AIDA Yunaini dan suami menghasilkan produk kraf tangan menarik daripada doh tepung. FOTO Fathil Asri
AIDA Yunaini dan suami menghasilkan produk kraf tangan menarik daripada doh tepung. FOTO Fathil Asri
Fairul Asmaini Mohd Pilus

KRAF tangan daripada adunan doh tepung? Bunyinya macam pelik dan kurang meyakinkan ketika pertama kali penulis mendengarnya.

Namun, selepas melihat sendiri pembuatan dan hasilnya, diakui produk hiasan serta kraf tangan yang diperbuat daripada doh tepung seakan-akan 'hidup' itu memiliki keistimewaan tersendiri.

Tidak hairanlah jika ia memiliki kelompok peminat daripada pelbagai peringkat umur dan semakin ramai yang mengusahakannya.

Antara pengusahanya, Aida Yuhaini Yusoff, 39, dari Sungai Petani, Kedah yang popular dengan produk kraf tangan doh tepung menerusi label Tahira Clay Craft.

Ibu kepada tiga anak berusia antara empat hingga lapan tahun itu sebelum ini mengusahakan pelbagai produk kraf tangan seperti gubahan bunga, hantaran dan sebagainya sebelum beralih kepada hiasan ala tanah liat (clay).

Kata Aida Yuhaini, dia tidak keseorangan kerana suaminya yang juga bekas akauntan, Hasnizar Abd Halim, 40, turut membantu dan mereka banyak mempelajari cara pembuatannya menerusi tutorial dalam talian.

KRAF tangan menarik untuk hiasan di dapur. FOTO Fathil Asri
KRAF tangan menarik untuk hiasan di dapur. FOTO Fathil Asri

SEAKAN bunga dan buah sebenar. FOTO Fathil Asri
SEAKAN bunga dan buah sebenar. FOTO Fathil Asri

"Kami banyak membuat rujukan daripada pakar luar negara kerana kraf tangan tanah liat sudah lama popular di sana.

"Namun, kami tidak menggunakan tanah liat sebaliknya menghasilkan sendiri bahan-bahannya menggunakan tepung jagung, gam, minyak, losyen bayi, pewarna dan sebagainya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Aida Yuhaini lagi, bahan berkenaan diuli menjadi doh lembut dan perlu disimpan dalam bekas kedap udara.

Katanya, bagi memastikan ia tahan lama, doh berkenaan juga tidak boleh dibiarkan terkena udara.

"Proses untuk menghasilkan doh mengambil masa agak lama iaitu sehingga 25 jam dan saya akui, suami lebih mahir untuk membuatnya.

"Ia perlu dibuat dengan tangan secara berhati-hati kerana jika tersalah adunan, ia boleh jadi keras dan tidak boleh digunakan," katanya yang mengambil tempahan dari rumahnya.

Menyentuh mengenai dekorasi, Aida berkata, ia bergantung kepada idea spontan serta trend terkini seperti replika buah-buahan, bunga serta sajian popular seperti nasi lemak, sate, kuetiau goreng, ayam goreng, air batu campur, mahu pun makanan barat seperti macaroon dan burger.

MENU tempatan popular seperti nasi lemak dan air batu campur turut menjadi pilihan. FOTO Fathil Asri
MENU tempatan popular seperti nasi lemak dan air batu campur turut menjadi pilihan. FOTO Fathil Asri

ANTARA hiasan menarik yang dihasilkan. FOTO Fathil Asri
ANTARA hiasan menarik yang dihasilkan. FOTO Fathil Asri

"Kebanyakannya dihiasi di atas pinggan hiasan, cawan, bekas makanan, menu hiasan, pemegang sudu atau garfu, papan penyedia hidangan dan banyak lagi.

"Selain untuk hiasan rumah, ia juga sesuai untuk hiasan pin tudung, pemegang kunci, cenderahati majlis keraian, barangan cenderamata dan sebagainya.

"Semua proses dekorasi menggunakan tangan sepenuhnya dan ia memerlukan ketelitian dan fokus yang tinggi," katanya.

Melihat kepada kreativiti dan ketelitian Aida Yuhaini, tidak hairanlah jika kraf tangan yang dihasilkan seolah-olah asli.

Andai melihat hiasan itu dari jauh, pasti ramai yang tidak menyangka ia sebenarnya adalah daripada acuan doh tepung.

ANTARA peralatan yang digunakan. FOTO Fathil Asri
ANTARA peralatan yang digunakan. FOTO Fathil Asri

PRODUK yang dihasilkan digemari pelbagai lapisan umur. FOTO Fathil Asri
PRODUK yang dihasilkan digemari pelbagai lapisan umur. FOTO Fathil Asri

Menurut Aida Yuhaini, tempahan yang diterima menerusi laman Facebook bergantung kepada musim tertentu dan permintaan pelanggan perseorangan.

Katanya, dia dan suami sebelum ini pernah tidak menang tangan kerana mendapat tempahan 200 produk yang perlu disiapkan dalam masa sebulan.

"Ia bergantung kepada jenis dekorasi yang dimahukan dan untuk menghias pinggan bersaiz 12 inci contohnya, ia mengambil masa antara tujuh hingga lapan jam untuk menyiapkannya.

"Apapun, biar serumit mana rekaannya, alah bisa tegal biasa kerana ia sudah menjadi minat saya dan suami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 7:00 AM