PADANAN jaket kulit hitam dan kemeja-T putih menonjolkan gaya ranggi.
PADANAN jaket kulit hitam dan kemeja-T putih menonjolkan gaya ranggi.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

MENYARUNG adi busana berona hitam putih menjadi suatu trend yang tidak lapuk ditelan zaman. Malah, ia sentiasa mempunyai peminat tersendiri.

Dalam kalangan mereka yang menyarungkan busana berona hitam atau putih sering kali dilihat mempamerkan personaliti ringkas. Tidak kurang juga menyerlahkan diri yang berkecimpung dalam dunia kreatif.

Penganalisis fesyen, Faizal Hamid berkata, dalam dunia kontemporari yang mencabar dan rumit, adalah sesuatu yang amat menyakinkan dengan pilihan kemas, ringkas dalam rona hitam dan putih.

"Terutama apabila ia dipersembahkan dalam rona monokromatik variasi reka corak bintik polka, petak, struktur jalur, grid, geometrik, blok warna dan cetakan menegak atau serong yang dapat memberi ilusioptikal cukup menarik pada potongan badan.

"Perlu diingat, tambahan warna lain akan mengurangkan impak keseluruhan. Oleh itu, jika bahagian leher (neckline) anda dirasakan perlu tambahan aksesori, pilih rekaan aksesori yang unik juga dalam rona hitam atau putih," katanya.

Jelasnya, sebagai pelengkap gaya padankan kasut hitam atau putih atau kombinasi dua warna itu dan seharusnya gaya solekan perlu tidak berlebihan selain hanya difokuskan pada kening dan bentuk atau kontur struktur tulang wajah anda.

"Kesederhanaan rona monokromatik hitam dan putih menjadikan ia trend klasik yang malar segar. Selain sentiasa menjadi antara trend yang mendominasi pilihan kita dalam berpakaian.

PEMAKAIAN gaun bintik polka hitam putih sememangnya malar segar.
PEMAKAIAN gaun bintik polka hitam putih sememangnya malar segar.

"Ia cukup mudah digayakan kerana keseimbangan kombinasi hitam dan putih yang sentiasa memberi kesan positif serta menarik kepada si pemakainya," katanya.

Tambahnya, rona hitam dan putih adalah simbol wanita klasik yang tegas serta rapi dalam penampilan.

Justeru, Faizal kongsikan beberapa tip dalam pemakaian berona hitam atau putih:

Antara gaya menarik ialah gabungan kemeja-T putih dan seluar hitam, pakaian hitam dipadankan dengan aksesori putih. Rekaan fesyen yang menggabungkan hitam dan putih paling sesuai kasut hitam sebagai pelengkap gaya.

Paling istimewa kombinasi hitam dan putih bukan hanya hebat digayakan dari hujung rambut ke hujung kaki, tetapi juga menyerlah apabila dipadankan dengan jean biru atau aksesori berani.

Kombinasi reka corak berani

- Cuba padankan blaus dengan reka corak sederhana atau sebagai alternatif pilih top polkadot dan skirt jalur yang kedua-duanya dalam warna hitam serta putih.

Polos dan reka corak

- Terdapat pelbagai skirt atau seluar dalam variasi reka corak hitam dan putih di pasaran. Paling mudah, cuba gayakan ia dengan top rona polos hitam dan jika berani cuba lengkapkan gaya dengan aksesori metalik. Anda juga boleh mencuba padanan top atau blaus dengan reka corak hitam putih dan skirt atau seluar polos hitam atau putih.

CORAK gaun bintik polka bertanah hitam mampu menarik perhatian.
CORAK gaun bintik polka bertanah hitam mampu menarik perhatian.

Padanan putih dan aksesori hitam

- Bagi mereka yang gemar memakai padanan pakaian yang semuanya putih. Apa kata anda tampilkan sekali padanan rona hitam dalam bentuk kasut dan aksesori seperti kaca mata hitam, beg dan skaf untuk gaya super chic serta urban. Anda juga boleh mengaplikasikan konsep yang sama iaitu memadankan rekaan top dan skirt atau seluar atau gaun dalam warna hitam dengan akseori putih.

Suntik rona ceria

- Jika anda tetap mahu menambah warna lain bersama padanan hitam dan putih, pilihan yang tepat adalah rona semula jadi seperti coklat, perang atau metalik bagi menyuntik rona ceria pada skaf, beg atau kasut.

Kombinasi istimewa warna hitam dan putih dengan ciri-ciri potongan dan garisan kemas serta siluet yang mantap, kekal diminati kerana keistimewaannya yang boleh menjadikan sesiapa sahaja kelihatan anggun sebaik sahaja menggayakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 6:30 AM