NILAI pasaran kediaman pada nilai tinggi membolehkan akta sebagai melindungi baik hak pemilik mahupun penyewa.
NILAI pasaran kediaman pada nilai tinggi membolehkan akta sebagai melindungi baik hak pemilik mahupun penyewa.
Nurul Husna Mahmud


TIADA lagi akta seumpamanya dalam melindungi hak pemilik kediaman dan penyewa menyebabkan isu berkaitan sewa bilik kediaman tiada penyelesaian sehingga hari ini.

Meskipun pada dasarnya sewa rumah memberi nilai tambahan atau pendapatan sampingan buat pemilik menerusi milikan hartanah, namun ada kalanya boleh mendatangkan implikasi buruk berikutan tiada lagi peruntukan khusus menjamin hak pemilik hartanah itu.

Tiadanya akta sewa kediaman (Residensi Act) yang merujuk peruntukan jelas mengenai hak kedua-dua iaitu pemilik dan penyewa boleh mengundang konflik sehingga membabitkan isu sivil andai kontrak tidak dapat ditelusi dengan adil.

Presiden HartaGuam Datuk Nazri Mustafa yang juga peguam, berharap supaya kerajaan menyegerakan pelaksanaan akta sewa kediaman bersesuaian dengan situasi semasa yang mana hartanah ketika ini mencanak nilainya.

Pada ketika ini harga rumah cukup tinggi dan begitu juga dengan kadar sewaan yang menyebabkan ada kalanya keterlaluan sehingga menekan penyewa.

Jadi setidak-tidaknya dengan ada akta ini kerajaan dapat melihat dan memperhalusi kadar sewaan sama ada sepadan dengan nilai hartanah itu sendiri.

Saya melihat pelaksanaan sangat berkesan membabitkan negara maju seperti United Kingdom, Australia mahupun Kanada yang didapati banyak melindungi hak pemilik dan penyewa kediaman. Ia boleh diambil pakai sebagai contoh serta diubah suai mengikut kesesuaian kita,” katanya.

Dalam kes membabitkan perjanjian antara pemilik dan penyewa ketika ini kata Nazri, ia dilaksanakan menerusi inisiatif pemilik yang merangka terma serta butiran berdasarkan sampel perjanjian sedia ada di Internet mahupun diuruskan ejen yang mencari pendapatan sampingan.

Bagi pemilik, mereka boleh letak terma mengikut kehendak dirasakan sesuai, sementara penyewa pula biasanya terus menandatangani tanpa meneliti setiap terma.

Meskipun adanya proses formaliti dan dokumentasi rasmi, tetapi ia masih tidak mampu menyelesaikan isu berbangkit berkaitan sewaan kediaman ini secara tulus.

Biasanya apabila timbul sesuatu masalah dan dibawa ke peringkat pengadilan, ia tiada tindakan segera dan pantas boleh diambil kerana tiada peruntukan undang-undang khusus yang menerangkan secara jelas.

NAZRI berharap akta sewa kediaman dapat disegerakan untuk melindungi pemilik mahupun penyewa.
NAZRI berharap akta sewa kediaman dapat disegerakan untuk melindungi pemilik mahupun penyewa.

Ketika ini kes membabitkan isu sewa kediaman hanya berpandukan Akta Kontrak 1950, Akta Distress 1951, Akta Relief Spesifik 1950 serta Akta Undang-undang Sivil 1956. Namun apabila pemilik membawa hal itu ke mahkamah, dengan tempoh pengadilan mengambil masa dan penyewa pun sendiri sudah menghilang, kos perbicaraan akan kembali kepada pemilik,” katanya.

Berkongsi kes anak guamnya, kata Nazri, pada satu tahap masalah antara penyewa dan pemilik boleh menjadi rumit apabila pemilik biasanya mengambil penyelesaian sendiri.

Satu kes pernah dirujuk membabitkan kes sivil iaitu menceroboh dikenakan terhadap pemilik apabila mengalihkan barang kepunyaan penyewa ke tempat lain ketika penyewa bertugas di luar daerah.

Tindakan pemilik itu didorong atas rasa tidak puas hati dengan sikap penyewa yang culas. Kesannya pemilik ditahan di lokap kerana penyewa membuat laporan polis dengan mengatakan barangnya hilang dan kediamannya diceroboh.

Lain-lain kes termasuk ada antara pemilik perlu menanggung bil utiliti sehingga ribuan ringgit kerana sikap penyewa enggan melunaskan komitmen bulanan itu.

Belum lagi isu membabitkan kes jenayah seperti menjadi lokasi untuk aktiviti jenayah dan sebagainya. Pada saya adanya akta ini boleh memberi keadilan dan kesejahteraan termasuk kepada ruang lingkup sosial mahupun kejiranan kawasan kediaman terbabit,” katanya mengetahui ketika ini perkembangan akta masih dalam perangkaan untuk dilaksanakan bagi tempoh dua tahun akan datang.

Nazri turut mencadangkan supaya Akta Sewaan Kediaman itu memberi kuasa untuk penubuhan sebuah tribunal khusus menangani isu timbul antara pemilik dan penyewa.

Sementara itu, pemilik rumah, Muhammad Ayub Tuyop, 59, berkata, di sebalik keuntungan ditawarkan menerusi sewaan kediaman ada risiko luar jangka perlu ditanggung pemilik.

Pengalaman sendiri apabila perlu menanggung tunggakan bil air penyewa mencecah ribuan ringgit antara masalah pernah dihadapi selepas menyewa kepada seorang individu kononnya usahawan ternakan berjaya.

Saya tidak menyangka dia yang sentiasa berdisiplin menyelesaikan komitmen sewa bulanan RM700, rupanya meninggalkan tunggakan bil air untuk beberapa bulan. Apabila saya hubungi, nombor telefonnya sudah bertukar dan alamat terakhir tidak dapat dikesan, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 6:30 AM