MARIAM (dari kiri) dan Hazzerwan pelapis dalam industri fesyen tempatan. FOTO Asyraf Hamzah
MARIAM (dari kiri) dan Hazzerwan pelapis dalam industri fesyen tempatan. FOTO Asyraf Hamzah
Hafiz Ithnin

UNGKAPAN ‘ikan di laut, asam di darat, dalam periuk bertemu juga’ umpama sepadan dengan pasangan pereka fesyen muda, Hazzerwan Hazzlee dan Mariam Musa ini kerana kian menjadi sebutan dalam kalangan mereka yang berada dalam industri itu.

Berlatarkan cita rasa yang berbeza dalam penghasilan karya fesyen, mereka tidak menyangka perbezaan itu mampu mengangkat jenama bersama yang dikenali sebagai Wan & Mary sejak 2018 meraih pelbagai kejayaan dalam setiap pertandingan rekaan fesyen yang disertainya di dalam negara.

Kedua-dua pereka fesyen berusia 30 tahun itu sebenarnya masih baharu tetapi aura sentuhan dalam menata hias gaya pakaian dari couture sehingga ‘ready to wear’ (RTW) tidak pernah mengecewakan.

Hazzerwan berkata, dia cenderung kepada kepada rekaan pakaian berkonsepkan seperti couture dan gemar memainkan warna ringkas di atas fabrik seperti polos serta alam semula jadi.

Mariam pula lebih cenderung kepada rekaan pakaian formal seperti uniform memandangkan selepas menamatkan pelajaran dalam bidang fasyen di sebuah institusi pendidikan tempatan dia lebih memfokuskan kepada pengeluaran pakaian konsep berkenaan.

Hazzerwan berkata, apabila digabungkan dalam sebuah pertandingan realiti televisyen dua tahun lalu mereka merasakan cita rasa yang berbeza itu sebenarnya mampu menghasilkan sebuah karya fesyen menarik sehingga berjaya dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan itu.

“Hingga kini, apabila kami menyertai sebarang pertandingan ada juga yang memberi kata sinis, tidak perlu sertai kerana pasti berada dalam senarai pemenang.

GABUNGAN idea dalam menata hias fabrik untuk menghasilkan gaya fesyen terbaik sentiasa menjadi keutamaan. FOTO Asyraf Hamzah
GABUNGAN idea dalam menata hias fabrik untuk menghasilkan gaya fesyen terbaik sentiasa menjadi keutamaan. FOTO Asyraf Hamzah

“Bagaimanapun, kami tidak merasakan begitu kerana setiap kali bertanding Wan & Mary amat bekerja keras untuk menghasilkan karya fesyen yang terbaik serta tidak pernah merasa puas. Apatah lagi, kami adalah pendatang baharu,” katanya.

Resipi kejayaan mereka menempah nama dalam setiap pertandingan adalah sentiasa mendapatkan nasihat daripada orang lama di dalam industri dan tidak terlepas pastinya membuat kajian terperinci mengenai sesuatu gaya sebelum dihasilkan.

Mariam mengakui dia dan Hazzerwan pendiam dan tidak banyak bercakap bukan kerana sombong tetapi perasaan malu cukup menebal apabila berada di khalayak ramai.

PELBAGAI anugerah diraih sejak bekerjasama. FOTO Asyraf Hamzah
PELBAGAI anugerah diraih sejak bekerjasama. FOTO Asyraf Hamzah

“Mujur kami mempunyai mentor yang hebat dan berpengaruh di dalam industri fesyen tempatan iaitu Faizal Hamid dan Zaihani Mohd Zain yang banyak memberi tunjuk ajar dan memperkenalkan kami dengan ramai pemain industri berpengaruh tempatan.

“Tidak sekadar itu, setiap rekaan yang dihasilkan juga kami sedia untuk dikritik kedua-duanya untuk mendapatkan sebuah hasil karya dalam fesyen yang terbaik. Kata orang biar bergaduh dahulu sebelum bertanding untuk mendapatkan hasil terbaik untuk dinilai juri,” katanya.

Mengenai rekaan fesyen yang dihasilkan mereka, Hazzerwan berkata, gabungan yang mempunyai cita rasa berbeza, akhirnya mereka sepakat untuk menghasilkan konsep adunan avand garde dan gaya jalanan iaitu eksperimen dalam potongan pakaian berasaskan couture menghasilkan sesuatu yang boleh dipakai orang ramai dan kasual.

“Sejak gabungan ini menjadi, boleh dikatakan kadangkala tidak menang tangan untuk menerima tempahan daripada pelanggan yang lama dan baharu. Bagaimanapun, kami cuba yang terbaik untuk memberi perkhidmatan terbaik untuk mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 6:30 AM