JAMBATAN Mostar menawarkan pemandangan menarik.
JAMBATAN Mostar menawarkan pemandangan menarik.
Che Suriati Che Said


PERKATAAN 'Balkan' berasal dari bahasa Turki yang bermaksud pergunungan.

Kebanyakan kawasan di Balkan juga merujuk kepada wilayah tenggara Eropah yang ditutupi dengan pergunungan.

Februari lalu, penulis bersama suami, Ahmad Fairuz Ramli dan anak, Nur Alisha Ahmad Fairuz mengambil peluang menjelajah beberapa negara di wilayah itu.

Salah satu negara penulis jelajahi ialah Bosnia dan Herzegovina atau lebih tepat ibu negaranya, Sarajevo serta bandar Mostar.

Keinginan penulis meluap-luap untuk melawat Balkan itu sendiri kerana mengetahui kebanyakan negara ini pernah di bawah empayar Uthmaniyah atau Ottoman yang mana cukup menarik untuk dilihat dari segi sejarah atau peninggalannya.

Sarajevo dan Mostar antaranya boleh dilihat kesan ketara masjid dua bandar itu apabila mengekalkan seni bina iaitu kubah berwarna biru selain struktur serta reka bentuk masjid tidak jauh beza dengan yang ada di Turki.

Contohnya ketika kami sampai di Sarajevo, satu destinasi lawatan kami iaitu Masjid King Fadh bagi mendirikan solat Zuhur, perasaan apabila menjejak kaki di situ rasanya seperti menunaikan solat di masjid yang ada di Istanbul, Turkiye.

Itu pada pengamatan kami, benarlah Bosnia dan Herzegovina ini pernah berada di bawah empayar Uthmaniyah dahulu.

BLAGAJ Tekke tempat ahli sufi.
BLAGAJ Tekke tempat ahli sufi.

Pengembaraan kami ke Sarajevo sebenarnya dengan memandu kenderaan disewa terlebih dahulu di Skopje, Macedonia.

Sebelum pergi bercuti, saya dan suami mengkaji banyak perkara termasuk tempat tarikan yang ada dan prosedur perjalanan bagi memudahkan penjelajahan ke beberapa negara Balkan.

Maklumlah setiap negara ada pintu sempadan masing-masing dan jalan setiap negara juga lebih kurang sama. Kena cakna pintu keluar masuk setiap negara.

Kami banyak menggunakan peta Google dan disokong dengan sistem kedudukan sejagat (GPS) untuk memandu arah ke negara atau bandar kami kunjungi.

PENULIS bersama penduduk tempatan.
PENULIS bersama penduduk tempatan.

Namun ada kala 'terbabas' ke negara tidak sepatutnya iaitu Serbia yang mana pasport Malaysia tidak boleh digunakan di negara itu. Mujur pegawai imigresen bertugas memahami dan membenarkan kami melakukan pusingan U tanpa mengenakan sebarang tindakan.

Bezanya, menjelajah dengan memandu sendiri sangat puas apabila menempuh laluan kawasan pergunungan dan dapat berhenti sebaik menemui tempat menarik.

Seperti di Sarajevo, satu taman cukup cantik Vrelo Bosne yang mana kehijauan diserikan lagi aliran sungai dari mata air pergunungan turut menjadi lokasi persinggahan wajib di bandar itu.

Umum sedia maklum dengan sejarah peperangan Bosnia dan Hazergovina, jadi kami turut melawat lokasi menceritakan sejarah itu iaitu Tunnel Of Hope.

SUAMI penulis ketika dalam terowong kayu.
SUAMI penulis ketika dalam terowong kayu.

Menariknya mengenai terowong ini dibina dengan struktur kayu oleh tentera Bosnia dan Herzegovina ketika peperangan dengan tentera Serbia pada 1993.

Terowong ini menjadi laluan penting untuk menyalurkan bantuan makanan, keperluan perang dan perubatan ke kawasan terkesan teruk antaranya Dobrinja dan Butmir, Ilidza.

Dalam lawatan itu juga, kami mengunjungi Muzium Perang Kanak-kanak (War Childhood Museum), Muzium Nasional Bosnia dan Herzegovina (Muzej Museum), Brusa Bezistan dan sekitar bandar terbabit.

Perjalanan kami seterusnya ke bandar Mostar yang mana bandar lama (Old Town) menjadikan ia antara destinasi wajib apabila sampai di Bosnia dan Herzegovina.

AIR sungai yang jernih di Vrelo Bosne.
AIR sungai yang jernih di Vrelo Bosne.

Ikonik di sini ialah jambatan lama Mostar itu sendiri yang mana pemandangan sungai mengalir dengan di sekelilingnya gunung-ganang tidak ubah seperti pemandangan sering dilihat dalam internet.

Satu perkara lain yang menarik di sini, boleh minum air terus dari sungai atau paip kerana masih terpelihara dan tidak tercemar.

Dari segi makanan, penduduk di Bosnia dan Herzegovina ini tidak jauh beza dengan Turkiye, ada hidangan roti atau dagingnya. Kalau versi negara ini ialah 'cevapi' iaitu kebab dengan inti daging, keju dan sos buatan mereka.

Saya memang sudah buat persiapan untuk bawa juga makanan dari Malaysia kerana bimbang sudah jemu atau kesukaran mencari sajian sesuai dengan tekak sendiri.

TUNNEL Of Hope kini menjadi tempat bersejarah.
TUNNEL Of Hope kini menjadi tempat bersejarah.

Cabaran lain ialah mata wang kerana di Balkan kebanyakannya menggunakan mata wang Euro dalam urus niaga mereka. Namun kos sara hidup kebanyakan negara berkenaan masih tahap sederhana atau lebih murah kerana negara terbabit sedang membangun.

Persiapan untuk mereka yang mahu berkunjung sendiri, pastikan kaji terlebih dahulu mengenai masyarakat di sana terutama pencarian restoran atau kedai makan halal.

Di sana sukar untuk bezakan antara Muslim dengan bukan Muslim kerana rupa paras mereka hampir sama. Selain itu, cabaran bahasa, kerana untuk kawasan pinggir bandar mereka tidak fasih berbahasa Inggeris.

Kebanyakan masa macam 'ayam dan itik' dan banyak menggunakan bahasa tubuh untuk berkomunikasi dengan masyarakat di sana.

MAKANAN di Bosnia dan Herzegovina banyak berasaskan roti dan daging.
MAKANAN di Bosnia dan Herzegovina banyak berasaskan roti dan daging.

Rakyat negara itu juga amat menghargai rakyat Malaysia kerana negara kita antara negara terawal yang menghulurkan bantuan ketika peperangan dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 6:30 AM