MINI Cooper S Countryman berkuasa turbo.
MINI Cooper S Countryman berkuasa turbo.
Mohd Razlan Salleh

BMW Group Malaysia melakar satu lagi kejayaan apabila menyerahkan kelompok pertama dua varian MINI Countryman ke Thailand.

Kedua-dua varian berkenaan, MINI Cooper S Countryman dan MINI Cooper S Countryman Hightrim adalah model yang dipasang dari kilang rakan kerjasama BMW Group Malaysia, INOKOM Corporation di Kulim, Kedah.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl, berkata kilang INOKOM Corporation menjalin kerjasama antara Sime Darby Berhad dan pihaknya adalah antara 30 lokasi produksi di 14 negara di seluruh dunia yang berfungsi bagi BMW Group.

“Ini adalah satu pencapaian penting bagi kami di rantau Asia Tenggara apabila mampu menawarkan sokongan dan khidmat bagi pasaran serantau.

“Kami membangunkan fasiliti pemasangan domestik bersama rakan kerjasama di peringkat tempatan serta jaringan pembekal tempatan yang bermatlamat untuk memberi sokongan kepada permintaan rantau ini,” katanya.

GAYA sejati Eropah.
GAYA sejati Eropah.

Harald berkata, inisiatif eksport diperkenalkan BMW Group Malaysia adalah hasil kejayaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA).

“ATIGA menggalakkan perdagangan intra-ASEAN dan memastikan aliran bebas bagi barangan di ASEAN direalisasikan dan membantu BMW Group untuk memanfaatkan kilangnya di ASEAN dengan lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata, perjanjian itu memberi fleksibiliti kepada syarikat pengeluar untuk memenuhi permintaan pasaran peringkat domestik dan tujuan eksport.

Terdahulu, MINI Cooper S Countryman dijual pada harga THB2,299,000 (RM259,557) manakala MINI Cooper S Countryman Hightrim ditawarkan pada harga THB2,499,000 (RM282,137), kedua-duanya termasuk cukai nilai tambah (VAT).

Model ini menawarkan ruangan luas menempatkan lima tempat duduk dan keselesaan dan kefungsian tambahan.

MINI Cooper
MINI Cooper

Sementara MINI Cooper S Countryman Hightrim menampilkan gaya sporty dan serba klasik serta ruangan dalaman digayakan dengan warna hitam selain sistem bunyi Harman Kardon Hi-Fi.

Diinspirasikan kokpit pesawat, paparan Head-Up MINI menyampaikan informasi pemanduan penting seperti kelajuan kenderaan dan pemandu boleh melihat paparan ini dengan baik tanpa menjejaskan penglihatan dan perhatian terhadap jalan raya.

Kedua-dua model ini dikuasakan enjin petrol 2.0L empat silinder dengan teknologi TwinPower Turbo yang mampu menjana 192 kuasa kuda (hp) dan tork maksimum 280 Nm serta dipadankan bersama transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan.

LAMPU belakang berwajah baharu.
LAMPU belakang berwajah baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 4:30 AM