HANYA sekadar 100 meter dari hostel saja untuk menikmati persembahan cahaya aurora itu.
HANYA sekadar 100 meter dari hostel saja untuk menikmati persembahan cahaya aurora itu.
Mohamad Hilmi Osman


KEINDAHAN pemandangan fenomena aurora sering dikaitkan dengan Norway, Kanada dan Iceland. Ramai yang terlepas pandang bahawa fenomena aurora ini juga boleh dilihat dan dinikmati di sebelah utara Russia.

Malah di Russia saja, ada tujuh lokasi yang terkenal untuk menikmati keindahan aurora dan satu adalah di Teriberka, Murmansk. Ini mungkin kerana ia kurang popular berbanding lokasi lain.

Penulis yang suka mengembara pada awalnya juga tidak tahu fenomena aurora juga boleh dilihat di Russia hinggalah rakan mengembara memberi cadangan untuk menikmati fenomena menakjubkan ini sebagai aktiviti pengembaraan di Russia selama 18 hari termasuk perjalanan di dalam kereta api Transiberia.

PELUANG diguna sebaik mungkin untuk merakam gambar dan menikmati keindahan secara langsung di depan mata.
PELUANG diguna sebaik mungkin untuk merakam gambar dan menikmati keindahan secara langsung di depan mata.

Teriberka menjadi pilihan kerana ia adalah lokasi terdekat dari ibu negara Russia iaitu Moscow. Teriberka adalah sebuah perkampungan nelayan di utara Russia yang menghadap Lautan Barents. Teriberka terletak lebih kurang 130 kilometer dari bandar Murmansk.

Bilangan penduduk di perkampungan Teriberka lebih kurang 2,000 orang sahaja. Oleh kerana itu, kurang pengangkutan awam ke sini dari bandar Murmansk. Pun begitu keindahan Teriberka menarik perhatian dan ia pernah menjadi lokasi penggambaran filem Leviathan pada 2014.

Untuk ke sana, kami mengambil penerbangan UTair dari Moscow ke bandar Murmask yang mengambil masa hampir dua setengah jam. Kami tiba di bandar Murmask seawal jam 4.30 pagi. Pada asalnya kami bercadang untuk mengambil bas dari Murmansk ke Teriberka. Apabila merujuk kepada jadual bas, ia hanya bergerak pada sebelah petang ke Teriberka.

SUASANA indah saat matahari terbit.
SUASANA indah saat matahari terbit.

Oleh kerana tidak mahu membuang masa menunggu hingga ke petang, kami mengambil keputusan menggunakan perkhidmatan 'e-hailing' yang bernama Yandex. Tambang yang dikenakan adalah sebanyak RUB2,200 iaitu lebih kurang RM140. Kami bernasib baik kerana ada kereta yang sanggup ke sana seawal jam 5.30 pagi walaupun perkampungan Teriberka adalah kawasan pedalaman dan perlu melalui kawasan tundra yang tiada penduduk sepanjang perjalanan.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang dua jam. Angin bertiup kuat sepanjang perjalanan dan kelihatan puing-puing salji berterbangan melintasi jalan yang memutih. Perjalanan awal pagi ini ditambah dengan keindahan suasana matahari terbit.

Ia memukau mata walaupun sepanjang perjalanan kami melalui kawasan sunyi seperti padang jarak padang terkukur yang diliputi salji. Namun, kami begitu teruja melihat landskap putih diliputi salji bagi mata orang Asia seperti kita yang sepanjang tahun dijamu dengan pemandangan hijau segar.

Berhampiran dengan papan tanda Teriberka, di tepi pantai kelihatan terdampar bangkai kapal laut yang menjadi lambang pengenalan kampung terpencil ini. Kawasan perkampungan ini sunyi kerana tidak ramai kelihatan penduduk tempatan di luar bangunan memandangkan salji pada musim sejuk itu tebal dengan suhu mencecah -25 darjah Celsius. Kami tiba pada jam 7.30 pagi. Oleh kerana masih awal, suasana di sini sunyi.

TERASA seram berada dalam bilik darjah dipenuhi buku yang ditinggalkan di sekolah ini.
TERASA seram berada dalam bilik darjah dipenuhi buku yang ditinggalkan di sekolah ini.

CENGKAMAN DINGIN MELAMPAU

Pada malam pertama kami keluar dari hostel penginapan lebih kurang jam 9 malam untuk melihat fenomena aurora. Cuaca sejuk mencecah -23 darjah Celsius sedikit menyukarkan kami untuk berada lama di luar bangunan ditambah dengan angin kuat kerana kawasan ini berada

di pinggir pantai.

Keadaan yang sangat sejuk juga menyukarkan kami untuk merakam keindahan fenomena aurora. Pada malam pertama, fenomena aurora tidak jelas dan kami kecewa menantikannya. Kami hanya mampu berada di luar sehingga jam 1 pagi kerana kesejukan yang terlampau.

Itu pun sekali sekala terpaksa menumpang masuk ke dalam bangunan hostel berhampiran bagi memanaskan badan. Sempat juga kami melihat pelancong dari China memesan ketam gergasi segar daripada penduduk tempatan. Saiz ketam lima hingga enam kali ganda saiz ketam di Malaysia.

Keesokan paginya kami mula berjalan dan menikmati suasana perkampungan Teriberka. Sempat menikmati suasana matahari terbit di kawasan bangkai kapal yang dilihat waktu tiba tempoh hari. Kami keluar seawal jam 7 pagi supaya sempat menikmati suasana matahari terbit walaupun dalam keadaan suhu mencecah -20 darjah Celsius. Kami juga berkesempatan melawat sebuah sekolah dibina pada 1960 yang kini ditinggalkan dan tidak digunakan sejak 2005.

MERAKAM kenangan di papan tanda Teriberka.
MERAKAM kenangan di papan tanda Teriberka.

Nasib menyebelahi kami pada malam kedua dan berpeluang melihat fenomena aurora dengan lebih jelas kerana pada malam kedua fenomena ini kuat meliputi sebahagian besar Teriberka. Kami

tidak perlu berjalan jauh untuk menikmati suasana itu. Hanya sekadar 100 meter dari hostel kami untuk menikmati persembahan cahaya yang menakjubkan itu.

Peluang ini digunakan sebaik mungkin untuk merakam gambar dan menikmati keindahan secara langsung di depan mata. Bagaimanapun, memang menyeksakan untuk mengambil gambar dalam keadaan cuaca sejuk bawah aras beku ini yang kadangkala memerlukan kami membuka sarung tangan.

Kami hanya bertahan selama lebih kurang dua jam di luar dan akhirnya terpaksa mengalah serta berundur balik ke hostel kerana tangan terasa amat kebas sekali. Ini pengalaman berharga buat kami yang dapat menikmati cuaca sejuk serendah -25 darjah Celsius dan juga menyaksikan sendiri fenomena aurora walaupun menyeksakan.

Kami mengambil perkhidmatan bas awam untuk pulang ke Murmask yang bertolak seawal jam 6.30 pagi dengan harga tiket RUB490. Kami tiba di bandar dan sempat singgah serta bersiar-siar pula di bandar Murmask yang suhunya hampir sama seperti di Teriberka. Kami sempat ke satu monumen peringatan Murmask iaitu Monumen Alyosha.

PENDUDUK tempatan tetap mengunjungi Monumen Alyosha walaupun dalam suhu - 23 darjah Celsius.
PENDUDUK tempatan tetap mengunjungi Monumen Alyosha walaupun dalam suhu - 23 darjah Celsius.

Di taman sebelahnya juga kami dapat merasai keunikan suasana bersalji yang meliputi keseluruhan kawasan itu. Semuanya mencuri tumpuan termasuk pokok yang disaluti salji. Sungguh indah dan unik sekali. Bagaimanapun, kami tidak boleh berada terlalu lama di luar memandangkan cuaca amat sejuk.

Bagi kita penduduk kawasan tropika, mungkin sukar menyesuaikan diri dengan cuaca ekstrem. Bagaimanapun, pengalaman menikmati cuaca ekstrem dan keindahan yang jarang dapat dinikmati ini sangat mempesonakan walaupun terseksa menghadapi cuaca yang sangat sejuk. Apapun, ia seksaan yang berbaloi kerana dapat melihat sendiri kebesaran dan keindahan makhluk Allah yang akan dikenang sepanjang hayat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 5:30 AM