MPV keluarga tambah bergaya.
MPV keluarga tambah bergaya.
Lizam Ridzuan


Sejak diperkenalkan pada 2014 ke pasaran tempatan, Nissan Serena S-Hybrid (C26) mendapat banyak ulasan menarik malah ia turut memiliki tarikan tersendiri kerana kenderaan pelbagai guna (MPV) ini bukan saja luas malah diberi sentuhan teknologi.

Ia juga adalah MPV dengan teknologi hibrid pintar pertama di negara ini yang dipasang secara tempatan (CKD) bermula pada 2015 oleh pengedar utamanya, Edaran Tan Chong Motor (ETCM).

Kemudian, pada 2018, model Serena S-Hibrid Serba Baharu (C27) diperkenalkan dengan rekaan luaran dan dalam diperbaharui.

Terkini, model 2022 Baharu pula dilancarkan baru-baru ini.

Turut hadir ketika pelancaran ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Chong Motor Holdings Daniel Ho dan Naib Presiden Eksekutif Nissan Motor Co Ltd Asako Hoshino.

Antara perbezaan yang dapat dilihat ialah pada bahagian luaran dengan lampu hadapan rekaan baharu, gril V-Motion serta corak krom yang lebih menarik.

Bampar hadapan juga diperbaharui selain bahagian lampu kabusnya bersepadu dengan lampu nyalaan siang (DRL).

Ruang kabinnya pula memiliki tahap Kebisingan, Gegaran dan Kekasaran (NVH) yang dipertingkatkan.

Model ini masih kekal dengan kapasiti tujuh tempat duduk dengan pilihan kemasan kulit Nappa coklat atau hitam (Highway Star) untuk sentuhan lebih mewah.

KAPASITI tujuh tempat duduk.
KAPASITI tujuh tempat duduk.

Ia juga dilengkapi sistem infotainmen skrin sesentuh bersaiz 9 inci dengan keterhubungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Varian Highway Star juga datang dengan panel LCD bersaiz 11.6 inci yang boleh dilipat daripada siling bagi hiburan seisi keluarga.

Ciri standard dwipintu belakang dan pintu gelongsor dwikuasa bebas tangan masih dikekalkan.

MPV ini dijana enjin 2.0 liter pacuan hibrid yang mampu menjana 150PS pada 6,000rpm dan tork 200Nm pada 4,400rpm.

Menerusi 'Dual Arm Tensioner', ia memaksimumkan daya tegangan pada tali sawat bagi mengurangkan geseran, kehilangan kuasa serta kecekapan penggunaan bahan api.

Ia dilengkapi Transmisi Pembolehubah Berterusan (CVT) XTronic dan Kawalan Penginjak Adaptif bagi kawalan antara enjin dan transmisi.

Ia juga diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan penggunaan bahan api 14.2 kilometer (km) setiap liter.

DARI kiri: Daniel, Asako; Timbalan Presiden Kumpulan Tan Chong Motor Holdings, Datuk Dr Rosie Tan dan Naib Presiden Pemasaran, Nissan Asia & Oceania, Nirmal Nair.
DARI kiri: Daniel, Asako; Timbalan Presiden Kumpulan Tan Chong Motor Holdings, Datuk Dr Rosie Tan dan Naib Presiden Pemasaran, Nissan Asia & Oceania, Nirmal Nair.

Melaluinya, ia mampu menjangkau perjalanan sehingga 852km (bergantung corak pemanduan dan bebanan).

Serena S-Hybrid serba baharu ini didatangkan dengan Perlindungan Keselamatan 360° serta ciri Keselamatan Aktif yang dipertingkatkan termasuk Amaran Ramalan Perlanggaran Hadapan dan Brek Kecemasan dan Amaran Keluar Lorong.

Selain itu, ia dilengkapi Monitor Pemandangan Sekitar Pintar dan Pengesan Objek Bergerak Pintar.

Ciri keselamatan lain antaranya enam beg keselamatan SRS dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dengan Pengagihan Kuasa Brek elektronik (EBD).

Empat pilihan warna ditawarkan untuk model Premium Highway Star dengan kelabu sebagai warna baharu.

Warna sedia ada ialah putih, merah dan hitam yang kesemuanya dipadankan dengan dengan warna bumbung Hitam Diamond.

Untuk Highway Star, warna ditawarkan ialah putih, perak dan hitam.

Untuk pasaran Malaysia, Nissan Serena S-Hibrid Highway Star dijual pada harga RM149,888 dan Nissan Serena S-Hybrid Premium Highway Star (RM162,888).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 7:00 AM