PERASMIAN oleh Tengku Zafrul Aziz.
PERASMIAN oleh Tengku Zafrul Aziz.
Lizam Ridzuan


PENYEDIA penyelesaian teknologi hijau, Yinson GreenTech (YGT) melancarkan Pusat Pengalaman rydeEV di Petaling Jaya, yang berperanan sebagai syarikat sewaan motosikal elektrik (EV) terbesar di rantau ini dengan konsep janaan kuasa menerusi pertukaran bateri kepada pengguna.

Kawasan seluas 8,000 kaki persegi itu berfungsi sebagai destinasi pusat sehenti untuk semua yang berkaitan jenama itu dalam segmen mikromobiliti YGT sama ada bagi tujuan tunggang uji, penukaran bateri, mendaftar untuk pakej sewaan atau melakukan servis dan membaiki motosikal.

Perasmiannya disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Aziz bersama Pengerusi Eksekutif Kumpulan Yinson Lim Han Weng, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson Lim Chern Yuan dan Pengarah Urusan rydeEV Syed Ahmad Faiz Syed Yusoff Fadzil.

Tengku Zafrul Aziz berkata mobiliti hijau adalah salah satu bidang tumpuan utama dalam misi sifar bersih untuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang baru dilancarkan.

"Memandangkan Malaysia secara proaktif mempromosikan pelaburan dalam inovasi dan penyelesaian teknologi hijau, kami juga berhasrat mewujudkan peluang kepada PKS, terutama melalui pembangunan ekosistem mobiliti rendah karbon holistik seperti yang digariskan oleh Dasar Automotif Negara.

"Untuk tujuan itu, motosikal EV mampu milik rydeEV adalah tepat pada sasaran sebagai produk yang menjimatkan tenaga dan kos, menjadikannya penyelesaian mobiliti yang sangat menarik, mampan yang merangkumi semua peringkat pengguna, daripada korporat hingga PKS, dan masyarakat umum." katanya.

Lim Han Weng menambah di Yinson, mereka percaya bahawa peralihan tenaga perlu menyeluruh, dan ini akan meningkatkan kebolehcapaian dan kemampuan teknologi hijau kepada seramai mungkin pengguna.

"Asia Tenggara mempunyai pemilikan motosikal tertinggi di dunia dan menyediakan alternatif yang menjimatkan dan lancar kepada penyelesaian sedia ada serta disokong oleh dasar kerajaan adalah penting kepada penggunaan meluas dan kami berhasrat untuk menghapuskan halangan kepada penggunaan EV dengan rydeEV,"katanya.

Syed Ahmad Faiz pula berasa sangat teruja melancarkan Pusat Pengalaman rydeEV secara rasmi, apabila pengunjung boleh mengalami masa depan mikromobiliti dan kemudahan teknologi bateri boleh tukarnya.

"Sejak memulakan operasi di Malaysia, kami sudah memasang kabinet pertukaran bateri di 15 lokasi dan menandatangani dengan beberapa syarikat yang ingin mengurangkan elemen karbon dalam barisan kenderaan mereka.

"Menjelang Disember 2023, kami menyasarkan menyediakan stesen pertukaran bateri di 100 lokasi strategik di seluruh negara bagi mengatasi kebimbangan jarak semasa menggunakan motosikal ini." katanya.

RydeEV menawarkan dua pilihan sewaan - B2B dan Sewaan untuk Memiliki dan untuk B2B, harga bulanan untuk 24 bulan Ryder ialah RM299 dan RM499 untuk Hyper. Pilihan ini termasuk pertukaran dan penyelenggaraan tanpa had, perlindungan insurans dan cukai jalan.

Pakej Sewaan untuk Memiliki ditawarkan pada harga RM299 untuk 36 bulan atau RM250 untuk 48 bulan untuk Ryder dan RM430 untuk 36 bulan atau RM339 untuk 48 bulan untuk Hyper. Pengguna hanya perlu membayar RM1 untuk memiliki motosikal itu selepas tempoh tamat.

Pengguna boleh mengetahui lokasi stesen pertukaran bateri daripada Aplikasi Oyika, untuk merancang perjalanan mereka lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 6:11 AM