Subang Jaya: Seperti yang tular, Proton bakal melancarkan model S70 Serba Baharu ke dalam pasaran tempatan tidak lama lagi dan media diberi peluang untuk ke sesi pratonton model itu, baru-baru ini.
Model ini ditawarkan dengan empat varian iaitu 1.5T Executive, 1.5T Premium, 1.5T Flagship dan 1.5T Flagship X .
Ia adalah model sedan dalam segmen-C yang dijana dengan enjin 1.5L pengecas turbo menjana 150PS dan tork 226Nm dengan transmisi tujuh kelajuan dwi-klac (DCT) serta tiga mod pemanduan iaitu Eco, Sport, Comfort dan mod stereng.
Antara ciri rekaannya dengan bahagian gril hadapan corak elemen songket melintang dan Infinite Weave sebagai ciri Proton sejak bersama Geely.
Ia juga dengan lampu LED (190 lampu) merentasi bahagian belakang, rim aloi bersaiz 17 inci serta lampu hadapan LED projektor.
Model ini dengan ruang but 500 liter, sistem infotainmen bersaiz 12.3 inci, meter pemandu LCD 10.3 inci, kamera 36 darjah, kerusi pemandu larasan elektrik, sistem pendingin hawa automatik dan corong pendingin hawa untuk penumpang belakang.
Bumbung suria hanya ditawarkan untuk varian Flagship X.
Ia juga dengan 6 port pengecas USB daripada type-A dan C dengan satu tanpa wayar buat kemudahan seisi penumpang, keterhubungan Aplikasi Proton Link dan fungsi arahan suara "Hi Proton".
Proton S70 juga dengan sistem Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) tahap 2 dengan ciri keselamatan terbaik dilengkapi 12 sensor termasuk mengesan kenderaan dari arah belakang pada jarak 30 meter dengan Milimeter Wave Radar serta hadapan sejauh 150 meter dengan Sistem Kamera Monocular.
Menurut jurutera Proton, model ini ditala suspensinya untuk pengendalian lebih baik yang disesuaikan dengan permukaan jalan raya di Malaysia.
Ia menjalani lebih 75,000 ujian masa manusia serta ujian jalanan sejauh 1.2 juta kilometer (km) bagi tujuan itu.
Untuk model ini ia membabitkan lebih 453 pembangunan komponen baharu, 283 vendor tempatan serta untuk tujuan kajian dan pembangunan (R&D) rekaan yang mengambil masa 260,000 jam manusia.
Proton menyatakan model S70 disasarkan kepada golongan muda yang diletakkan antara segmen B dan C serta menjangkakan jualan sebanyak 3,000 unit sebulan.
Warna baharu yang ditawarkan ialah Teal Bayou Green (varian Flagship dan Flagship X), selain Hitam Quartz, Biru Marin, Merah Passion, Kelabu Space, Perak Armour dan Putih Snow.
Tiada pengumuman harga setakat ini, namun kepada pelanggan berminat boleh membuat bayaran tempahan RM500.