Roslan (kiri) ketika acara pelepasan aktiviti sesi pandu uji ‘teaser’ media ke Genting Highlands.
Roslan (kiri) ketika acara pelepasan aktiviti sesi pandu uji ‘teaser’ media ke Genting Highlands.
Lizam Ridzuan


Subang Jaya: Sempena pelancaran model Proton X90 Serba Baharu tidak lama lagi, satu sesi pandu uji 'teaser' dianjurkan oleh Proton untuk media tempatan.

Ia diadakan dari Pusat Kecemerlangan Proton (COE) ke Genting Highlands bagi menguji prestasi dan pengendalian model kenderaan utiliti sukan (SUV) ketiga jenama itu.

Untuk sesi ini dua varian disediakan iaitu Proton X90 Flagship dan Premium dengan perbezaan utamanya ialah konfigurasi enam dan tujuh tempat duduk.

Model ini juga adalah yang pertama untuk Proton menggunakan enjin hibrid ringan menerusi 1.5TGDi dan Sinergi Motor Elektrik (EMS) 48V menjana kuasa 190PS dan tork 300Nm.

Menerusi pandu uji ringkas dan singkat dengan empat penumpang dalam satu masa melalui lebuh raya dan jalan berbukit, pemanduan dikendalikan dengan lancar dan pengendalian ideal pemandu menerusi tukaran gear 7 kelajuan dwi-klac (DCT), ia mendaki dengan baik.

Satu elemen yang penting ialah ruang dalaman cukup luas dan selesa malah duduk di kerusi baris kedua dengan kerusi 'kapten' serta ruang yang cukup baik untuk kaki dan kepala termasuk pada baris ketiga.

Bumbung panorama untuk varian flagship menambah ciri elegan dan premium yang boleh dibuka dan ditutup dengan hanya menekan butang.

Ia juga dilengkapi ciri keselamatan terbaik termasuk tiga ciri baharu yang pertama kali diperkenalkan iaitu Amaran Perlanggaran Belakang (RCW), Amaran Trafik Melintas Belakang (RCTA) dan Maklumat Papan Tanda Jalan (TSI).

Sesi pandu uji 'teaser' media itu dilepaskan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.

Beliau berkata sambutan yang diterima oleh pelanggan sasaran untuk Proton X90 dalam sesi previu yang dianjurkan di Lembah Klang dan Pulau Pinang minggu lalu sangat memberangsangkan.

"Kami juga sudah mula menerima tempahan untuk model X90 dan ia adalah sangat menggalakkan serta akan ke Johor dan Pahang pada hujung minggu ini selain Sabah dan Sarawak pada hujung April bagi mengumpulkan keseluruhan data tempahan yang akan diumukan ketika pelancaran model ini tidak lama lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 12:23 PM