MENJADI rakan dari kecil boleh mengeratkan hubungan anak dan ibu.
MENJADI rakan dari kecil boleh mengeratkan hubungan anak dan ibu.
Hafiz Ithnin

TRANSFORMASI usia daripada kanak-kanak ke alam remaja mempengaruhi ketidaktentuan biologi hingga menyebabkan berlaku pertukaran tingkah laku mereka.

Perkara itu normal, tetapi bagi ibu dan bapa perubahan emosi anak-anak yang baru melangkah ke usia remaja kadangkala sukar untuk difahami terutama apabila dilihat mudah memberontak dan sukar dikawal.

Menurut Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Khaidir Ismail, dalam tempoh perubahan itu ibu dan bapa seharusnya menjadi individu yang paling dekat dan mengalah dengan sifat yang dilihat kurang menyenangkan.

Pakar itu berpendapat apabila berlaku peralihan usia kanak-kanak kepada remaja, anak gadis terutama lebih mudah dekat dengan rakan-rakan sebaya berbanding ibu bapa yang difikirkan tidak memahami keadaan mereka.

Jelasnya, apabila anak gadis memasuki sekolah menengah, perubahan diri dari segi biologi seperti kedatangan haid kadangkala menjadikan mereka rasa kurang selesa.

“Ada juga anak gadis yang mula melihat perubahan muka mereka dinaiki jerawat dan mungkin juga badan mula berisi. Apabila ditegur mereka akan rasa kurang selesa serta sensitif.

“Jadi, perkara utama sebagai ibu dan bapa kita perlu faham peralihan itu secara asasnya serta tidak mudah melatah apabila anak-anak gadis ini menunjukkan tingkah laku yang kurang menyenangkan di mata mereka,” katanya.

Dr Khaidir berkata, dalam era teknologi masa kini ibu dan bapa juga digalakkan untuk mendekati anak perempuan dengan sering berbual serta mengetahui masalah mereka.

“Meskipun ketika ini zaman telefon pintar, kita jangan setiap hari menghantar pelbagai kata motivasi atau klip ceramah kepada anak-anak kerana mereka akan bosan.

“Jadi cara terbaik adalah mendekati mereka secara bersemuka dan lebih menjadi sahabat yang boleh dipercayai. Dalam masa sama kita cuba menyuntik nasihat dalam perbualan,” katanya.

Katanya, sekiranya anak gadis mempunyai adik-beradik perempuan yang lebih besar, gunakan kakak mereka sebagai satu daripada medium untuk mendekati dan memahami masalah yang berlaku pada si adik.

“Kadangkala anak-anak ini mereka rasa tidak selesa untuk berbual dengan kita yang terlalu jauh beza usianya. Jadi jika dia mempunyai kakak kita boleh minta si kakak membantu adik untuk jadi individu yang dipercayai.

“Dalam masa sama, hubungan ibu dan bapa dengan si kakak juga perlu baik bagi memastikan masalah yang berlaku pada si adik dapat disampaikan kepada mereka,” katanya.

Pakar itu juga menasihatkan, ibu dan bapa perlu memberi bimbingan agama yang secukupnya kepada anak-anak kerana pendidikan menerusi didikan agama dapat membantu anak-anak untuk tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan ajarannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 January 2020 @ 6:30 AM