BERIKAN peluang kepada anak-anak untuk mereka hubungi individu yang diinginkan bagi meraikan Aidilfitri (gambar hiasan).
BERIKAN peluang kepada anak-anak untuk mereka hubungi individu yang diinginkan bagi meraikan Aidilfitri (gambar hiasan).
Hafiz Ithnin

KALAU orang dewasa tidak dapat pulang menemui ibu bapa di kampung tatkala menyambut Aidilfitri, hati sudah gundah-gulana.

Apatah lagi, si kecil yang sudah biasa cukup sebulan berpuasa ingin beraya bersama atuk dan opah di kampung, pasti rasa seronok itu sudah tiada.

Realitinya tahun ini Aidilfitri disambut cukup berbeza kerana penularan Covid-19.

Jika ada yang berdegil ingin ke desa menyambut hari kebesaran umat Islam itu, silap hari bulan disaman pihak berkuasa.

Bukan apa, ia adalah untuk kesejahteraan kita semua.

Mengenai si kecil yang sudah biasa menyambut Aidilfitri di kampung, ketika ibu bapa melalui zaman kanak-kanak juga pasti merasakan bermalam di rumah atuk dan nenek antara 'syurga' paling dinantikan.

Mana tidaknya, ketika itu pasti merasa meriah dengan kehadiran sepupu dan adik-beradik emak atau ayah yang sibuk melakukan pelbagai persiapan menyambut perayaan itu. Auranya cukup terasa!

Lagikan pula ia ibarat satu hadiah paling bermakna selepas berpuasa selama sebulan dan ketika di kampung juga antara waktu paling menarik untuk bermain dengan sepupu sebaya.

Walaupun kadangkala emak menjeling tajam dengan keletah si kecil yang nakal atau membuat 'onar' dengan rakan sepermaian mereka.

Tetapi tidak mengapa, atuk dan opah pasti menjadi perisai daripada dimarahi.

Aidilfitri tahun ini adalah permulaan normal baharu yang perlu difahami si kecil kerana mereka tidak boleh pulang ke kampung jika tinggal di negeri yang berbeza.

Pengamal Pendidikan Awal Kanak-kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli berkata, sekiranya berlaku situasi keluarga yang mempunyai anak kecil yang tidak dapat pulang ke kampung, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka untuk menjelaskan kepada anak-anak mengenai senario yang berlaku ketika ini.

Beliau berkata, mungkin ada anak-anak yang masih tidak faham untuk menerima keadaan normal baharu yang terpaksa mereka lalui dalam menyambut Aidilfitri pada tahun ini.

"Jelaskan kepada mereka mengenai keadaan ketika ini dengan menggunakan bahasa dan contoh yang mudah untuk difahami supaya si kecil tahu apabila pulang ke kampung apa risiko atau kesan terutama kepada atuk dan opah kesayangan mereka.

"Apabila mereka faham dengan keadaan itu, perasaan 'kecewa' kerana tidak dapat merasai suasana perayaan seperti sebelum ini dapat dihilangkan walaupun sebenarnya si kecil masih meletakkan harapan," katanya.

ANAK-anak membantu memasak juadah Aidilfitri antara aktiviti yang boleh memeriahkan suasana walaupun beraya di rumah masing-masing. (gambar hiasan).
ANAK-anak membantu memasak juadah Aidilfitri antara aktiviti yang boleh memeriahkan suasana walaupun beraya di rumah masing-masing. (gambar hiasan).

Pakar itu menjelaskan, terdapat beberapa tip yang boleh dilakukan ibu bapa untuk mendidik anak-anak menerima normal baharu dalam menyambut Aidilfitri tahun ini antaranya mengajak anak-anak untuk sentiasa berdoa supaya pandemik itu segera hilang dan segala amalan yang dilakukan mereka terutama pada Ramadan diterima.

Katanya, berdoa juga antara kunci yang dapat mendekatkan si kecil dengan Pencipta kerana ajaran dalam agama menjadi tiang paling terbaik untuk membentuk peribadi seorang manusia sejak kecil.

"Apabila kita mengajak dan mengajar mereka doa yang melindungi diri serta ahli keluarga daripada terkena penyakit selain memohon daripada Pencipta supaya menghilangkan pandemik ini, ia juga secara tidak langsung mendidik jiwa anak menjadi lebih empati.

"Ertinya, mereka bukan sahaja menjadi golongan yang mengetahui keadaan semasa dari segi sebab dan akibat, malah menyelami situasi yang berlaku sepenuh hati. Perkara ini juga membantu mendidik si kecil untuk menjadi individu yang tidak mementingkan diri sendiri," katanya.

Kongsinya lagi, memandangkan ketika menyambut Aidilfitri kita digalakkan untuk membersihkan diri dan berwangi-wangian, perkara itu boleh diterapkan kepada anak-anak supaya mereka sentiasa peka dengan kebersihan diri.

Apatah lagi, dalam isu masalah kesihatan dunia itu, kebersihan diri amat dititik beratkan.

"Apabila mereka diajar untuk sentiasa membersihkan diri, berkeadaan wangi serta peka untuk menjaga kebersihan seperti digalakkan ketika menyambut Aidilfitri, sekali gus mereka dapat merasakan perayaan bukan sekadar satu sambutan, tetapi terisi dengan amalan yang baik untuk diri manusia.

"Selain itu, ketika menyambut 1 Syawal pastinya ada solat sunat Aidilfitri dan ia juga mungkin dilakukan di rumah bersama keluarga memandangkan tidak lagi boleh berhimpun beramai-ramai di masjid atau surau. Jadi, kita boleh medidik setiap pagi juga boleh melaksanakan solat sunat lain seperti Dhuha dan kongsikan kebaikkan amalan itu dalam diri seseorang yang mengamalkannya," katanya.

Katanya, dalam keadaan teknologi yang berkembang terutama penggunaan telefon pintar mereka juga boleh mengantikan amalan kunjung-mengunjungi dengan menghubungi atuk, opah atau saudara-mara, guru dan rakan di sekolah secara maya.

MENGGUNAKAN telefon bimbit untuk meninggalkan ucapan raya menerusi voice note juga aktiviti yang menarik (gambar hiasan).
MENGGUNAKAN telefon bimbit untuk meninggalkan ucapan raya menerusi voice note juga aktiviti yang menarik (gambar hiasan).

"Ibu bapa boleh menyusun individu yang anak-anak perlu dahulukan untuk membuat panggilan video seperti dalam amalan beraya sebelum ini dengan mendahulukan keluarga kemudian sahabat mereka.

"Dalam aktiviti seperti ini, si kecil dapat merasakan kemeriahan Aidilfitri masih ada walaupun tidak lagi dapat bersentuhan secara fizikal untuk bersalam atau memeluk ahli keluarga yang disayangi. Disebabkan itu, di peringkat pertama memberi kefahaman situasi itu amat penting kepada si kecil," katanya.

Katanya, meskipun tidak dapat pulang ke kampung dan aktiviti ziarah dinasihatkan untuk tidak dilakukan ketika ini, ibu bapa jangan menghentikan situasi menghias rumah untuk menyambut Aidilfitri.

"Mungkin sebelum ini, beberapa hari sebelum beraya ibu bapa akan sibuk membersihkan kediaman dan dalam musim Aidilfitri, rumah akan kerap dalam keadaan berhias kerana terdapat aktiviti ziarah-menziarahi.

"Dalam keadaan semasa ini, jangan hentikan aktiviti itu kerana kita ingin anak-anak merasakan Aidilfitri masih ada walaupun dalam situasi pandemik meskipun tidak mempunyai tetamu. Malah, ajak mereka untuk menghias rumah bersama. Dalam masa sama, kita mendidik si kecil untuk lebih ringan tulang di rumah dan sentiasa suka keadaan rumah yang bersih," katanya.

Putri juga menyarankan, bagi keluarga yang tinggal di kawasan strata dan tidak boleh pulang ke kampung, boleh juga melakukan takbir secara beramai-ramai di kediaman masing-masing dan muat naiknya di dalam media sosial masing-masing.

"Kita boleh jadikan aktiviti ini sebagai satu kempen juga dengan menggunakan tanda pagar TakbirChallenge, #TakbirChallenge di media sosial terutama pada awal Syawal. Saya merasakan, anak-anak juga akan lebih teruja untuk melakukannya kerana ia berkumandang antara kediaman," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 7:00 AM