KEINDAHAN bandar Montenegro dari tanah tinggi yang mempunyai pesona tersendiri.
KEINDAHAN bandar Montenegro dari tanah tinggi yang mempunyai pesona tersendiri.
Hafiz Ithnin


PENERBANGAN dari Kuala Lumpur menuju Doha, Qatar mengambil masa kira-kira enam jam pada April 2019 seperti tidak terasa jauh buat pemuda ini kerana ingin mengembara lebih jauh ke beberapa negara di Balkan.

Bermula dari Bulgaria, Macedonia, Albania, Montenegro, Crotia dan Bosnia melalui jalan darat sememangnya menjadi keterujaan kepada Jaslin Puasa ketika itu.

Baginya, itu kali pertama dia menjejakkan kaki ke Balkan selepas ramai orang bercerita mengenai keindahannya.

Paling menarik bagi Jaslin, apabila dia menggunakan bas dan karavan selama 40 hari mengembara ke semua negara berkenaan.

Katanya, dia juga dapat menikmati pengalaman berpuasa hampir 30 hari dalam pengembaraannya di sana memandangkan jadual perjalanannya merentasi Ramadan.

"Sebaik tiba di Sofia, Bulgaria saya sudah merancang melawat tempat peninggalan sejarahnya dan berpeluang melihat bandar itu dari 'kaca mata burung' menerusi lawatan ke Gunung Vitosha.

"Sofia amat terkenal dengan bangunan tinggalan sejarah yang menarik dan unik antaranya rumah ibadat yang pelbagai seperti Masjid Banya Bashi yang sudah wujud sejak 1566. Ia antara ikon yang wajib dilawati sekiranya berada di Sofia," katanya.

Jaslin berkata, Masjid Banya Bashi juga mempunyai seni bina yang menarik untuk dirakam menerusi kanta lensa memandangkan ia mempunyai pengaruh Empayar Utmaniyah.

Jelasnya, untuk melawati Gunung Vitosha, pengunjung tidak perlu mendaki memandangkan ia boleh diakses menggunakan perkhidmatan bas awam.

"Gunung Vitosha juga antara lokasi wajib untuk dilawati jika ke Sofia kerana menawarkan pemandangan yang cantik dan boleh melihat bandar raya Sofia dari kaca mata burung.

"Ketika Vitosha, saya dapat merasai pengalaman bermain ais memandangkan ketika itu sudah berada di penghujung musim sejuk," katanya.

Pemuda berusia 34 itu juga berkata, dari Bulgaria dia mula menggunakan perkhidmatan karavan untuk mengembara ke Macedonia, Albania, Montenegro dan Crotia.

Katanya, selama 30 hari dia menggunakan karavan untuk keempat-empat negara berkenaan dan setiap malam akan menginap menggunakan perkhidmatan Airbnb.

STARI Most antara mercu tanda wajib dilawati di Bosnia-Herzagovina.
STARI Most antara mercu tanda wajib dilawati di Bosnia-Herzagovina.

PANORAMA gunung seakan-akan kanvas lukisan di Kotor, Montenegro.
PANORAMA gunung seakan-akan kanvas lukisan di Kotor, Montenegro.

"Menariknya apabila menggunakan karavan, saya lebih mudah berhenti untuk melawat tempat yang menarik sepanjang perjalanan ke semua negara itu.

"Selain itu, dalam perjalanan saya juga melalui lebuh raya yang merentasi kawasan pedalaman, melalui persisir pantai, hutan, sungai dan hutan pain serta bandar utama," katanya.

Jelasnya, semua lokasi pengembaraannya mempunyai keunikan tersendiri seperti di Macedonia dengan Old Town dan tinggalan sejarah peperangan yang pernah berlaku di negara itu.

"Di Macedonia juga saya berpeluang melawat colosseum versi negara itu, Ancient Theatre of Ohrid di Ohrid yang berada dalam bandarnya, Skopje.

"Selain itu, negara berkenaan juga terkenal dengan tugu legenda Alexander the Great yang boleh dilihat dengan lebih dekat," katanya.

Katanya, dalam perjalanan ke Albania ada sebuah tasik yang menghubungkan antara negara itu dan Macedonia menarik untuk dilawati iaitu Tasik Ohrid.

"Di Albania, saya berkesempatan mengunjungi Gunung Dajti yang boleh menggunakan karavan untuk sampai ke puncaknya.

"Di gunung itu terdapat pelbagai aktiviti tali tinggi dan boleh melihat Albania secara keseluruhan," katanya.

Jaslin berkata, negara yang paling menarik ialah Montenegro kerana pemandangannya amat menarik yang dikelilingi pelbagai bentuk muka bumi.

"Apabila melalui kawasan tinggi, kita dapat melihat bandar Montenegro, Budva yang dikelilingi lautan dan mempunyai pemandangan pergunungan.

"Saya boleh katakan kecantikannya seperti sebuah lukisan kanvas yang menarik untuk ditatapi apabila berada di sana," katanya.

Katanya, di Montenegro antara lokasi yang wajib untuk dilawati ialah Kotor kerana terdapat banyak kapal persiaran yang berlabuh.

"Selain itu, Sveti Stefan juga adalah lokasi yang menarik sehingga dikenali sebagai New Monte Carlo kerana kecantikannya.

JASLIN di puncak Gunung Vitosha.
JASLIN di puncak Gunung Vitosha.

SVETI Stefan yang mendapat jolokan New Monte Carlo.
SVETI Stefan yang mendapat jolokan New Monte Carlo.

"Jika berkunjung ke Budva terdapat pelbagai restoran makanan laut yang dijual dengan harga yang berpatutan dan ia sangat segar memandangkan Budva berhampiran laut," katanya.

Di Crotia, Jaslin mengunjungi Dubrovnik yang menjadi lokasi penggambaran siri drama popular antarabangsa, Game of Thrones.

"Saya juga mengunjungi Old Town di Croatia iaitu Split yang juga berhampiran pantai dan boleh dikatakan menjadi destinasi percutian mewah bagi sesetengah pengunjung memandangkan terdapat resort lima bintang di sana," katanya yang turut ke Zagreb.

Destinasi negara terakhir Jaslin ialah di Bosnia-Herzegovina yang mempunyai tinggalan sejarah peperangan dan panorama alam semula jadi yang memukau.

"Di Bosnia seperti diketahui pernah berlaku peperangan dan jika berada di Mostar misalnya, kita dapat melihat dengan jelas bangunan yang pernah terkena tembakan.

"Antara pemandangan semula jadi yang menarik di negara itu ialah Brelobosne yang mempunyai sungai," katanya.

Terakhir, Jaslin mengunjungi Travnik yang terletak di kawasan perkampungan yang dikenali sebagai negeri di atas awan.

"Ia adalah kawasan tinggi yang mempunyai perkampungan dan ketika melalui jalan di kawasan tinggi, kita akan dilitupi awan.

"Travnik juga menjadi destinasi popular dalam kalangan mereka yang gemarkan aktiviti bermain ski pada musim sejuk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Ogos 2021 @ 7:01 AM