JENAKA tidak elok akan dianggap normal ketika dewasa.
JENAKA tidak elok akan dianggap normal ketika dewasa.
Muhamaad Razis Ismail


HIBURAN dan jenaka adalah fitrah manusia. Tanpanya kehidupan menjadi hambar dan agak membosankan.

Ahli keluarga perlu sering ketawa bersama-sama untuk meredakan ketegangan atau stres yang bukan sahaja dialami ibu bapa, malah anak-anak.

Berdasarkan kajian, ketawa merembeskan hormon endorfin yang menenangkan dan mengurangkan hormon stres cortisol.

Tambahan pula ketika pandemik Covid-19 ini, hampir semua ahli keluarga sama ada bekerja dan belajar dari rumah, kurang keluar menenangkan fikiran serta bersantai menyebabkan gurauan atau jenaka satu keperluan.

Perunding keibubapaan, Noor Afidah Abu Bakar berkata, sesetengah anak kecil walaupun belum boleh bertutur sudah pandai melakukan aksi lucu yang menyebabkan orang dewasa ketawa.

Katanya, apabila orang dewasa ketawa, anak itu akan mengulangi aksi terbabit kerana tindak balas orang dewasa memberi isyarat bahawa aksi lucunya diterima dan direstui.

"Anak kecil juga mempunyai kebolehan untuk bergurau yang bergantung kepada tahap perkembangan kognitif atau pemikiran kanak-kanak.

"Apabila kanak-kanak boleh bertutur, perkembangan bahasa juga akan meningkatkan lagi kebolehan untuk berjenaka ini," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

BERJENAKA dengan anak boleh eratkan hubungan.
BERJENAKA dengan anak boleh eratkan hubungan.

Menurutnya, jenaka juga boleh menjadi medium untuk ibu bapa menyampaikan nasihat dengan cara yang ringan dan santai kerana ia mudah diingati anak.

"Apabila kanak-kanak gembira, mereka berasa selamat dan dilindungi orang dewasa yang menggembirakannya. Ini sangat penting untuk kanak-kanak berkembang dan membesar dengan sihat.

"Sebaliknya rasa tertekan dan sedih boleh membantutkan perkembangan sihat serta kesejahteraan kanak-kanak," katanya.

Mengulas lanjut, jenaka yang baik tidak membabitkan perbuatan ataupun tanggapan negatif terhadap orang lain atau terhadap makhluk lain seperti haiwan.

"Terdapat juga jenaka yang lucu dan menguji minda seperti menyebut 'tongue twister' atau perkataan yang berbelit-belit dapat membantu perkembangan bahasa dan komunikasi kanak-kanak.

SILAP mata boleh menjadi jenaka yang menghiburkan keluarga.
SILAP mata boleh menjadi jenaka yang menghiburkan keluarga.

Teka-teki juga boleh menjadi jenaka dan ia menggalakkan kanak-kanak berfikir sambil berhibur dan bermain-main dengan bahasa. Silap mata juga boleh menjadi jenaka yang menghiburkan bagi seisi keluarga," katanya.

Bagaimanapun, ketika berjenaka, ibu bapa perlu mengelakkan jenaka yang mengeji fizikal seseorang, kelemahan dan kesilapan orang lain.

"Selain itu, perlu dielakkan jenaka lucah, 'prank' yang memain-mainkan perasaan orang lain, berkaitan agama dan pembohongan," katanya.

Sekiranya, jenaka seperti ini tidak dibendung, ia boleh menjadi ikutan kanak-kanak dan remaja dalam masyarakat.

"Jenaka yang tidak elok ini juga boleh mempengaruhi perkembangan sosial kanak-kanak dan mewujudkan tingkah laku anti sosial di mana mereka sering mengejek, mentertawakan, memperkecil-kecilkan dan juga boleh membawa kepada sikap suka membuli," katanya.

JENAKA mengeji fizikal, kelemahan dan kesilapan orang lain perlu dielakkan.
JENAKA mengeji fizikal, kelemahan dan kesilapan orang lain perlu dielakkan.

Mereka yang menjadi bahan bagi jenaka yang tidak elok ini boleh mengalami tekanan emosi sehingga membawa kepada masalah kesihatan mental.

"Sekiranya jenaka dilakukan hanya untuk hiburan semata-mata tanpa mengambil kira elemen adab, budaya, akhlak dan moral maka lama-kelamaan jenaka yang tidak elok menjadi normal.

"Oleh itu, ibu bapa perlu cakna dan sentiasa peka akan hal ini dan tidak membiarkan ia terus diberi peluang kerana ia akan mempengaruhi perkembangan, sikap dan kemenjadian anak-anak kita yang generasi pewaris kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 7:00 AM