MURAD menunjukkan cara tumbukan yang betul kepada Marini.
MURAD menunjukkan cara tumbukan yang betul kepada Marini.
TUMBUKAN padu antara yang diajar Murad.
TUMBUKAN padu antara yang diajar Murad.
TUMBUKAN padu antara yang diajar Murad.
TUMBUKAN padu antara yang diajar Murad.
LATIHAN di atas mesin larian untuk stamina.
LATIHAN di atas mesin larian untuk stamina.
Siti Zarinah Sahib

Mengenakan pakaian sukan lengkap dan sarung tangan tinju, wanita ini bersedia melakukan pergerakan tinju yang sudah menjadi rutin harian pada setiap minggu.

Sambil menuju ke arah beg tinju yang ada di sekitarnya dia melepaskan beberapa siri tumbukan. Tumbukan yang bermula perlahan menjadi semakin padu dan bertenaga. Kelihatan riak wajah agak tenang - menandakan dia berpuas hati kerana dapat melakukannya dengan baik.

Bertempat di Xclusive Fitnesz, Stadium Shah Alam, Marini Mat Zain bersama jurulatih peribadi, Murad Zaidi menjalani latihan tinju.

Sejak sebulan lalu sukan ini berjaya mengubah kehidupannya.

Daripada langsung tidak pernah melakukan tumbukan atau tendangan, tetapi kini ia seakan-akan menjadi ‘makanannya’. Jika tidak berlatih, bagaikan ada sesuatu yang tidak kena.

Perkenalannya terhadap sukan ini bermula selepas dia menyedari perlu menjaga kesihatan lantaran berat badan semakin bertambah. Selama ini dia melakukannya sendiri dengan menjalani latihan di gimnasium atau paling malas bersenam di rumah.

“Namun semua itu bersifat sementara. Setahun lalu, saya diserang strok ringan dan detik itu mengubah kehidupan saya sepenuhnya. Begitupun setahun juga saya hendak mengikut kata doktor agar segera bersenam. Bagaimanapun, saya langsung tidak menjaga pemakanan menyebabkan tiada perubahan pada berat badan. Jadi saya berasakan perlunya bimbingan agar tahu senaman yang berkesan dan pemakanan sesuai.

“Pertemuan dengan Murad yang juga pemilik Xclusive Fitnesz, merubah segalanya. Saya diberikan jadual setiap minggu dan perlu melakukan rutin harian di gimnasium serta kelas tinju. Saya bangga mengatakan dalam tempoh dua bulan, berat berkurang enam kilogram,” katanya yang juga penulis blog www.marinimz.com.

Turut menganggap sebagai seni bela diri, Marini mengatakan dia pada mulanya takut melakukan tumbukan pada beg tinju, tetapi jurulatih bijak mententeramkan perasaan dengan mengajar perkara asas.

Baru-baru ini model Amerika, Gigi Hadid diserang peminat fanatik dan dengan pantas dia bertindak. Hasil latihan tinju, dia berjaya melepaskan diri dan ternyata sukan ini penting untuk wanita mempertahankan diri.

“Ia bermula dengan asas pergerakan, pukulan serta posisi badan. Kemudian baru dipindahkan kepada beg tinju. Namun sebelum itu saya perlu lakukan latihan kardio di atas mesin larian dan mengangkat bebanan untuk stamina,” katanya.

Otot makin mantap

Tinju tidak hanya membuatkan badan berpeluh, tetapi menjadikan otot semakin mantap dan proses penurunan berat badan akan berlaku secara perlahan-lahan. Bukan itu saja, tubuh akan terbentuk cantik dan lebih ramping disebabkan pergerakan yang dilakukan tanpa henti.

“Kombinasi kardio dan teknik pergerakan mendorong tubuh untuk membakar kalori dengan lebih cepat antara 450 dan 750 kalori dalam satu jam. Untuk hasil penurunan berat badan yang lebih baik, latihan tinju perlu digandingkan dengan senaman di gimnasium,” kata Marini.

Bukan saja bersenam, Marini juga diajar cara pengambilan makanan yang betul. Antaranya mengurangkan pengambilan makanan berminyak, berlemak, tanpa gula dan garam.

“Murad mengajar saya kaedah pengambil makanan dengan betul bermula sarapan, tengah hari dan malam. Saya langsung tidak dibenarkan mengambil makanan berminyak atau yang mengandungi garam dan gula. Paling penting banyak minum air kosong - dua hingga tiga liter sehari.

“Kebanyakan makanan saya sediakan sendiri menggunakan kaedah kukus dan panggang. Minyak yang dibenarkan cuma minyak zaitun. Beras perang dan roti perang menjadi sumber karbohidrat saya.

Mulanya memang rasa janggal tetapi alah bisa tegal biasa. Selepas tiga bulan saya sudah serasi,” katanya.

Menurut Murad, sukan tinju untuk wanita memberi penekanan kepada pergerakan kardio dan meminimumkan latihan fizikal agar tidak terlalu keras. Ketika melakukan gerakan, seluruh bahagian tubuh bergerak yang membantu pembakaran kalori secara efektif dalam satu sesi latihan.

Selain pukulan kukuh, gerakan kaki juga perlu tangkas melangkah seiring dengan lawan. Peserta perlu memahami proses adaptasi latihan ‘stance’ iaitu gaya gerakan tubuh dan pukulan kepada lawan.

“Latihan ini membuatkan kita bersemangat dan tenaga bertambah. Dari segi fizikal ia dapat meningkatkan kekuatan, fleksibiliti, koordinasi dan keseimbangan yang lebih baik menerusi pergerakan belakang, pinggang, kaki dan tangan,” katanya.

Sukan tinju juga menjadi senaman yang baik untuk mengurangkan tekanan selepas bekerja. Ini kerana ketika tangan anda menghayunkan tumbukan ia melepaskan endorfin. Hormon ini membantu mengurangi rasa tertekan. Berada dalam keadaan tenang menjadikan tidur lebih lena dan meningkatkan daya tumpuan untuk kita lebih fokus.

Jelas Murad lagi, ramai selebriti di luar negara seperti Jennifer Lopez dan Scarlett Johansson melakukan latihan tinju untuk mendapatkan bentuk badan idaman mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2016 @ 11:17 AM