Nurul Husna Mahmud


SEBUT sahaja mengenai diet atau menukar tabiat permakanan, selalunya individu fokus terhadap objektif untuk kurus dan mencapai berat ideal.

Sedangkan ada aspek lain perlu dipertimbangkan dalam pengalaman diet supaya badan kekal sihat termasuk kecerdasan mental.

Biarpun tiada kajian kukuh mengenai amalan diet boleh mengurangkan risiko penyakit tertentu, namun sesetengahnya memberi impak memberangsangkan berdasarkan jejak rekod diet individu lain.

Doktor Panel Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia yang juga ahli exco Persatuan Dementia Perak, Profesor Dr Esther Gunaseli M Ebenezer berkata, seperti amalan diet mediterenean yang dikatakan membantu penjagaan kesihatan otak.

"Dalam pesakit Alzheimer, sampai sekarang masih tiada ubat boleh menyembuhkan tetapi yang ada adalah untuk memperlahankan proses penyakit berkenaan.

"Bagi pengkaji, mereka mencari pelbagai alternatif termasuk melihat corak makanan individu terkenal. Meskipun usia lanjut tetapi mereka boleh bekerja dengan baik.

"Antara penemuan yang menarik ialah individu berkenaan dikatakan mengamalkan diet mediterranean iaitu profil makanan berasaskan lemak baik (ikan, minyak zaitun dan kekacang) selain kurang pengambilan daging bukan berasaskan ikan,

" katanya.

Piramid makanan bagi diet mediterranean tidak jauh beza dengan pola diet seimbang yang normal, cuma mengurangkan pengambilan makanan karbohidrat dan daging merah.

Contoh pelan pemakanan bagi golongan ini ialah sarapan biasanya bijirin seperti oat dan walnut, waktu snek ialah makan buah, tengah hari pengambilan salad ayam dan sebelah malam ikan kod panggang dan nasi.

Sementara itu Pakar Permakanan Hospital Pantai Cheras, Syazwani Mansor menekankan tidak semua diet sesuai semua orang. Faktor lain seperti waktu makan konsisten disokong dengan aktiviti kecergasan antara faktor memastikan individu itu berada dalam keadaan sihat.

"Diet seimbang adalah plan pemakanan yang mengandungi tenaga, karbohidrat, protein, serat, vitamin dan mineral yang mencukupi untuk memastikan tubuh badan berfungsi secara normal.

"Trend masa kini yang gemar amalkan diet 'intermitten fasting' dan diet karbo kerana terdapat 'testimoni' selain banyak kajian mengenai diet itu berkesan bagi individu mahukan berat mereka berkurang.

"Dalam rutin diet itu, pengamalnya tidak dapat kalori dari makanan dan minuman pada waktu tertentu dalam sehari atau pada hari tertentu dalam seminggu. Itu menyebabkan kurangnya kalori sekali gus berat juga menurun.

TIDAK kurang 50 peratus saranan karbohidrat sehari.
TIDAK kurang 50 peratus saranan karbohidrat sehari.

"Namun bagi kaedah esktrim dalam rutin ini tidak sesuai untuk pesakit kencing manis, gastrik refluks, mempunyai masalah penghadaman dan cara kehidupan yang tidak teratur serta tidak konsisten selain individu yang selalu pening," katanya.

Dalam banyak konsep yang diamalkan mengenai diet itu, kata Syazwani, dia menyarankan pola 12 jam lebih sesuai berbanding tempoh panjang seperti 16 hingga 18 jam.

"Pada pendapat saya konsep 12 jam berpuasa,12 jam makan adalah lebih bersesuaian dengan rakyat Malaysia. Sebagai contoh, kali terakhir makan pada jam 7 malam dan berpuasa dari mengambil makanan sehingga 7 pagi keesokan hari nya (12jam)," katanya.

Satu lagi jenis diet yang kerap menjadi pilihan rakyat tempatan ialah diet karbo yang mana pada pengamatan pakar permakanan itu diet berkenaan tidak mampu bertahan lama.

Sering kali individu yang mengamalkan diet karbo berpatah balik kepada berat asal apabila berhenti mengamalkannya.

"Diet karbo adalah pemakanan yang menghadkan pengambilan karbohidrat. Walaubagaimana pun, diet tanpa karbohidrat secara keseluruhan adalah tidak disarankan.

PESAKIT gastrik tidak sesuai berdiet kaedah puasa berselang.
PESAKIT gastrik tidak sesuai berdiet kaedah puasa berselang.

"Gandum, bijirin, buah dan kekacang dan sayur-sayuran berkanji, susu serta produk tenusu adalah sumber kaya karbohidrat.

"Diet tanpa karbohidrat atau diet sangat rendah karbohidrat boleh menyebabkan kekurangan serat, vitamin, dan mineral. Sembelit, kekurangan nutrisi dan masalah kesihatan lain boleh berlaku jika mengamalkan diet karbo," katanya.

Memburukkan keadaan lagi dalam tabiat diet itu apabila sesetengah individu menggantikan sumber karbohidrat dengan sumber haiwan dan lemak tepu (bahagian lemak daging, ayam goreng, makanan berasakan santan dan lain-lain). Ini meninggikan paras kolesterol dalam darah dan akan meningkatkan risiko penyakit kardiovaskular.

Tambahnya Piramid Makanan Malaysia 2020 menyarankan pengambilan karbohidrat adalah 50 hingga 65 peratus dari jumlah kalori sehari dan mengutamakan karbohidrat kompleks dan tinggi serat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 7:00 AM