CAWAN teh atau bekas kecil jadi pasu taman mini anda.
CAWAN teh atau bekas kecil jadi pasu taman mini anda.
Zaitie Satibi

Lazimnya, aktiviti membersihkan kediaman lebih tertumpu kepada ruangan yang lebih besar kerana lebih mudah, selain ia kerap digunakan.

Situasi itu menyebabkan kita sering terlupa membersihkan ruangan kecil kerana beranggapan ia kurang penting. Ruang atau sudut kecil jika dibersihkan dan dihias mampu menambah nilai seri kediaman anda.

Berikut beberapa panduan membersih dan menghias sudut kediaman:

1. Laluan masuk rumah biasanya antara sudut paling kecil. Gantung cermin hiasan bagi menampakkan kelainan di situ. Anda boleh gantung cermin antik atau sembur cat glos pada cermin muka terpakai atau lama untuk gaya kontemporari. Ruang sempit tampil luas apabila cermin diaplikasikan kerana ia menghadirkan ilusi ruang berganda.

2. Bagi rumah dua tingkat, jadikan tangga ke tingkat atas sebagai galeri foto. Lazimnya, dinding berhampiran tangga dibiarkan kosong, oleh itu apa kata anda gantung beberapa foto kegemaran.

Bagi kelihatan lebih unik, guna bingkai gambar kayu lama dan ubah bingkai itu dengan menambah perincian hiasan. Buat kraf sendiri, beli bingkai gambar yang murah atau guna bingkai lama. Cat bingkai dengan warna putih kusam untuk gaya vintaj atau guna teknik kolaj dengan kerajang untuk gaya futuristik atau tampal kerangan bagi menaikkan mood lautan.

 GALERI foto sendiri di tangga rumah.
GALERI foto sendiri di tangga rumah.

3. Rak gantung bukan saja sebagai dekorasi, malah ia turut mempunyai pelbagai kegunaan. Gantung tiga atau empat rak dalam bilik air dan isikan dengan tuala kecil, sabun dan tisu atau hiasan lain.

Gunakan konsep yang sama di dapur atau bilik tidur anda. Penggunaan rak gantung dapat menjimatkan banyak ruang bagi tujuan penyimpanan selain memudahkan carian apabila anda mahu menggunakan peralatan itu.

4. Bagi koleksi dinding pula jangan biarkan dinding rumah anda suram tanpa hiasan. Anda boleh gantung apa saja mengikut konsep. Selain bingkai gambar, anda boleh menggantung pinggan-mangkuk, kepingan jubin lantai pelbagai corak, topi lama atau tudung saji pelbagai saiz. Teknik hiasan dinding ini dapat memberikan impak segera pada ruang dinding kediaman anda.

KOLEKSI kegemaran menghias dinding rumah.
KOLEKSI kegemaran menghias dinding rumah.

5. Anak pokok juga boleh digunakan sebagai hiasan dalam rumah. Jadikan sudut kecil kediaman anda sebagai taman mini dengan sentuhan hijau. Tanam koleksi tumbuhan dalam bangunan dalam pasu kecil atau cawan teh atau mangkuk lama. Lagi banyak pokok pelbagai jenis ditanam, lagi berseri taman mini dalam rumah anda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 12:26 AM