RUMAH kedua yang dibeli lengkap dengan kabinet dapur untuk penyewa.
RUMAH kedua yang dibeli lengkap dengan kabinet dapur untuk penyewa.
TIDAK membelanjakan wang yang besar bagi rumah yang didiami secara peribadi.
TIDAK membelanjakan wang yang besar bagi rumah yang didiami secara peribadi.
Hafiz Ithnin


"SAYA tidak memaksimumkan kemampuan pembiayaan untuk pembelian rumah," jelas lelaki berusia 34 tahun ini kepada penulis.

Rasionalnya, bagi pemilik nama Muhammad Zahir Ramli ini adalah strategi dalam pengurusan kewangan untuk menjadikan aset itu sebagai satu bentuk pelaburan.

Ternyata, kini Muhammad Zahir sudah mempunyai tiga rumah. Seunit didiaminya terletak di Kuantan, Pahang dan dua lagi di Kuala Lumpur sebagai aset pelaburan jangka panjang.

Zahir berkata, dia membeli rumah pertama pada 2018 dengan RM326,000 iaitu sebuah rumah teres setingkat terletak di Kuantan.

"Meskipun ketika itu peratusan pembiayaan mengikut pendapatan bagi pembelian rumah pertama saya boleh melebihi daripada harga berkenaan, tetapi saya melihat ia bukan satu langkah yang baik untuk masa depan.

"Ini kerana saya ingin menggunakan lebihan 'kuota' untuk membeli rumah seterusnya. Malah, untuk rumah pertama saya juga tidak berbelanja besar bagi kerja pengubahsuaian," katanya.

Katanya, dia banyak berbelanja untuk rumah kedua yang dibeli pada 2019 terletak di Kuala Lumpur yang kini disewakan.

MUHAMMAD Zahir melakukan renovasi rumah pertama dibelinya di Kuantan secara berperingkat.
MUHAMMAD Zahir melakukan renovasi rumah pertama dibelinya di Kuantan secara berperingkat.

Jelasnya, rumah keduanya dibeli pada harga sekitar RM410,000 seunit iaitu sebuah rumah strata berkeluasan 950 kaki persegi.

"Apabila saya merancang untuk menjadikan rumah kedua ini sebagai satu bentuk pelaburan, saya lebih banyak mengeluarkan modal untuk kerja pengubahsuaian.

"Ini kerana ia dapat meningkatkan nilai sewaan kepada penyewa. Selain itu, saya menyasarkan penyewa dalam kalangan pekerja profesional yang hanya perlu membawa pakaian apabila menyewa rumah saya," katanya.

Katanya, lokasi juga memainkan peranan penting dalam pembelian rumah terutama untuk menjadikannya sebagai satu pelaburan.

"Sebelum membuat keputusan membeli sesuatu rumah saya akan meninjau potensi dari segi lokasi terlebih dahulu.

"Lokasi mampu menjadikan harga sesebuah rumah untuk disewakan boleh meningkat. Apatah lagi, jika mempunyai kedudukan strategik," katanya.

RUANG makan ringkas di rumah pertama Muhammad Zahir.
RUANG makan ringkas di rumah pertama Muhammad Zahir.

Katanya lagi, jika ingin menyasarkan rumah untuk disewakan itu untuk mereka yang sudah berkeluarga, kemudahan komersial dan awam memainkan peranan penting.

Jelasnya, kemudahan seperti lokasi yang dekat dengan lebuh raya memudahkan penyewa untuk ke tempat kerja. Jika sudah mempunyai anak, pastinya kemudahan sekolah atau pusat jagaan kanak-kanak memberi nilai tambah.

"Bagi saya membeli rumah pertama adalah 'kelas pertama' kerana menerusi pengalaman itu kita akan dapat mengetahui cara pembelian kediaman dan potensinya pada masa depan.

"Jadi, saya tidak melabur wang yang banyak untuk membeli rumah pertama kerana saya boleh gunakan ruang pembiayaan yang lebih itu untuk membeli rumah seterusnya menerusi pengalaman pembelian sebelumnya," katanya.

Ketika ini, rumah ketiga yang dibeli Zahir pada 2020 dalam proses untuk disiapkan terletak di Cheras, Kuala Lumpur juga terletak berhampiran kawasan kejiranan yang sudah matang.

Katanya, untuk rumah yang ingin didiami tidak perlu tergesa-gesa dalam melakukan kerja pengubahsuaian kerana ia boleh dilakukan secara berperingkat.

SALAH satu bilik untuk disewakan Muhammad Zahir bagi rumah keduanya.
SALAH satu bilik untuk disewakan Muhammad Zahir bagi rumah keduanya.

"Pada pendapat saya, rumah yang hendak didiami sendiri boleh diubah suai secara berperingkat mengikut kemampuan dan tidak perlu membuat pembiayaan tambahan bagi tujuan itu.

"Apabila kita hendak membuat pembiayaan seterusnya bagi pembelian rumah, pihak bank akan menilai nisbah komitmen daripada pendapatan. Jika komitmen pembiayaan terlalu banyak pasti sukar mendapat kelulusan bagi pembelian rumah seterusnya," katanya.

MENYEDIAKAN pelbagai kemudahan untuk penyewa memberi nilai tambah.
MENYEDIAKAN pelbagai kemudahan untuk penyewa memberi nilai tambah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 6:30 AM