LARIAN sesuai untuk anak-anak sertai.
LARIAN sesuai untuk anak-anak sertai.
Nurul Husna Mahmud

MEMPERKENALKAN hobi atau aktiviti baru kepada anak bukanlah sesuatu yang mudah. Salah percaturan, ia boleh memberi kesan negatif kepada persepsi dan penerimaan anak-anak.

Atas faktor itu, ibu kepada empat cahaya mata Hamiza Abd Rahim, menggunakan pendekatan kreatif dalam menarik perhatian anak-anaknya untuk mendekati acara larian.

Antara dilakukan termasuk ‘memancing’ minat anak-anaknya dengan membelikan kasut baharu selain bercerita mengenai maskot ikonik karakter animasi tempatan yang mungkin ditemui ketika larian.

Katanya, rutin riadah empat anaknya, Muhammad Ammar Amir Faisal, 6, Muhammad Amzar, 4, Muhammad Arfan, 3, dan Afia Husna, 1 tahun dua bulan, lebih kepada aktiviti santai seperti mengunjungi pusat membeli- belah dan taman permainan.

Sebaik mengetahui satu acara larian iaitu Upin & Ipin Fun Run Melaka 2019 yang berlangsung di MITC Melaka baru-baru ini, dia mengambil kesempatan mendaftarkan anak-anaknya sebagai usaha menyemai gaya hidup sihat selain membina keyakinan diri.

“Selalunya hujung minggu kami habiskan masa berjalan-jalan di pusat membeli-belah atau taman permainan. Kali ini saya cuba pendekatan lain menerusi acara larian lebih santai.

NORHAFIZ ketika sesi lawatan lapangan.
NORHAFIZ ketika sesi lawatan lapangan.

“Hasrat itu saya usulkan pada suami dan kebetulan pula acara larian yang diadakan itu membawa tema karakter kartun kegemaran anak-anak iaitu Upin dan Ipin, jadi mungkin ia waktu yang sesuai. Malah suami, Amir Faisal A Rahman juga menyokong kerana tahu anak-anak sukakan karakter kartun itu.

“Dalam keterujaan itu, ada juga rasa bimbang terutama kemampuan anak untuk menamatkan larian hingga ke garisan penamat.

“Maklumlah masing-masing masih kecil dan ‘mood’ mereka ada turun naik apabila berada dalam acara membabitkan persekitaran terbuka dan orang ramai. Bimbang juga mereka ini akan takut dan tidak mahu berlari.

“Mujurlah ketika hari larian, mereka rasa seronok sebab dapat lihat macam-macam sepanjang trek dan banyak pertanyaan diajukan kerana teruja.

“Cumanya kena faham mereka ini masih kecil. Jadi anak-anak mengadu penat dan perlu berehat. Saya faham situasi itu sambil dengar rungutan dan memujuk secara berhemah. Hasilnya mereka berjaya sampai ke garisan penamat,” katanya.

AMIR turut serta menyokong hasrat isteri untuk memperkenalkan anak kepada acara larian.
AMIR turut serta menyokong hasrat isteri untuk memperkenalkan anak kepada acara larian.

Sebagai persiapan kata Hamiza, dia melakukan persiapan rapi termasuk mendapatkan maklumat berkenaan keselamatan dan kesihatan anak.

“Dua daripada anak saya berusia bawah empat tahun dan persiapan lain termasuk kereta sorong dan ‘carrier’ (alat kendong) anak ketika memerlukan.

“Selain itu saya bawa juga roti dan air untuk bekalan mereka dalam perjalanan. Itu penting kerana anak masih kecil dan mereka mudah rasa letih.

“Selain itu dalam acara larian penting untuk ibu bapa memastikan anak dalam terkawal kerana ia membabitkan orang ramai dan biasanya trek di jalan raya.

“Apa yang saya dan suami buat ialah sentiasa menegur anak supaya tidak lari jauh dan ‘berselerak.’ Selain sentiasa pimpin tangan anak yang berumur 3 tahun ke bawah,” katanya bercadang untuk memperkenalkan aktiviti lebih lasak seperti rentas hutan dan mendaki.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 January 2020 @ 6:15 AM