WANITA memerlukan hobi untuk keluar daripada kepompong tugasan harian.
WANITA memerlukan hobi untuk keluar daripada kepompong tugasan harian.
Muhamaad Razis Ismail

Wanita sering dikaitkan dengan pelbagai tanggungjawab yang tidak putus-putus.

Apa tidaknya wanita dibebani dengan tugasan sebagai seorang ibu, isteri, kakitangan di tempat kerja, ahli masyarakat dan pelbagai lagi.

Situasi ini menyebabkan ramai dalam kalangan wanita terutama yang sudah mendirikan rumah tangga terpaksa melupakan hobi yang sering dilakukan apabila perlu memberi tumpuan terhadap keluarga dan kerjaya.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, International Islamic University Malaysia (IIUM), Dr Nor Faiza Mohd Tohit berkata, mempunyai hobi atau melakukan sesuatu yang diminati boleh membawa seseorang wanita itu keluar daripada kepompong tugasan harian.

"Hobi tidak semestinya perlu mengeluarkan belanja yang besar. Duduk di balkoni sambil menghirup kopi dan membaca buku kegemaran masih boleh dikira hobi.

"Apa yang penting, ia adalah sesuatu yang disukai dan di luar bidang tugasan harian," katanya.

LAKUKAN hobi dengan anak dapat mengeratkan hubungan.
LAKUKAN hobi dengan anak dapat mengeratkan hubungan.

Menurutnya, apabila melakukan tugas yang sama setiap hari, seseorang wanita itu mungkin berasa bosan, terbeban dan tidak bersemangat.

"Dengan mempunyai hobi, ia dapat menghilangkan rasa bosan daripada melakukan tugasan harian.

"Hobi juga dapat memberi perspektif dan pengalaman berbeza daripada tugasan harian. Oleh itu, wanita itu dapat membentuk semangat baru dan lebih berdaya saing apabila kembali menjalankan tugasan hariannya," katanya.

Dr Nor Faiza berkata, dengan mempunyai hobi, seseorang itu akan cuba untuk menjayakan perkara yang digemarinya.

"Dia perlu mempelajari pelbagai perkara baru. Ini akan menjadikan dirinya lebih penyabar, tidak berputus asa dan membentuk sikap ingin belajar dan mencuba.

"Sebagai contoh, apabila seseorang wanita berkecimpung dengan penanaman pokok hiasan, dia perlu mempelajari langkah-langkah penjagaan pokok-pokok supaya terus subur dan seandainya timbul beberapa permasalahan seperti pokok menjadi layu atau tidak berbunga, wanita perlu bersabar dalam menghadapi cabaran itu.

"Dalam masa yang sama, dia perlu terus berusaha dan mempelajari teknik-teknik tanaman yang sepatutnya supaya pokok-pokok hiasan hidup subur serta segar," katanya.

MENANAM pokok boleh melatih diri menjadi seorang yang penyabar.
MENANAM pokok boleh melatih diri menjadi seorang yang penyabar.

Pada masa sama, hobi dapat membantu wanita menjalinkan hubungan sosial kerana apabila bersama-sama dengan mereka yang mempunyai minat sama, ia akan menggalakkan perkongsian cerita, idea dan maklumat.

Dr Nor Faiza berkata, menerusi hobi, wanita dapat membentuk personaliti yang lebih menarik.

"Mereka akan mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang lebih luas mengenai hobinya.

"Malah mereka boleh menceritakan dan berkongsi pengalaman serta kisah-kisah berkaitan hobi mereka dengan individu lain. Ini akan menjadikan mereka mempunyai tahap keyakinan diri yang lebih baik," katanya.

Tambahnya, hobi yang dilakukan secara bersungguh-sungguh mampu menjana pendapatan yang secara tidak langsung dapat membantu membaiki ekonomi keluarga.

"Antara hobi yang mampu menjana pendapatan termasuk membuat kek, melukis atau menanam pokok hiasan yang kini mendapat sambutan menggalakkan menerusi jualan secara dalam talian," katanya.

Jelasnya, hobi juga dapat mengisi masa lapang, merehatkan minda dan menghilangkan tekanan yang dialami daripada tugasan harian.

"Situasi ini amat bagus untuk kesihatan mental wanita.

"Wanita yang mempunyai kesihatan mental yang bagus akan mempengaruhi keceriaan dan keharmonian dalam keluarganya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2022 @ 7:00 AM