AULIYA menggoreng pisang.
AULIYA menggoreng pisang.
Suliati Asri

RAKYAT Malaysia nyata bijak menggunakan tempoh 'berkurung' di rumah bermula dari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mencuba pelbagai resipi viral di media sosial walaupun ada antaranya yang tidak pernah memasak.

Sepanjang tempoh ini, pelbagai jenis makanan menggunakan resipi yang diambil dari Facebook termasuk roti puri, roti canai, kopi Dalgona, kek Milo kukus dan banyak lagi di cuba di rumah.

Tidak hanya mempelajari menu baru, platform Facebook juga menjadi medan warganet berkongsi hidangan viral yang dimasak.

Kumpulan Facebook, Masak Apa Tak Jadi Hari Ini dengan pelbagai cerita menarik dan lucu mengenai cubaan warganet memasak hidangan yang tidak menjadi sememangnya mencuri tumpuan.

Ia mencuit hati, malah sedikit sebanyak dapat menghilangkan tekanan dan kebosanan terperuk di rumah.

Bagi si suami dan anak-anak pula, perut mereka pastinya 'gembira' dengan hidangan yang dinikmati, andai menjadi.

AZRINA membantu anak-anaknya membuat kek.
AZRINA membantu anak-anaknya membuat kek.

Memasak pastinya aktiviti si ibu. Namun, bagi anak-anak pula, aktiviti mereka tidak jauh beza dengan rutin biasa ketika cuti hujung minggu iaitu menyiapkan kerja sekolah, bermain permainan dalam talian, bermain gajet atau beriadah di dalam atau sekitar laman rumah.

Aktiviti itu diulang-ulang saban hari sehinggakan ada sesetengah anak sudah tidak 'lalu' mengikuti rutin yang sama.

Mengambil pendekatan lain, ibu kepada tiga orang cahaya mata, Azrina Abu Bakar, 38, menjadikan memasak sebagai aktiviti harian buat dua puterinya, Ayris Danisha Mohd Fariz, 9, dan Auliya Susina Mohd Fariz, 6.

Menurut Azrina, anak-anaknya tetap melakukan aktiviti sama dengan kanak-kanak di sepanjang cuti ini terutama bermain gajet, tetapi dia lebih banyak mengajak kedua-dua anaknya ke dapur.

Katanya, sebelum cuti sekolah, dia sudah berniat mengajar anak-anaknya memasak pelbagai menu berat. Ditambah pula dengan PKP dan kini PKPB, ia masa paling tepat.

"Kesibukan kerja selain aktiviti harian anak-anak yang padat menyebabkan saya hanya sempat mengajar mereka memasak lauk yang ringkas seperti goreng telur, ayam, nasi goreng, cokodok dan banyak lagi.

"Jadi, dengan cuti sekolah, kemudian PKP dan kini PKPB, ini peluang terbaik untuk mengajar mereka terutama si kakak memasak lauk yang lebih berat antaranya tomyam, asam pedas, masak lemak serta kuih-muih sempena hari raya ini, katanya.

BERTIH jagung antara kudapan yang selalu disediakan Aqil Reza dan Amir Reza.
BERTIH jagung antara kudapan yang selalu disediakan Aqil Reza dan Amir Reza.

Azrina berkata, minat anak-anaknya yang mendalam terhadap memasak terutama Ayris yang minat memasak dan sudah mulai rajin 'masuk dapur' seawal usia enam tahun menguatkan lagi semangatnya untuk mengajar mereka memasak.

"Ketika Ayris berumur enam tahun, dia selalu menawarkan diri untuk membantu memasak terutama memotong bahan masakan atau mahu menggoreng, tetapi tidak dibenarkan kerana dia masih kecil dan bahaya.

"Namun, dengan minat yang ditunjukkan, saya terus memberi galakkan dan mula mengajarnya dari perkara asas sehingga kini sudah boleh menyediakan hidangan lengkap untuk keluarga, katanya yang tetap memantau anaknya memasak untuk keselamatan.

Tidak hanya boleh menyajikan menu enak, aktiviti memasak ini juga sebenarnya menggalakkan seseorang itu untuk lebih kreatif di samping dapat menguatkan memori terutama dalam mengingat setiap bahan dan cara memasak dengan betul.

Kata Azrina, dari pemerhatiannya sepanjang mengajar anak-anak masak, kreativiti mereka terserlah terutama ketika memotong sayur-sayuran serta menghidang.

"Sedar atau tidak, memasak menjadikan kita lebih kreatif kerana dari bahan yang sama, kita oleh memasak pelbagai hidangan di samping dapat mencipta hidangan atau rasa baru lauk yang biasa dimakan mengikut selera sendiri.

"Sepanjang mengajar anak-anak memasak, saya dapat lihat mereka lebih kreatif dan boleh menghias hidangan dengan cantik.

PIZA dan roti inti kacang air tangan Aqil Reza dan Amir Reza.
PIZA dan roti inti kacang air tangan Aqil Reza dan Amir Reza.

"Ayris misalnya, dia akan memotong bahan masakan seperti lobak merah dengan bentuk bunga atau meletakkan timun potong atas hidangan dengan susunan yang cantik. Begitu juga dengan Auliya, katanya.

Selain mengingati bahan dan cara memasak, Ayris juga menulisnya di helaian kertas yang kemudian diletakkan dalam buku nota khasnya.

"Dengan minat yang ditunjukkan anak-anaknya itu, dia secara tidak langsung ia memupuk minat dan mengajar mereka lebih banyak hidangan pada masa akan datang, katanya.

Sementara itu, bagi ibu kepada dua anak lelaki, Zura Baharudin, 38, mengakui memiliki anak lelaki tidak bermakna mereka tidak perlu belajar memasak atau membantu kerja di dapur.

Katanya, anak lelaki perlu dilatih untuk ringan tulang supaya dewasa nanti mereka tidak kekok melakukan kerja di dapur.

"Kerja mengemas meja makan, membasuh pinggan, mengemas katil, menyapu lantai antara aktiviti yang sudah dilakukan mereka sebelum PKP dan PKPB.

"Tapi, dengan tempoh cuti ini baru saya mengajar mereka memasak dan setakat ini mereka boleh masak nasi, goreng telur, membuat roti salut telur tanpa pemantauan, katanya selain turut mengajar mereka membuat bertih jagung, biskut dan roti inti kacang.

Berkongsi momen menarik sepanjang mengajar anak-anaknya, Aqil Reza Khairil Reza, 12, dan Amir Reza Khairil Reza, 10, kata Zura, memang banyak ragamnya.

"Biasalah lelaki. Ragamnya juga banyak. Antara momen mencuit hati sepanjang mengajar mereka memasak apabila Amir Reza membasuh tangan hampir setengah jam hanya kerana terkena percikan minyak di tangan ketika menggoreng ikan, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 7:00 AM