AISHA (tengah) bersama komuniti yang aktif dalam lompat tali skip.
AISHA (tengah) bersama komuniti yang aktif dalam lompat tali skip.
Hafiz Ithnin

AKIBAT kecederaan lutut yang dialaminya beberapa tahun lalu kerana aktiviti larian yang aktif, wanita ini tidak menyangka dirinya 'terjun' ke aktiviti tali skip.

Aktiviti itu menyebabkannya bukan saja 'ketagih' malah memberi kesan yang positif kepada dirinya.

Wanita berusia 45 tahun itu juga melihat aktiviti tali skip adalah baik untuk kesihatan diri terutama menguatkan lututnya yang sudah dua kali menjalani pembedahan kerana koyak ligamen krusiat anterior (ACL) pada 2018 dan 2019.

Berkongsi cerita Aisha Abu Bakar berkata, sejak 2013 dia aktif dalam aktiviti larian terutama maraton dan tidak pernah terfikir untuk menyertai aktiviti tali skip.

"Sehinggalah pada 2019, saya perlu berehat sebentar kerana ACL dan kemudian acara larian juga berkurangan akibat penularan pandemik Covid-19. Memandangkan saya tidak boleh duduk diam, saya mula belajar (tali skip) secara dalam talian.

"Tidak sangka ia antara aktiviti yang menyeronokkan. Tali skip ini bukan sekadar melompat, tetapi ia melatih kita untuk pernafasan, menguatkan otot dan lebih penting menjadikan kita lebih peka ketika bersukan," katanya.

LOMPATAN tali skip lebih menarik jika mengikut koreografi.
LOMPATAN tali skip lebih menarik jika mengikut koreografi.

Jelasnya, melompat tali skip memerlukan seseorang itu menggerakkan tubuh supaya tali skip dapat digerakkan dengan baik. Sekali gus, ia juga menjadikan seseorang itu lebih peka ketika melakukannya.

Tambahnya, ketika melakukan lompatan tali skip bukan sekadar melompat setempat, tetapi ada pelbagai pergerakan yang boleh dilakukan mengikut kreativiti.

"Dalam tempoh kira-kira dua bulan sahaja saya dapat menguasai cara lompatan yang betul. Sejak itu, saya mula menjadikan aktiviti ini sebagai rutin kerana ia memberi kesan baik kepada kesihatan.

"Apatah lagi dengan melakukan aktiviti ini, ia sebagai salah satu cara untuk menjadikan otot kaki lebih kuat. Namun, saya sentiasa memastikan tidak melakukannya secara berlebihan," katanya.

Katanya, dia juga berasakan aktiviti lompatan tali skip itu hampir sama kesannya dengan melakukan larian terutama dari segi pembakaran kalori.

Selain itu, jelasnya lagi, bagi mereka yang sudah dapat menguasai teknik lompatan tali skip pasti akan berasakan ketagihan kerana ia sesuatu yang menyeronokkan apatah lagi ada 'cabaran' dalam kalangan mereka yang aktif untuk melakukan skil lompatan mengikut koreografi tertentu.

"Di Malaysia juga ada komuniti yang aktif dalam tali skip dan mereka ini boleh dikatakan kerap mengadakan perjumpaan. Jadi, ia juga menjadi satu platform untuk kami bertukar pandangan.

"Kini aktiviti tali skip menjadi trend dalam masyarakat tanpa membataskan usia dan jantina. Boleh dilihat ramai peminat tali skip sentiasa memuat naik aktiviti mereka di sosial media ketika ini," katanya.

AISHA mempelajari tali skip daripada atas talian.
AISHA mempelajari tali skip daripada atas talian.

Ditanya mengenai cabaran, Aisha berkata, terlibas tali skip di muka atau badan adalah perkara biasa jika seseorang itu tersalah teknik atau terlalu lalai melakukan aktiviti lompatan berkenaan.

"Seperti saya katakan aktiviti melompat tali skip ini sesuatu yang menyeronokkan kerana kita boleh melihat pelbagai skil yang dapat dihasilkan apabila sudah mahir melakukannya.

"Kadangkala kerana terlalu 'leka' sambil mengikut koreografi tertentu menyebabkan tali itu terlibas di muka atau badan. Perkara itu biasa berlaku kepada saya juga," katanya.

Katanya, dia juga aktif mempromosikan aktiviti tali skip di media sosial dan mendapat maklumat balas menggalakkan daripada mereka yang baharu ingin mencubanya.

"Saya berkongsi pengalaman dalam aktiviti ini di media sosial dan menariknya saya mendapat maklum balas bukan sahaja dalam kalangan remaja, tetapi mereka yang sudah mencapai usia veteran.

"Pada pandangan saya, perkara lebih penting ialah kita tidak melakukannya secara keterlaluan. Selain itu, pastikan mendapat maklumat yang betul sebelum mempraktikkannya," katanya.

AISHA (tengah) bersama keluarga kecilnya.
AISHA (tengah) bersama keluarga kecilnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2022 @ 7:00 AM