Amir Abd Hamid

Shah Alam: Nestle (Malaysia) Berhad, hari ini, secara rasmi melancarkan Pusat Pengeluaran Makanan Berasaskan Tumbuhan, di sini, membabitkan pelaburan RM150 juta.

Ia adalah satu daripada dua kilang seumpamanya di seluruh Asia yang juga fasiliti perintis di Asean.

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Zon Asia, Oceania dan Afrika Sub-Sahara, Nestle S A Chris Johnson berkata, Malaysia khususnya Selangor dipilih sebagai lokasi hab pembuatan baharu kerana menawarkan infrastruktur diperlukan.

"Selain itu, ini adalah lokasi menarik hubungan perdagangan ditambah lagi memiliki sumber tenaga mahir.

"Berpaksikan kejayaan Nestle selama 108 tahun di negara ini, kami yakin fasiliti baharu ini akan mencipta peluang pertumbuhan baharu yang menarik bagi makanan berasaskan tumbuhan di rantau ini.

"Nestle Malaysia sudah melabur sebanyak RM150 juta bagi membina fasiliti ini yang turut menjadi penyumbang utama kepada perbelanjaan modal berjumlah RM280 juta pada tahun 2020, iaitu perbelanjaan tertinggi dalam tempoh enam tahun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam mesej video pada majlis perasmian Pusat Pengeluaran Makanan Berasaskan Tumbuhan Nestle Shah Alam, di sini, hari ini.

SULTAN Selangor,  Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (dua kanan) hadir sama Tengku Permaisuri Norashikin  (dua kiri) turut sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin (kiri) melawat kilang memproses produk Nestle PBMS pada majlis pelancaran Kemudahan Penyelesaian Makanan Berasaskan Tanaman (PBMS) perintisnya di Kompleks Shah Alam di Selangor di Kilang Kompleks, Nestlé Manufacturing (M) Sdn Bhd,Shah Alam. FOTO Aswadi Alias
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (dua kanan) hadir sama Tengku Permaisuri Norashikin (dua kiri) turut sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin (kiri) melawat kilang memproses produk Nestle PBMS pada majlis pelancaran Kemudahan Penyelesaian Makanan Berasaskan Tanaman (PBMS) perintisnya di Kompleks Shah Alam di Selangor di Kilang Kompleks, Nestlé Manufacturing (M) Sdn Bhd,Shah Alam. FOTO Aswadi Alias

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, berkenan mencemar duli bagi menyempurnakan majlis itu.

Hadir sama, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Pengerusi Nestle Malaysia, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif Nestle Malaysia, Juan Aranols.

Johnson berkata, Pusat Pengeluaran Makanan Berasaskan Tumbuhan itu akan menghasilkan makanan berasaskan tumbuhan bukan sahaja bagi memenuhi pasaran tempatan malah untuk dieksport.

"Kini, ia adalah keutamaan penting Kumpulan Nestle secara global menggalakkan masyarakat untuk mengambil lebih banyak makanan berasaskan tumbuhan," katanya.

Terletak di dalam Kompleks Perindustrian Nestle sedia ada di Shah Alam, kilang pengeluaran baharu itu mempunyai ruang binaan seluas kira-kira 6,000 meter persegi, kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 8,000 tan dan dilengkapi dengan mesin pemprosesan makanan terkini dengan mesin pembungkusan automatik sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 12:53 PM