SUASANA kediaman bagaikan sebuah resort dengan kemudahan perubatan terkini direka teliti untuk individu 60 tahun ke atas
SUASANA kediaman bagaikan sebuah resort dengan kemudahan perubatan terkini direka teliti untuk individu 60 tahun ke atas
Fairul Asmaini Mohd Pilus

MENJELANG 2030, rakyat Malaysia diunjur menjadi masyarakat menua dengan golongan berumur 60 tahun dan ke atas merangkumi 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Menurut unjuran Bank Dunia, Malaysia juga bakal mencapai status negara sangat menua (super aged nation) menjelang 2056, di mana 20 peratus daripada penduduknya berumur 65 tahun dan ke atas.

Namun, warga emas di negara ini sering berdepan cabaran ekoran persepsi masyarakat mengenai ketidakupayaan dan kebergantungan 24 jam mereka.

Justeru bagi menyediakan persekitaran kehidupan yang lebih kondusif, Pacific Senior Living (PSL) memperkenalkan kediaman untuk warga emas, Acacia di Bandar Diraja Klang, Selangor.

Lokasinya yang strategik di pusat bandar Klang dan tidak jauh dari bandar raya Kuala Lumpur, kediaman itu menawarkan kesejahteraan holistik dan nafas baharu kepada warga emas dengan kepakaran serta kualiti perkhidmatan yang terbukti.

Mewakili pendekatan dalam gaya hidup warga emas, ia menampilkan suasana bagaikan sebuah resort dengan kemudahan perubatan terkini serta perkhidmatan premium yang direka teliti untuk individu berumur 60 tahun ke atas.

Di sebalik persekitarannya yang indah, lokasi kediaman itu turut menawarkan ketenangan kepada penghuninya dalam suasana penuh bersejarah.

Selain itu, penghuni juga dijamin kebolehcapaian mudah kepada kemudahan serta perkhidmatan kritikal.

Ketua Pegawai Eksekutif Pacific Senior Living Sdn Bhd, Carl Nicholas Isaac berkata, pihaknya komited dan teruja untuk memperkenalkan kediaman pertama di Lembah Klang yang dibina khas untuk warga emas.

SULTAN Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan meninjau kemudahan disediakan di residensi berkenaan.
SULTAN Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin berkenan meninjau kemudahan disediakan di residensi berkenaan.

Kata beliau, pihaknya juga yakin Klang mampu menyediakan perkhidmatan yang cekap dan berkualiti.

Pada masa sama bertaraf antarabangsa selain membantu memenuhi permintaan yang semakin meningkat bagi kemudahan inovatif kehidupan warga emas di Lembah Klang.

Katanya, sebagai sebahagian daripada pendekatan kemampanan dan komitmen mereka terhadap daya tahan perubahan iklim, kediaman berkenaan diberi nafas baharu melalui pengambil alihan bekas Hotel Merrida yang bertaraf empat bintang.

"Kediaman serba moden ini direka teliti, menggabungkan elemen yang memberi perhatian kepada perincian seperti kelengkapan dan perabot antijatuh serta susun atur ergonomik.

"Di samping pelbagai kemudahan komprehensif termasuk kolam renang, jakuzi panas, kawasan barbeku, bilik hiburan (karaoke dan bilik tayangan), serta meja biliard dan mahjong," katanya pada majlis perasmian kediaman berkenaan baru-baru ini.

Majlis perasmian disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tunku Muhriz.

Hadir sama, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sementara itu, kediaman berkenaan juga menawarkan kemudahan khusus seperti perkhidmatan fisioterapi dalaman dan bengkel hobi untuk memenuhi pelbagai minat penghuni.

Perkhidmatan jagaan harian inovatif, Silver Club juga diperkenalkan bagi memastikan penghuninya mendapat penjagaan menyeluruh dan menyertai pelbagai aktiviti menarik.

SUSUN atur dalam kediaman yang ergonomik dan dilengkapi perabot antijatuh.
SUSUN atur dalam kediaman yang ergonomik dan dilengkapi perabot antijatuh.

Ia secara tidak langsung mewujudkan persekitaran yang mesra dan menarik di mana warga emas boleh menikmati pelbagai aktiviti, bersosial serta mendapat penjagaan profesional di bawah satu bumbung.

Ciri tambahan itu meningkatkan keselesaan dan ketenangan fikiran bagi mereka yang ingin mendapatkan penyelesaian penjagaan warga emas yang komprehensif dan fleksibel.

Menurut Carl lagi, pihaknya memberi penekanan penting untuk menyampaikan sokongan holistik kepada individu yang bergelut dengan isu seperti gangguan pendengaran, batasan pergerakan dalam rutin harian dan isu mobiliti.

"Semua itu memerlukan penjagaan khusus serta tempat kediaman yang sesuai.

"Dengan kerjasama Columbia Asia selaku penyedia penjagaan kesihatan strategik, kami komited untuk memastikan setiap penghuni di residensi ini mendapat akses kepada sumber penjagaan kesihatan dan kesejahteraan yang sebaiknya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 7:03 AM