YU Xuan ketika dilahirkan pramatang. FOTO AGENSI
YU Xuan ketika dilahirkan pramatang. FOTO AGENSI
Agensi

Singapura: Dilahirkan pramatang dengan berat badan hanya 212 gram, Kwek Yu Xuan kemungkinan adalah bayi paling ringan yang pernah dilahirkan di dunia.

Namun, pada usia 14 bulan dan selepas menjalani pembedahan yang menyelamatkan nyawanya, bayi perempuan itu kini sudah dibenarkan keluar dari hospital serta berada bersama kedua-dua orang tuanya.

Kini, beratnya sudah menjangkau 6.3 kilogram dan dibenarkan pulang ke rumah sejak 9 Julai lalu.

Yu Xuan yang dilahirkan di Hospital Universiti Nasional (NUH) di sini, ketika pandemik Covid-19 pada 9 Jun tahun lalu, begitu kecil dan 'mempunyai peluang hidup yang terhad', menurut kenyataan yang dikeluarkan hospital berkenaan semalam.

"Namun, dalam segala kesulitan dengan komplikasi kesihatan ketika kelahiran, dia memberi inspirasi kepada orang di sekitarnya dengan kecekalan dan pembesarannya, menjadikan bayi 'Covid-19' yang luar biasa," kata NUH.

Ibu bapa Yu Xuan, Wong Mei Ling dan Kwek Wee Liang, kedua-duanya adalah penduduk tetap (PR) Singapura yang bekerja di sini.

Mereka pada awalnya merancang melahirkan anak mereka itu di Malaysia namun Wong mengalami masalah praeklampsia atau tekanan darah tinggi ketika kehamilan menyebabkannya terpaksa melalui pembedahan caesarean kecemasan ketika hamil 24 minggu dan enam hari.

Selepas dilahirkan, Yu Xuan dirawat di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) selama 13 bulan.

Ketua dan Perunding Kanan Jabatan Neonatologi Khoo Teck Puat-Institut Perubatan Kanak-kanak Universiti Nasional (KTP-NUCMI), Prof Madya Zubair Amin berkata, pasukan NICU berterima kasih kepada keluarga Yu Xuan atas kepercayaan mereka terhadap kebolehan penjagaan yang dapat pihaknya berikan.

"Perjalanan Yu Xuan adalah sukar dan kami sangat menghargai usaha bersama serta sokongan baik daripada rakan setugas, penderma dan masyarakat secara am menyumbang kepada kelangsungan hidupnya." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 6:01 AM