SI kecil lebih mudah terasa jika bentuk tubuh atau perbuatan mereka dirasakan tidak normal.
SI kecil lebih mudah terasa jika bentuk tubuh atau perbuatan mereka dirasakan tidak normal.
Hafiz Ithnin

PERNAHKAH, apabila melihat kanak-kanak yang mungkin dirasakan sedikit berbeza seperti gigi jongang atau badan berisi kita akan terus saja bertanya kepada si kecil itu?

Kadangkala cara bertanya itu menjadi bahan jenaka orang di sekeliling.

Misalnya, "Eh rongak gigi awak?, kenapa gemuk sangat? atau kenapa rambut tak ada?"

Sebenarnya, tanpa kita sedar pertanyaan seperti itu adalah satu daripada tindakan sindiran badan untuk kanak-kanak yang boleh menjejaskan emosi mereka.

Apatah lagi, kanak-kanak seharusnya membesar dalam keadaan positif dan bukan menjadi bahan jenaka hingga memalukan diri mereka.

Pengamal Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata, tindakan orang dewasa yang tidak peka isu sindiran badan kepada kanak-kanak bukan sesuatu yang baharu.

SINDIR badan dalam kalangan kanak-kanak boleh mengganggu tumpuan pembelajaran.
SINDIR badan dalam kalangan kanak-kanak boleh mengganggu tumpuan pembelajaran.

Malah, ia menjadi perkara biasa dalam masyarakat.

Beliau berkata, kanak-kanak juga mempunyai perasaan seperti orang dewasa yang sebenarnya lebih sensitif kerana si kecil lebih mudah terasa jika bentuk tubuh atau perbuatan mereka dirasakan tidak normal seperti rakan sebaya.

"Kita selalu membincangkan isu sindiran badan dalam kalangan orang dewasa, tetapi isu membabitkan kanak-kanak kurang diberi perhatian kerana mungkin dirasakan mereka belum faham dengan kata-kata dilemparkan.

"Walhal kanak-kanak ini lebih sensitif apabila mereka merasakan keadaan diri seperti tidak normal atau menarik berbanding orang lain. Orang dewasa khasnya perlu bijak apabila ingin menegur kanak-kanak jika merasakan tindakan berkenaan sesuatu yang ambil berat," katanya.

Pakar itu menegaskan, lebih mudarat apabila sesuatu pertanyaan sindiran badan yang bersifat terbuka dan bahan jenaka itu terus menjadi label kepada si kecil apabila mereka bertemu rakan sebaya.

Jelasnya, panggilan disebabkan sesuatu perkara yang dilihat kurang di mata orang lain boleh menjadi bahan ejekan kepada si kecil seperti memanggil mereka gemuk, pendek, botak atau rongak.

MANGSA sindir badan dalam kalangan kanak-kanak juga boleh jadi antisosial.
MANGSA sindir badan dalam kalangan kanak-kanak juga boleh jadi antisosial.

"Kesannya kepada kanak-kanak mereka berpotensi menjadi seseorang yang tidak yakin pada diri sendiri untuk bertemu orang lain kerana takut dijadikan bahan jenaka.

"Dalam jangka panjang, kata-kata sindiran badan juga boleh menyebabkan proses pembelajaran mereka

terganggu. Apatah lagi, ketika guru mengajar, mereka tidak dapat fokus kerana merasakan diri serba kekurangan dan tidak menarik berbanding rakan-rakan lain," katanya.

Jelasnya lagi, si kecil yang menjadi mangsa sindiran badan sejak kecil juga berpotensi menerima kesan kebimbangan melampau.

"Kita perlu tahu di peringkat kanak-kanak paling penting untuk membentuk diri pada masa depan iaitu menjadi individu yang bermotivasi tinggi, yakin dan sentiasa fokus dalam kehidupan.

"Apabila berlaku kekacauan emosi akibat sindiran badan, ia sebenarnya boleh merosakkan proses berkenaan.

"Sedangkan kita dalam kalangan orang dewasa yang disindir akibat bentuk badan seperti terlalu kurus atau gemuk mudah merasakan ia sesuatu yang melampaui batas kerana boleh mengganggu emosi. Apatah lagi kanak-kanak yang masih hijau dan perjalanan hidup mereka lebih panjang," katanya.

Pakar itu berkata, kesan sindiran badan juga boleh menjadikan seseorang kanak-kanak itu mengalami kemurungan dan tidak terkecuali berpotensi menyebabkan mereka hilang selera makan.

"Jadi sebagai individu yang matang dan bertanggungjawab kepada kanak-kanak kita seharusnya meletakkan diri kita kepada kanak-kanak itu sendiri dengan adanya perasaan empati yang tinggi.

DR PUTRI
DR PUTRI

"Contohnya, jika kita hendak bertanya mengenai bentuk fizikal mereka, biar dalam keadaan situasi yang tertutup dan bukan dikelilingi orang lain seperti rakan sebaya supaya si kecil dapat merasakan pertanyaan itu kerana sayang bukan untuk memalukan," katanya.

"Selain itu, cara pertanyaan juga perlu betul. Jadi, komunikasi yang berbentuk tampak ambil berat itu lebih lembut dan berkesan," katanya.

Dr Putri juga menyarankan jika ingin mendidik kanak-kanak supaya mereka lebih menjaga penampilan diri juga perlu dalam keadaan berhati-hati dan tidak menceritakan sesuatu fakta itu dengan menjadikan si kecil sebagai contoh.

"Selain itu, kita juga boleh memberikan pujian kepada kanak-kanak dalam bentuk yang tidak bersandarkan bentuk badan atau fizikal seperti kreativiti atau kemampuan mereka menulis tangan yang cantik.

"Walaupun mereka merasakan bentuk fizikal tidak menarik seperti rakan yang lain, tetapi pujian itu boleh menjadikan si kecil merasakan dirinya ada bakat yang lebih menonjol," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 7:00 AM