BERHIJAB bukan halangan untuk lakukan pelbagai aksi menimang bola.
BERHIJAB bukan halangan untuk lakukan pelbagai aksi menimang bola.
Muhamaad Razis Ismail


PERNAH diejek dan digelakkan ketika baharu terbabit dengan sukan bola sepak gaya bebas atau 'free style' antara cabaran yang dihadapi oleh wanita berusia 20 tahun ini.

Apa tidaknya dengan berhijab, ramai yang meragui kemampuan Qhouirunnisa' Endang Wahyudi untuk pergi lebih jauh dalam sukan itu.

Bukan mudah menimang bola sambil membuat pelbagai aksi yang mampu menarik perhatian ramai.

Bagaimanapun situasi tidak pernah melemahkan semangatnya malah memberi kekuatan untuknya membuktikan bahawa beliau juga mampu melakukan aktiviti yang didominasi golongan lelaki.

Selepas lima tahun, tiada siapa sangka kini Qhouirunnisa' mampu membuat lebih 20 aksi gaya bebas.

Biarpun tidak pernah menyertai mana-mana pertandingan yang dianjurkan, dengan kebolehan dimiliki anak sulung daripada tiga beradik ini dijemput untuk membuat persembahan di beberapa program besar di negara ini.

MAHU buktikan gadis berhijab juga berkemampuan.
MAHU buktikan gadis berhijab juga berkemampuan.

Malah dia yang fasih berbahasa Arab turut terpilih untuk mempromosikan Bundesliga (Liga Jerman) sehingga membawanya ke negara itu pada tahun lalu.

Di sana, dia dibawa ke stadium untuk melihat secara langsung perlawanan bola sepak membabitkan pasukan ternama termasuk Bayern Munich, Borrusia Dortmund dan Shalke 04.

Sepatutnya pada tahun ini, dia sekali lagi ke Jerman, namun disebabkan pandemik Covid-19, ia ditunda kepada tarikh yang belum ditetapkan.

Pada masa sama, dia juga mula berjinak-jinak terbabit dalam bidang perniagaan dengan mengeluarkan produk sendiri termasuk pakaian dan bola.

DI hadapan Stadium Allianz Arena, Jerman.
DI hadapan Stadium Allianz Arena, Jerman.

Uniknya, Qhouirunnisa', sejak kecil bukan sahaja tidak pernah bermain bola sepak malah tidak meminati sukan itu.

Minat terhadap sukan itu tercetus ketika berusia 16 tahun apabila sering menemani adik lelaki bermain bola sepak di padang berhampiran rumah.

"Lama-kelamaan minat itu timbul sebelum saya suarakan kepada mama dan ayah untuk bermain futsal. Namun mereka tidak bersetuju kerana berpandangan sukan itu membabitkan fizikal dan boleh mengakibatkan kecederaan.

"Kemudian saya buat carian di internet sebelum menemui maklumat mengenai atlet wanita yang aktif sukan menimang bola.

"Alhamdulillah, kali ini mama dan ayah bersetuju dan sebagai galakan, mereka turut membelikan kasut serta bola untuk meneruskan minat ini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

BERSAMA peserta terpilih ke Jerman.
BERSAMA peserta terpilih ke Jerman.

Jelasnya, selepas mendapat persetujuan daripada ibu bapa, dia mula berlatih secara sendirian di kawasan taman berhampiran rumah.

"Saya masih ingat apabila diejek dan ditertawakan beberapa individu di situ sebelum saya buat keputusan untuk berlatih di rumah sahaja.

"Pada ketika itu, nak timang bola 10 kali pun tidak berjaya. Namun saya tidak patah semangat dan terus mencuba biarpun pernah menangis beberapa kali sehingga berjaya kuasai teknik asas yang mengambil masa setahun," katanya.

Menurutnya, untuk menguasai sesuatu teknik itu bergantung kepada kemampuan individu dan tahap kesukarannya.

"Kemampuan setiap individu berbeza dan gaya bebas ini tidak statik serta memerlukan banyak pergerakan yang digabungkan dengan aksi akrobatik.

"Saya banyak belajar sendiri termasuk menonton di internet. Biasanya ketika latihan saya akan membuat rakaman video sebelum melihat semula (rakaman video) untuk baiki kesilapan dilakukan.

KELUARGA yang banyak memberi galakan dan sokongan.
KELUARGA yang banyak memberi galakan dan sokongan.

"Sehingga kini, saya masih peruntukkan masa sekurang-kurangnya 30 minit sehari untuk berlatih bagi memantapkan teknik sedia ada dan mempelajari teknik baharu," katanya.

Keunikan yang dimiliki lepasan Diploma Bahasa Arab dan Sains Islamik ini adalah penampilan berhijab ketika melakukan aksi gaya bebas sehingga pernah tular di media sosial.

"Saya mahu buktikan dengan berpakaian menutup aurat sebenarnya masih boleh lakukan aksi gaya bebas ini. Apa yang penting, saya rasa selesa dengan pakaian yang dikenakan.

"Pada masa sama, saya cuba menggayakan fesyen yang sesuai untuk tarik lebih ramai golongan wanita untuk sertai aktiviti ini," katanya.

Katanya antara pengalaman manis sepanjang terbabit dengan aktiviti ini adalah berpeluang ke Jerman selepas terpilih menjadi 'duta' Bundesliga tunggal dari negara ini.

"Saya sendiri tidak menyangka terpilih kerana masih baharu terbabit dengan aktiviti ini. Mungkin mereka tertarik selepas melihat gaya bebas yang sering saya kongsikan di laman sosial.

"Di sana saya bukan sahaja berpeluang menonton perlawanan Bundesliga malah berpeluang bertemu beberapa pemain bola sepak ternama," katanya.

Mengulas lanjut, sebagai wanita, dia masih berdepan persepsi negatif dalam kalangan segelintir masyarakat.

"Ada yang berpandangan, aktiviti tidak sesuai kepada wanita dan ada yang perli kononnya wanita seperti saya ini lebih sesuai tolong ibu di dapur. Kebanyakan komen ini adalah di media sosial.

"Saya tidak terlalu mengambil pusing komen negatif seumpama itu dan terus fokus dengan apa yang dilakukan," katanya.

Selain itu, dia kini mengembangkan kemampuan dimiliki dengan terbabit dalam bidang perniagaan hasil dorongan daripada ibu dan bapanya.

"Ayah saya menggalakkan saya meneruskan legasinya dalam perniagaan dan mahu saya belajar selok-belok perniagaan sejak daripada muda.

"Alhamdulillah, kini saya sudah memiliki produk sendiri dan mendapat sambutan menggalakkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 7:00 AM