SULTAN Sharafuddin berkenan merasmikan bangunan baru Mahkamah Klang.
SULTAN Sharafuddin berkenan merasmikan bangunan baru Mahkamah Klang.
Siraj Mohd Zaini


Klang: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah prosiding mahkamah akan menjadi lebih lancar dan cekap selepas dilengkapi pelbagai kemudahan canggih berbanding sebelum ini.

Titah baginda, setiap mahkamah terbuka di Mahkamah Klang turut dilengkapi kemudahan Sistem Rakaman dan Transkripsi (CRT) bagi membolehkan orang ramai melihat semula rakaman video dan visual prosiding.

Baginda bertitah, melalui pelbagai kemudahan baru itu, pelbagai masalah termasuk kes tertangguh yang membebankan mahkamah selama ini diharap dapat dikurangkan bagi meningkatkan imej mahkamah.

“Kes tertunggak dan kelewatan perbicaraan sedikit sebanyak menjejaskan imej kehakiman kerana tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh sepatutnya.

“Akibatnya, masyarakat mempunyai persepsi negatif terhadap mahkamah dan orang ramai tawar hati untuk mengambil tindakan bagi mendapatkan pertimbangan serta menegak hak mereka di mahkamah,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan mencemar duli bagi merasmikan bangunan baru Mahkamah Klang di sini, semalam.

Baginda diiringi Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.

Sultan Sharafuddin bertitah, warga kerja Mahkamah Selangor juga perlu bersikap mesra pelanggan serta mengutamakan sikap profesionalisme pada setiap masa dan keadaan.

“Dengan komitmen yang bersungguh-sungguh oleh semua pihak, beta percaya kes di mahkamah akan diselesaikan dengan cepat dan efisien.

“Masa terus berlalu dan didapati jumlah kes di mahkamah semakin bertambah. Oleh itu, penambahan bilangan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret serta Bilik Bicara amat diperlukan,” titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2016 @ 9:51 AM