BAHAN kitar semula beri pendapatan kepada Asni. FOTO Fathil Asri
BAHAN kitar semula beri pendapatan kepada Asni. FOTO Fathil Asri
Fairul Asmaini Mohd Pilus


JIKA ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Siapa sangka, bahan terbuang seperti surat khabar lama boleh menjana pendapatan lumayan jika kreatif untuk menghasilkan pelbagai produk daripadanya.

Bagi Asni Othman, 44, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, ilmu kraf tangan yang dipelajari dari Kelas Pusat Pengurusan Zakat di negeri itu 16 tahun lalu kini memberi ilham untuk menjana pendapatan bulanan kepada keluarganya

Kata Asni, pada awalnya dia hanya membuat pasu hiasan untuk suka-suka tetapi melihat kepada potensi yang ada, ia kemudian dijual kepada orang ramai.

Bermula dengan hanya satu jenis rekaan, dia kini menghasilkan lebih 30 produk hiasan rumah berasaskan surat khabar menerusi label Asni Craft.

“Antaranya bakul, kotak simpanan barang, key chain, lampu tidur, replika rumah, replika haiwan, bekas pelbagai guna, bekas telur, pasu kecil, kotak cenderamata, bekas hantaran dan banyak lagi.

“Selain itu, barangan hiasan daripada penyedut minuman, plastik dan bulu ayam juga dihasilkan bagi memberi pilihan kepada orang ramai.

“Untuk rekaan, ia bergantung kepada permintaan dan saya juga berpandukan kepada trend semasa,” katanya kepada Harian Metro.

PASU kecil yang turut mendapat sambutan. FOTO Fathil Asri
PASU kecil yang turut mendapat sambutan. FOTO Fathil Asri

Menurut Asni, kebanyakan barangan berkenaan dijual menerusi laman Facebook dan selain itu, dia juga menyertai pelbagai pameran kraf tangan termasuk Hari Kraf Kebangsaan bagi meluaskan lagi pasaran produknya.

Asni berkata, dia pernah menerima 2,500 tempahan bekas pelbagai guna daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri berkenaan dan berjaya disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Kata Asni, rekaan dan saiz sesuatu barangan juga menentukan tempoh selama mana ia dapat disiapkan.

Katanya, untuk bekas pasu hiasan kecil misalnya, ia tidak mengambil masa lama iaitu kurang daripada tiga jam.

“Jika saiz barang yang ditempah itu sederhana atau besar, biasanya akan mengambil masa lebih tiga jam untuk disiapkan.

“Masa dapat dijimatkan kerana kini saya tidak lagi perlu menggulung surat khabar lama kerana ada pihak yang menjual gulungan sudah siap.

“Barangan yang dihasilkan juga dijual pada harga berpatutan iaitu bermula RM2 untuk bakul telur atau key chain sehingga yang paling mahal, replika rumah berharga hampir RM1,000,” katanya.

Menyedari potensi yang ada dalam perniagaan itu, ibu kepada tiga anak berkenaan juga nekad berhenti kerja dari sebuah syarikat swasta, tiga tahun lalu.

Asni berkata, ia dilakukan bagi memberi lebih tumpuan kepada perniagaan berkenaan yang semakin berkembang.

“Alhamdulillah, perniagaan ini semakin dikenali dan dapat membantu menambah pendapatan kami sekeluarga.

“Saya beruntung kerana suami dan anak-anak ringan tulang membantu, selain itu saya juga mengupah dua pekerja untuk menyiapkan tempahan yang diterima.

“Benarlah kata orang, rezeki sebahagian besarnya datang dari perniagaan. Asalkan kita berani dan gigih mencuba, pasti ada pulangannya,” katanya.

BEKAS pelbagai guna berbentuk merak menarik. FOTO Fathil Asri
BEKAS pelbagai guna berbentuk merak menarik. FOTO Fathil Asri

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 7:00 AM