Mohamad Fahd Rahmat

DIJUAL serendah RM107,980 seunit, Renault Capthur Trophy edisi terhad tampil memukau dengan suntikan elemen sporty.

Antara ciri dikemaskan termasuk warna ‘orange trophy’ daripada Megane RS, bampar depan dan belakang dengan warna ‘gun metal’, corak badan ‘chequered flag’ tiga dimensi (3D) selain but automatik.

Lebih mengujakan, lima pembeli bertuah, bakal membawa pulang Renault Megane RS baharu untuk digunakan selama sebulan.

Renault Captur Trophy juga boleh didapati melalui pelan ‘Renault Subscription’ dan di bawah ‘Fixed Plan’.

Ia boleh dimiliki daripada RM1,499 sebulan (bayaran untuk dua tahun) atau RM1,699 sebulan (bayaran untuk setahun).

Bayaran bulanan itu termasuk cukai jalan, insurans dan yuran penyelenggaraan biasa.

Edisi terhad Trophy itu dipacu enjin TCe 120 turbo yang bertaraf Euro 6.

Enjin dengan transmisi EDC dwi klac 6 kelajuan ini mampu menghasilkan tork yang dipertingkat iaitu 205 Nm.

Ciri luaran standard adalah DRL LED berbentuk C, lampu kabus LED dan lampu depan automatik dengan pengilap cermin pengesan hujan.


Ruang dalaman menampilkan tempat duduk gabungan kulit hitam, kulit di panel pintu, tombol gear direka semula dan panel pintu baharu.

Ia juga dilengkapi sistem kemasukan tanpa kunci, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh tujuh inci dan navigasi, Internet serta Bluetooth, kamera undur dan mod pemanduan ECO yang boleh menjimatkan sehingga 10 peratus penggunaan bahan api.

Ciri keselamatannya membabitkan empat beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantu Mula Bukit (HSA), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dan Bantu Brek Elektronik (EBA) dan Pengagihan Kuasa Brek Elektronik (EBD).

Jentera ini ditawarkan dengan servis dan penyelenggaraan percuma sehingga lima tahun atau 100,000km, yang mana terlebih dahulu.

Jaminan lima tahun tanpa had perbatuan. Maklumat lanjut mengenai Renault Captur Trophy edisi terhad boleh diperoleh di www.renault.com.my atau www.facebook.com/RenaultMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 6:15 AM