HANNAH Yeoh (lima dari kiri) dan DATUK Dr Jim Khor (enam dari kanan) ketika melancarkan Kelab Dewi Yamaha Malaysia sempena Hari Wanita Sedunia 2023. FOTO Lizam Ridzuan
HANNAH Yeoh (lima dari kiri) dan DATUK Dr Jim Khor (enam dari kanan) ketika melancarkan Kelab Dewi Yamaha Malaysia sempena Hari Wanita Sedunia 2023. FOTO Lizam Ridzuan
Lizam Ridzuan


Banting: Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) sebagai pengedar dan pemasang motosikal Yamaha untuk pasaran tempatan melancarkan kelab Dewi Yamaha Malaysia sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia 2023.

Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries, Datuk Dr Jim Khor berkata, pemilikan motosikal dalam kalangan wanita meningkat sehingga 25 peratus berbanding 14 peratus dalam tempoh beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, menerusi penubuhan kelab ini, ia dapat menambah minat golongan ini untuk bermotosikal.

"Kelab Dewi Yamaha Malaysia sebagai platform mengumpulkan kesemua pemilik motosikal wanita dengan merancang pelbagai program seperti konvoi dan aktiviti amal ke seluruh negara," katanya ketika pelancaran kelab itu, di Gamuda Cove di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Dalam pada itu, Hannah berkata, kebanyakan wanita kini membeli motosikal bukan lagi sekadar untuk ke tempat kerja, malah lebih kepada tujuan rekreasi.

"Aktiviti menunggang motosikal sebagai hobi baru membolehkan wanita rasa lebih ceria selepas melalui hari yang sibuk atas urusan kerja dan keluarga," katanya.

Lebih 700 penunggang wanita dari seluruh negara hadir ketika pelancaran Dewi Yamaha Malaysia ini.

Majlis dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti diadakan seperti zumba, mencari harta karun, cabaran berhalangan, klinik motosikal, dan cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah skuter Yamaha Ego Gear.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 3:06 PM