CARA duduk begini walau dianggap selesa namun untuk jangka panjang boleh beri kesan buruk kepada kesihatan tulang.
CARA duduk begini walau dianggap selesa namun untuk jangka panjang boleh beri kesan buruk kepada kesihatan tulang.
Nurul Husna Mahmud

'DUDUK betul-betul, jangan bersimpuh macam katak, nanti jalan mengengkang.' Itu antara pesanan yang sering penulis dengar ketika zaman kanak-kanak apabila acap kali duduk dalam posisi kedua-dua kaki kuak ke belakang.

Baik ibu mahupun orang lebih dewasa beranggapan duduk dalam keadaan itu tidak sopan dan tidak manis dipandang. Apatah lagi pada anak kecil terutama perempuan perlu duduk dengan merapat kedua-dua kaki.

Kalau dilihat isu itu bukan sahaja pernah berlaku kepada penulis, tetapi kebanyakan kanak-kanak yang dilihat lebih selesa duduk dalam keadaan bersimpuh katak.

Melihat tabiat duduk 'unik' ini, timbul rasa ingin tahu sejauh mana tabiat berkenaan boleh memberi kesan kepada kesihatan anak kecil jika berlarutan sehingga usia meningkat dewasa.

Justeru, persoalan itu dibawa kepada Pakar Perunding Ortopedik dan Trauma Hospital Columbia Asia Setapak Dr Shamsul Iskandar Hussein untuk mendapatkan gambaran lebih jelas.

Menurut pakar itu tidak dinafikan tabiat duduk berkenaan lebih selesa sejak di peringkat awal usia lagi dan lebih ketara pada kalangan anak-anak menginjak prasekolah.

DUDUK bersimpuh katak sering berlaku pada kanak-kanak.
DUDUK bersimpuh katak sering berlaku pada kanak-kanak.

"Kebiasaan kanak-kanak yang mempunyai tabiat ini adalah dalam kalangan usia umur 18 bulan hingga enam tahun. Pada peringkat awal inilah biasanya struktur tulang paha kanak-kanak 'terubah' bentuk (femoral anteversion) menyebabkan posisi duduk simpuh katak lebih selesa untuk kanak-kanak berbanding duduk bersila.

"Kita faham kedudukan simpuh itu berlaku ketika duduk di lantai dalam posisi W. Bahagian yang mana lutut dalam keadaan bengkok, punggung terletak di lantai sementara kaki berlipat setiap sisi. Kaki ini juga sama ada akan terkuak atau rapat pada sisi," katanya.

Meskipun tabiat itu normal sahaja akibat dipengaruhi fisiologi atau pertumbuhan kanak-kanak, kata Shamsul Iskandar untuk jangka masa yang panjang, ia boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan tulang.

"Seiring dengan peningkatan usia kanak-kanak, mereka juga akan berubah kerana di peringkat kanak -kanak antara lapan hingga 10 tahun ke atas, akan lebih selesa untuk duduk secara bersila.

"Dalam kanak-kanak terlalu asyik bermain sehinggakan mereka duduk dalam postur itu terlalu lama, dikhuatiri ia boleh memberi komplikasi terhadap perkembangan otot teras badan.

BERMAIN di lantai menyebabkan kanak-kanak selesa dalam keadaan simpuh katak.
BERMAIN di lantai menyebabkan kanak-kanak selesa dalam keadaan simpuh katak.

"Organ seperti otot abdomen, tulang belakang dan pelvis memainkan peranan penting dalam pengimbangan badan. Kalau ia berterusan, tabiat ini boleh memberi implikasi terhadap masalah pergerakan," katanya.

Tambah Dr Shamsul Iskandar lagi untuk kanak-kanak mengalami masalah kesihatan tertentu, impak dialami mereka lebih buruk.

Ini merujuk kepada kanak-kanak yang mengalami penyakit seperti Sindrom Down, Ehler Danlos dan kondisi seperti Cerebral Palsy dan Spina Bifida.

Andai kanak-kanak menghidapi penyakit terbabit mempunyai tabiat duduk simpuh W, tona otot kanak-kanak ini akan berubah, sama ada menjadi terlalu keras atau lemah.

KANAK-kanak duduk di kerusi atau guna meja elak tabiat duduk simpuh katak.
KANAK-kanak duduk di kerusi atau guna meja elak tabiat duduk simpuh katak.

Terutama untuk kanak -kanak yang mempunyai Cerebral Palsy atau Spina Bifida, mereka boleh mengalami masalah gangguan pertumbuhan tulang.

Dalam merawat komplikasi akibat tabiat duduk berkenaan, kata Dr Shamsul Iskandar, doktor boleh membuat pemeriksaan ke atas kanak-kanak termasuk saringan dalam memastikan kanak-kanak berkenaan tiada mempunyai penyakit yang berkait seperti Spina Bifida.

Namun ditekankan Dr Shamsul Iskandar ialah peranan ibu bapa dalam memastikan mereka lebih peka dalam mencegah memiliki tabiat duduk sedemikian.

"Ibu bapa perlu memastikan anak supaya duduk secara bersila atau menggunakan kerusi untuk duduk ketika membaca buku atau membuat kerja rumah untuk menggantikan posisi duduk simpuh katak," katanya.

Dr Shamsul Iskandar
Dr Shamsul Iskandar

Antara penyelesaian berkaitan komplikasi tabiat simpuh W:

1) Rawatan lebih menjurus kepada pemantauan kerana biasanya masalah ini akan pulih dengan sendiri.

2) Bagi segelintir kanak-kanak, mungkin memerlukan pembedahan pembetulan tulang paha (Derotational Osteotomy) untuk pulih seperti sedia kala.

3) Bagi kanak-kanak yang mengalami sakit seperti Sindrom Down dan Cerebral Palsy, ahli fisioterapi dan jurupulih tata kerja boleh membantu kanak-kanak berkenaan dengan menyediakan posisi lain, sokongan fisio dan tempat duduk supaya mereka dapat duduk dalam keadaan yang sesuai.

PERBEZAAN struktur tulang paha antara kanak-kanak lebih dewasa, pada usia pra sekolah dan lebih terubah.
PERBEZAAN struktur tulang paha antara kanak-kanak lebih dewasa, pada usia pra sekolah dan lebih terubah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 7:00 AM