NORMALIA mencuri perhatian netizen selepas tular videonya memanjat Menara Berkembar KLCC. FOTO Ihsan Siva Kumar
NORMALIA mencuri perhatian netizen selepas tular videonya memanjat Menara Berkembar KLCC. FOTO Ihsan Siva Kumar
Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Status sebagai wanita berhijab dan ibu seorang anak bukan halangan untuk Normalia Sidek untuk 'menawan' bangunan pencakar langit.

Keberaniannya terbukti apabila sanggup mempertaruhkan nyawa dengan mencari rezeki sebagai juruteknik akses tali.

Baru-baru ini, Normalia mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya kagum apabila jurugambar, Siva Kumar memuat naik videonya memanjat Menara Berkembar KLCC.

Mengakui terkejut dengan kisah yang tular itu, Normalia berkata, bangunan ke-20 tertinggi di dunia itu adalah bangunan paling tinggi pernah 'ditakluknya' setakat ini.

Di sebalik keberaniannya, Normalia mendedahkan dia sebelum ini bekerja di butik pakaian sebelum beralih menjadi juruteknik akses tali, kira-kira empat tahun lalu.

NORMALIA menjadi juruteknik akses tali empat tahun lalu.
NORMALIA menjadi juruteknik akses tali empat tahun lalu.

"Hobi saya dulu adalah memanjat tebing, namun tidak sangka kini dapat panjat bangunan tinggi pula.

"Bagaimanapun, laluan saya tidak mudah kerana perlu mengambil lesen dahulu sebelum dapat pentauliahan serta ada keyakinan memanjat bangunan tinggi.

"Pada awalnya dulu memang ada rasa gayat, tetapi lama-kelamaan sudah jadi biasa dan mengetepikan rasa takut kerana fokus untuk menghabiskan tugasan saja," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurut Normalia, keluarga terutama suami, Abdul Hazim Abdul Rashid, 27, tidak membantah, sebaliknya memberi galakan untuk menceburi bidang berkenaan.

KEBERANIAN Normalia terbukti apabila sanggup mempertaruhkan nyawa dengan mencari rezeki sebagai juruteknik akses tali.
KEBERANIAN Normalia terbukti apabila sanggup mempertaruhkan nyawa dengan mencari rezeki sebagai juruteknik akses tali.

"Suami bekerja dalam bidang sama, jadi dia yang menjadi penyokong nombor satu dan memberi semangat kepada saya.

"Kami juga berkenalan selepas saya bekerja dalam bidang ini dan jodoh menyatukan kami hingga menjadi suami isteri," katanya yang juga anak kelahiran Nilai, Negeri Sembilan.

Biarpun mempunyai pengalaman, Normalia tidak sesekali mengambil mudah aspek keselamatan, malah sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan tugas diberi.

"Sebelum memulakan tugas, saya akan memastikan kelengkapan pakaian perlindungan diri (PPE) dalam keadaan baik dan antara tugas saya adalah melakukan penyelenggaraan.

"Cuma, perasaan cemas tetap ada lebih-lebih lagi ketika angin terlalu kuat dan tiada tempat berpaut. Itu perkara biasa dan paling menyeronokkan apabila sesuatu projek berjaya dilaksanakan," katanya.

ASPEK keselamatan diberi perhatian sebelum mulakan tugas.
ASPEK keselamatan diberi perhatian sebelum mulakan tugas.

Buat masa ini, Normalia berpuas hati dengan apa dilakukannya dan tidak terfikir untuk berhenti.

"Pekerjaan saya ini memang nampak bahaya dan hanya yang berani saja sanggup melakukannya, tetapi gajinya juga berbaloi.

"Belum masanya untuk saya beralih bidang, sebaliknya perancangan saya adalah merebut peluang kerja di luar negara dalam bidang pemeriksaan Ujian Tanpa Musnah (NDT).

"Jika ada rezeki, saya mahu menakluk Burj Khalifa di Dubai pula suatu hari nanti kerana itu adalah salah satu impian sejak dulu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 7:30 AM