ANTARA rumah mampu milik yang terdapat di negara ini.
ANTARA rumah mampu milik yang terdapat di negara ini.
Hafiz Ithnin


Sime Darby Property Bhd (Sime Darby Property) melalui anak syarikat milik penuhnya, Seed Homes Sdn Bhd (Seed Homes) menandatangani perjanjian pemegang saham dengan Lagenda Properties Berhad (Lagenda Properties) untuk menubuhkan Seed Homes Lagenda sebagai usaha sama 50:50 bagi membangunkan rumah mampu milik.

Seed Homes adalah portfolio terbaru Sime Darby Property yang bertujuan untuk menyampaikan penyelesaian inovatif dalam segmen rumah mampu milik.

Usaha sama itu akan memanfaatkan rekod prestasi Sime Darby Property selama lebih 50 tahun dengan bank tanahnya yang luas dan strategik serta kepakaran Lagenda Properties dalam membangunkan perbandaran mampu milik yang mampan.

Kerjasama ini dijangka menyokong pasaran rumah mampu milik yang semakin berkembang di Malaysia dan seterusnya menggalakkan pemilikan rumah.

Seed Homes Lagenda bakal memulakan projek perbandaran mampu miliknya yang pertama di Gurun, Kedah menerusi perolehan tanah seluas kira-kira 100.767 hektar dari Sime Darby Property.

Dijangka untuk menghasilkan lebih 3,000 buah rumah mampu milik, pembangunan ini memanfaatkan lokasi strategik dan kesan 'spillover' daripada potensi pertumbuhan perindustrian di Gurun.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, pihak amat berbesar hati untuk membentuk kerjasama dengan Lagenda Properties, usaha pertama Sime Darby Property dalam sektor perbandaran mampu milik.

MENGUTAMAKAN keselesaan untuk kediaman mampu milik.
MENGUTAMAKAN keselesaan untuk kediaman mampu milik.

"Kerjasama ini akan membolehkan pembangunan rumah mampu milik secara komersial serta memberikan akses yang lebih baik kepada pemilikan rumah bagi semua pelanggan.

"Usaha sama ini membuktikan komitmen kami untuk menyediakan rumah mampu milik dan bekerjasama dengan pihak-pihak yang boleh memberikan nilai tambahan kepada saranan ini, berpandukan matlamat syarikat sebagai pengganda nilai kepada masyarakat, perniagaan, ekonomi dan global," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Lagenda Properties, Datuk Jimmy Doh berkata, kerjasama itu memanfaatkan kepakaran kedua-dua syarikat untuk menyampaikan standard baru dalam perumahan mampu milik.

"Dengan rekod prestasi yang cemerlang termasuk penghantaran lebih 10,000 rumah mampu milik, Lagenda Properties menunjukkan keupayaan yang tinggi selaras dengan minat dan keperluan pasaran.

"Kepakaran kami membolehkan kami untuk membangunkan perbandaran mampu milik dengan harga yang berpatutan," katanya.

Katanya, model yang terbukti itu, diperbaiki menerusi penambahbaikan berterusan merentas pelbagai projek, adalah kemahiran berharga yang tampilkan dengan Seed Homes Lagenda.

"Bersama dengan Sime Darby Property, kami beraspirasi untuk meningkatkan impak dan meluaskan pengaruh kami untuk menyampaikan rumah mampu milik ke spektrum rakyat Malaysia yang lebih luas," katanya.

PEKA dengan kehendak pembeli.
PEKA dengan kehendak pembeli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2024 @ 6:48 AM