PEMBIAYAAN semula pinjaman perumahan antara pilihan popular bagi mendapatkan dana mengubah suai rumah.
PEMBIAYAAN semula pinjaman perumahan antara pilihan popular bagi mendapatkan dana mengubah suai rumah.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

MENGUBAH suai kediaman mengikut cita rasa sendiri hakikatnya memerlukan kos yang tinggi.

Sama ada mahu membina kabinet dapur, menggantikan jubin dalam bilik mandi atau mengubah suai ruang supaya lebih luas, semuanya memerlukan bajet yang besar.

Tanpa simpanan yang mencukupi, harapan memiliki rumah idaman sememangnya sukar direalisasikan.

Namun, tahukah anda ada penyelesaian lain yang boleh dipertimbangkan sekiranya mahu mengubah suai kediaman tidak mempunyai wang simpanan.

Antaranya, mendapatkan pinjaman daripada pihak bank.

Terdapat dua jenis pinjaman yang boleh anda pohon iaitu pinjaman peribadi atau pinjaman pengubahsuaian.

Pinjaman peribadi adalah penyelesaian paling mudah kerana semua bank di negara ini menawarkan kemudahan itu walaupun berbeza terma dan syaratnya.

MENGUBAHSUAI kediaman mengikut citarasa sendiri memerlukan bajet yang tinggi.
MENGUBAHSUAI kediaman mengikut citarasa sendiri memerlukan bajet yang tinggi.

Bandingkan tawaran yang ada dan pastikan tidak mengambil jumlah pinjaman melebihi apa yang diperlukan kerana ia boleh membebankan pada masa hadapan.

Untuk pinjaman pengubahsuaian, ada sesetengah bank yang menawarkan kemudahan berkenaan.

Namun, ia biasanya hanya ditawarkan kepada pelanggan yang membuat pinjaman perumahan dengan bank terbabit.

Antara kelebihan pinjaman jenis itu ialah kadar faedahnya kompetitif, mungkin cara paling praktikal bagi mendapatkan pembiayaan untuk mengubahsuai kediaman.

Dari segi kekurangannya pinjaman itu juga akan dikenakan caj faedah, maka kos pengubahsuian secara tidak langsung menjadi lebih tinggi.

Cara yang sering dilakukan pemilik kediaman di negara ini ialah membuat pembiayaan semula pinjaman perumahan.

Dengan mengandaikan nilai rumah sudah meningkat, pembiayaan semula pinjaman perumahan secara umumnya akan membabitkan pinjaman yang baharu dengan terma yang lebih menguntungkan berbanding dengan pinjaman yang sebelum ini.

ADA sesetengah bank yang menawarkan kemudahan khusus untuk pembiayaan pengubahsuaian.
ADA sesetengah bank yang menawarkan kemudahan khusus untuk pembiayaan pengubahsuaian.

Pemilik kediaman boleh 'mengeluarkan' keuntungan daripada peningkatan nilai rumah itu dan gunakan untuk pengubahsuaian rumah.

Selain itu, tempoh pinjaman juga boleh dipendekkan sekiranya anda inginkan supaya boleh menghabiskan pembayaran pinjaman lebih awal.

Kelebihan kaedah pembiayaan semula ialah, ia cara paling mudah untuk mendapat keuntungan daripada peningkatan nilai hartanah tanpa perlu menjual rumah itu.

Kadar faedah pinjaman sebelum ini juga mungkin boleh diturunkan kepada kadar terkini, menjadikan jumlah ansuran bulanan yang perlu dibayar adalah lebih rendah.

Apapun, pinjaman pembiayaan semula itu bererti anda memiliki komitmen baharu.

Sekiranya membayar pinjaman sebelum sudah menjadi beban, kaedah itu bolehlah dipertimbangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 6:30 AM