadap kesihatan mental dan fizikal.

Lebih menggerunkan selain kanak-kanak berpotensi mengalami masalah obesiti dan bantut, kemungkinan tinggi mereka berdepan psikologi yang serius.

Satu kajian pernah diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Amerika Syarikat mengenai mengenai tidur dan kanak-kanak berkaitan risiko untuk membunuh diri pada 2018, memberi hasil penemuan yang membimbangkan.

Ada perkaitan yang kuat antara emosi, perlakuan mencederakan diri dalam kalangan remaja iaitu tiga hingga empat kali lebih tinggi berisiko merancang atau melakukan percubaan membunuh diri bagi mereka yang tidur kurang enam jam berbanding remaja yang memiliki tidur mencukupi (lapan jam).

Menyedari kepentingan tidur begitu penting dalam perkembangan kanak-kanak, Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) Anisa Ahmad, berkongsi tip dan kaedah terbaik boleh dilakukan ibu bapa.

Beliau yang berpengalaman hampir tiga dekad dalam pengasuhan kanak-kanak terutama di awal perkembangan berkata, kanak-kanak dipengaruhi cara ibu bapa atau pengasuh menidurkan mereka.

"Berkait dengan tabiat sebenarnya kebiasaan atau ragam kanak-kanak tidur bergantung kepada cara ibu bapa atau pengasuh mengatur rutin itu.

"Jika lihat kepada perkembangan pula, ada pola atau kitaran tertentu dan berubah mengikut perkembangan mereka.

"Sejak lahir tempoh tidur bayi lebih panjang iaitu 15 hingga 16 jam dan tempoh itu berkurangan seiring peningkatan usia.

"Berbanding pada usia tiga hingga enam tahun apabila tempoh tidur kanak-kanak menjadi 12 hingga 10 jam kerana sudah aktif.

"Ketika peringkat usia tiga tahun ke atas perlu latih untuk tidur malam yang konsisten selain mengekalkan tidur siang lebih pendek (nap)," katanya.

Dalam persekitaran di taska, pengasuh sudah menetapkan waktu tidur siang dengan tempoh tertentu bagi membolehkan kanak-kanak memiliki rehat mencukupi bagi sesi bermain.

BIARKAN anak bermain sebelum tidur kerana ia membantu mereka melelapkan mata.
BIARKAN anak bermain sebelum tidur kerana ia membantu mereka melelapkan mata.

Anisa berkata, cabaran untuk menyemai tabiat tidur baik adalah melaraskan rutin berkenaan di rumah dan di taska.

"Di taska, pengasuh sudah menetapkan tabiat atau pola tidur di sebelah siang bergantung kepada usia kanak-kanak, tetapi apabila cuti panjang dan dijaga ibu bapa jadual rutin tidur terganggu.

"Biasalah hujung minggu atau cuti panjang, ibu bapa mempunyai perancangan tersendiri untuk anak mereka sama ada pergi bercuti atau diberi menonton televisyen dan bermain gajet.

RISIKO lebih tinggi untuk bunuh diri bagi remaja yang tidur kurang lapan jam.
RISIKO lebih tinggi untuk bunuh diri bagi remaja yang tidur kurang lapan jam.

"Jadi, terpaksa 'reset' semula rutin kanak-kanak termasuk tidur. Kebiasaannya untuk mengembalikan pola tidur seperti sediakala terpaksa mengambil tempoh yang panjang," katanya.

Menjelaskan persediaan sebelum tidur adalah penting termasuk dalam pemilihan makanan sebelum tidur.

"Jauhkan kanak-kanak tidur dalam keadaan terlalu kenyang atau lapar. Kanak-kanak juga hendaklah dijauhkan dari mengambil terlalu banyak makanan atau minuman yang manis serta berkafein.

"Hadkan pengambilan gula-gula, minuman berkarbonat, ais krim, kopi, teh dan minuman bercoklat.

ANISA
ANISA

"Minum susu suam dapat membantu kanak-kanak untuk mudah tidur," katanya.

Tambah Anisa, terdapat teknik tertentu yang boleh diamalkan ibu bapa untuk membantu anak mereka mendapatkan tidur yang lena sebelah malam antaranya:

1. Suasana tempat tidur hendaklah bersuhu 25 darjah Celsius yang paling ideal. Tidak terlalu panas.

2. Suasana tenang, boleh buka nyanyian zikir atau alunan al Quran, tetapi tidak terlalu kuat.

3. Suasana bilik tidur yang malap dan tidak terdedah kepada cahaya matahari atau lampu yang terang.

4. Berkeadaan bersih. Maksudnya tukar lampin atau tukar pakaian anak jika kotor. Jika perlu bilas atau mandikan jika terlalu berpeluh dan berbau busuk.

5. Pastikan mereka aktif secara fizikal ketika sebelah siang dan tidak ditidurkan dalam keadaan terlalu kenyang atau lapar.

6. Elak amalan tidur sekejap atau bangun lambat pada hujung minggu. Ia bukan satu rutin tidur yang sihat kerana tabiat baik adalah konsisten setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 7:00 AM