Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan.
Lizam Ridzuan


Shah Alam: Motosikal dan Enjin Nasional (Modenas) bakal menawarkan motosikal elektrik (EV) apabila tiba masa yang sesuai seiring dengan Dasar Automotif Nasional (NAP 2020).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslan Roskan berkata, syarikat sentiasa menjalankan kajian untuk turut serta dalam penawaran motosikal elektrik namun keadaan industri motosikal negara ketika ini yang lebih cenderung kepada enjin pembakaran bahan api (ICE) memerlukan kajian lebih terperinci dilakukan.

"Namun menerusi NAP 2020 dan Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon yang menyasarkan 15 peratus penggunaan kenderaan EV daripada jumlah industri keseluruhan (TIV) di Malaysia menjelang 2030, Modenas juga sudah menyediakan pelan ke arah itu.

"Sekiranya kami menawarkan motosikal EV ia akan dimulakan dengan penawaran kepada segmen perniagaan ke perniagaan (B2B) terlebih dahulu," katanya ketika majlis perasmian bilik pameran Kawasaki terbaharu di sini, semalam.

Menurutnya, antara faktor motosikal EV masih lagi belum ditawarkan Modenas adalah kerana kemudahan tempat mengecas dan stesen penukaran bateri masih lagi kurang serta faktor harga bahan api di Malaysia lebih murah berbanding negara Asean yang lain.

"Ia menjadikan pengguna motosikal di negara ini kurang termotivasi untuk menukar motosikal enjin ICE ke EV namun menerusi insentif yang diperkenalkan oleh kerajaan, Modenas secara berperingkat akan membangunkan model EV bagi pasaran Malaysia untuk manfaat pelanggan," katanya.

Dalam majlis sama Modenas menerusi Edaran Modenas (EMOS) sebagai pengedar utama motosikal jenama Kawasaki di Malaysia merasmikan Bilik Pameran Kawasaki All Star Shah Alam.

Ia menawarkan perkhidmatan jualan, servis dan alat ganti tulen sebagai kemudahan kepada pembeli dan pelanggan jenama itu.

Menyentuh mengenai kerjasama Modenas dan Kawasaki, Roslan berkata jenama itu menerima sambutan memberangsangkan dengan lebih 1,000 unit terjual menerusi Modenas Ninja dan Z250 ABS yang diperkenalkan sejak Julai tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2023 @ 4:11 PM