KETIKA mengembara di Afghanistan.
KETIKA mengembara di Afghanistan.
Muhamaad Razis Ismail

"Mengembara ke luar negara banyak mengajar saya untuk sentiasa bersyukur dilahirkan di Malaysia," kata pengembara solo, Siti Noridah Ab Rahaman, 38.

Pengalaman bekas perunding teknologi maklumat itu mengembara ke lebih 60 negara di seluruh dunia termasuk lokasi mundur dan bergolak yang banyak menyedarkan dirinya.

Sifat ingin tahu yang tinggi mendorong wanita berasal dari Yong Peng, Johor ini meninggalkan zon selesa untuk keluar mengembara sejak tujuh tahun lalu.

PENGEMBARA wanita harus berwaspada namun tak perlu sombong di negara luar.
PENGEMBARA wanita harus berwaspada namun tak perlu sombong di negara luar.

Siti Noridah atau mesra disapa ET berkata, mengembara ke luar negara membuka mata dan selalu mengingatkannya betapa bertuahnya bumi Malaysia.

"Apabila mengembara ke negara mundur dan bergolak dengan perang, saya sangat bersyukur dilahirkan di sebuah negara yang aman.

"Di negara kita, biarpun masyarakat mengamalkan agama, budaya dan bahasa yang berbeza, kita masih boleh hidup bersama dengan baik," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

BERSAMA penduduk setempat di Festival Hornbill di Nagaland, India.
BERSAMA penduduk setempat di Festival Hornbill di Nagaland, India.

Katanya, apabila berada di luar negara ramai yang ditemuinya amat menyukai Malaysia.

"Sebagai contoh di Pakistan mereka cukup seronok apabila mengetahui saya dari Malaysia. Mereka kagum dengan pembangunan pesat yang berlaku di negara kita," katanya.

Siti Noridah berkata, mengembara sudah menjadi minat sejak daripada dulu.

LALUAN mencabar di Skardu, Pakistan.
LALUAN mencabar di Skardu, Pakistan.

"Ketika bekerja tetap, saya sering mengambil cuti untuk mengembara tetapi tidak lama kerana kekangan cuti tahunan yang tidak banyak. Malah saya pernah memohon 'career break' untuk mengembara selama 40 hari.

"Oleh kerana cuti yang terhad, saya buat keputusan untuk berhenti kerja dan menjadi pengembara sepenuh masa," katanya.

Menurutnya, sifat ingin tahu yang sangat tinggi, menjadi pendorong kepadanya untuk menjadi pengembara.

"Saya selalu tertarik untuk pergi ke tempat yang jarang dikunjungi pelancong kerana sifat ingin tahu yang tinggi. Pemilihan lokasi kebiasaannya dibuat secara rawak sahaja.

PEMANDANGAN indah di Skardu, Pakistan.
PEMANDANGAN indah di Skardu, Pakistan.

"Secara jujurnya saya sangat suka Pakistan, India dan Nepal kerana memiliki kawasan pergunungan yang cantik," katanya.

Dia gemar mengembara secara solo kerana lebih mudah untuk membuat perancangan sendiri dan tidak terikat dengan jadual perjalanan orang lain.

"Selain itu, saya lebih mudah berinteraksi dengan penduduk tempatan kerana kebiasaannya mereka lebih cepat mesra dengan individu yang mengembara sendirian berbanding dalam kumpulan," katanya.

MENDAKI Annapurna Base Camp, Nepal.
MENDAKI Annapurna Base Camp, Nepal.

Pada mulanya, keluarga susah untuk menerima caranya yang suka mengembara secara solo kerana bimbangkan keselamatan.

"Namun selepas melihat kemampuan saya menjaga diri ketika mengembara akhirnya mereka faham.

"Terdapat segelintir masyarakat yang memberi pandangan negatif, namun saya tidak mengendahkannya kerana tahu apa yang dilakukan. Jika terlalu fikirkan pandangan orang, kita tidak akan ke mana-mana," katanya.

MENERIMA kawalan ketat ketika mengembara di Mogadishu, Somalia.
MENERIMA kawalan ketat ketika mengembara di Mogadishu, Somalia.

Katanya, untuk keluar mengembara, persediaan yang mencukupi perlu dititik beratkan termasuk bajet dan maklumat lokasi yang ingin dilawati.

"Apabila berada di luar, antara cabaran yang dihadapi adalah untuk mengenal pasti orang yang boleh dipercayai.

"Bagi pengembara wanita, kita perlu sentiasa percayakan gerak hati. Jangan mudah cepat percaya orang tetapi jangan pula sombong untuk bertanya jika memerlukan bantuan," katanya.

ANTARA lokasi menarik di Taman Negara Namib-Naukluft, Namibia.
ANTARA lokasi menarik di Taman Negara Namib-Naukluft, Namibia.

Ditanya perancangan masa hadapan, Siti Noridah mahu menyambung pengembaraan selepas dunia pulih daripada pandemik Covid-19.

"Untuk sementara waktu, saya fokus dengan kerja-kerja penulisan dan penerbitan," katanya yang sudah menghasilkan tujuh buku mengenai pengembaraannya.

MENGABADIKAN kenangan dengan kanak-kanak suku Himba, Namibia.
MENGABADIKAN kenangan dengan kanak-kanak suku Himba, Namibia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 6:40 AM