KEMAMPUANNYA mendapat perhatian ramai.
KEMAMPUANNYA mendapat perhatian ramai.
Muhamaad Razis Ismail


BERMULA sekadar ingin mengisi masa lapang dan mengurangkan berat badan, kini Nurul Syukriyah Halim semakin 'ketagih' dengan aktiviti lompat tali.

Sesiapa sahaja akan terpukau melihat pelbagai gerakan lompat tali anak kelapan daripada 10 beradik ini di Instagram.

Gadis bertudung dari Kampung Keroh, Kuala Krai, Kelantan ini juga dilihat begitu bersahaja mengendalikan tali sambil melompat seolah-olah seperti sedang melakukan tarian 'breakdance.'

Penulis paling teruja melihat Nurul Syukriyah melakukan aksi melompat tali sambil menimang bola.

Bermula dengan melakukan gerakan asas dalam tempoh lima bulan, kini dia mampu melakukan lebih 20 teknik yang hanya dipelajari secara dalam talian.

ANTARA gerakan sukar yang berjaya dikuasai.
ANTARA gerakan sukar yang berjaya dikuasai.

Gerakan yang dilakukan tidak mudah dan kadangkala mengambil masa sebulan untuk dikuasai bergantung kepada tahap kesukarannya.

Namun dengan semangat tidak berputus asa dan dorongan rakan, dia berjaya kuasai beberapa gerakan sukar.

Nurul Syukriyah berkata, pada mulanya dia yang baru menamatkan pengajian di universiti hanya fokuskan untuk turunkan berat badan dengan sekadar membuat gerakan asas.

Katanya, bagaimanapun pandemik Covid-19 menyebabkan peluang untuk mendapat pekerjaan semakin tipis.

"Saya sangat tertekan kerana berdepan kesukaran mendapat pekerjaan selepas beberapa bulan menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maritim.

HANYA latihan berterusan dapat kuasai teknik baharu.
HANYA latihan berterusan dapat kuasai teknik baharu.

"Untuk mengurangkan tekanan, saya bermain lompat tali dan lama-kelamaan minat itu datang dengan sendirinya.

"Saya kemudian membuat carian di internet dan mendapati banyak aksi lompat tali yang boleh dilakukan dan mula belajar secara dalam talian," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, setiap hari dia akan memperuntukkan sekitar empat hingga lima jam untuk menguasai teknik baharu.

"Kalau orang biasa akan rasakan ia agak lama namun sebenarnya apabila sudah leka bermain lompat tali, anda tidak sedar masa berlalu.

"Pernah juga saya hampir berputus asa apabila gagal kuasai teknik baharu namun galakkan rakan daripada komuniti Jump Rope Malaysia yang sering memberi sokongan membuatkan saya kembali bangkit untuk terus berusaha," katanya.

Dia yang kini bertugas sebagai jurutera jualan teknikal berkata, kesedaran masyarakat terhadap aktiviti ini yang sangat baik untuk kesihatan masih rendah.

"Ramai yang masih tidak tahu aktiviti ini mampu membakar lemak dengan cepat selain dapat meningkatkan kesihatan jantung.

IBU bapa banyak beri dorongan.
IBU bapa banyak beri dorongan.

"Pada masa sama, ia dapat meningkatkan koordinasi tangan dan kaki, sekali gus membantu mengurangkan risiko kecederaan apabila lakukan aktiviti lain.

"Kajian yang dijalankan mendapati aktiviti ini dapat menguatkan tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis terutama dalam kalangan wanita," katanya.

Sebagai wanita, dia mengakui berdepan cabaran untuk menguasai teknik tertentu yang memerlukan banyak gerakan dalam dalam satu masa.

"Ada antara teknik yang dilakukan memerlukan kekuatan tangan dan kaki serta membabitkan banyak pergerakan yang digabungkan dengan aksi akrobatik.

"Memang ambil masa namun saya percaya kepada proses latihan sebelum dapat kuasai sesuatu teknik," katanya.

Dia menasihatkan kepada wanita untuk mencuba lakukan aktiviti ini sebagai rutin harian.

"Jangan pernah takut untuk mencuba sesuatu yang baharu. Sukan ini tidak memerlukan modal yang besar dan boleh dilakukan di mana sahaja tanpa mengira umur," katanya.

Dia turut aktif menggunakan platform di Instagram untuk memberi inspirasi kepada orang ramai terutama kepada wanita untuk terbabit dengan aktiviti ini.

"Setakat ini ramai memberi maklum balas positif selain ada yang mula menunjukkan minat untuk terbabit.

"Jika diberi peluang dan rezeki, saya ingin buat kelas lompat tali dan menjadi jurulatih mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 7:00 AM