JENTERA Sports Tourer. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
JENTERA Sports Tourer. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Lizam Ridzuan


SAMA ada untuk tujuan harian atau menjelajah ke destinasi tertentu, Modenas Dominar D400 menawarkan gaya tunggangan santai dan berprestasi untuk penunggang.

Jentera terbaru Modenas hasil kerjasama dengan gergasi motosikal India, Bajaj Auto Ltd (BAL), adalah model keempat ditawarkan di negara ini selepas V15, Pulsar NS200 dan RS200.

Enam bulan sebelum pelancarannya, penulis berkesempatan menguji model ini di litar ujian Bajaj di Pune, India, bagi menilai sendiri kualiti, pengendalian dan keupayaan enjinnya.

Selain ujian di litar, penulis sempat melawat kilang pemasangannya untuk melihat kepakaran dimiliki BAL dalam menghasilkan model terbaik.

Selepas India, penulis berpeluang menunggang ujinya sekali lagi di jalan raya tempatan, bersesuaian dengan konsep Sport Tourer yang ditawarkannya.

Bermula dari ibu pejabat Modenas di Shah Alam, penulis memulakan perjalanan melalui Lebuhraya Persekutuan ke ibu negara dengan ujian pertama adalah menempuh kesesakan jalan raya dan mengharungi laluan khas motosikal.

Jentera dikuasakan enjin 373cc silinder tunggal sejukan cecair beroperasi baik untuk pelbagai kelajuan de­ngan kuasa kuda 35PS pada 8,000rpm dan daya kilas 35Nm pada 6,500rpm.

Uniknya, motosikal keluaran Bajaj didatangkan dengan padanan Digital Triple Spark (DTS-i) yang memberi kuasa tork berterusan dengan tiga palam pencucuh untuk pembakaran lebih sempurna, penggunaan bahan api efisien dan emisi lebih rendah.

Pada kelajuan bawah 80 kilometer sejam (km/j), ia tetap selesa ditunggang tetapi sebaik mencapai kelajuan 110km/j, jentera ini semakin lancar dan bertenaga.

Perjalanan penulis diteruskan ke Teluk Intan, Perak melalui Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan D400 tidak memberi sebarang masalah dan kekal selesa walaupun meter mencecah 150km/j.

Namun, sebaik meter mencecah 160km/j, lampu rpm akan menyala dan jika pendikit masih dipulas, enjin menjadi sebu kerana cut-off, selain mengekalkan kondisi enjin dalam keadaan baik.

Dominar D400 dilengkapi kotak gear enam kelajuan dengan bantuan Slipper Clutch membolehkan tukaran gear rendah lebih pantas dan responsif.

Jentera ini menyerlahkan prestasi dan kepuasan ketika tunggangan di jalan raya atau laluan kampung dengan tukaran nisbah gear singkat dapat dirasai menerusi daya tujah yang tinggi.

Radiatornya juga berfungsi baik bagi mengurangkan haba enjin terutama membabitkan tunggangan ekstrem, selain keselesaan pada bahagian kaki penunggang.

Fork hadapan teleskopik 43 milimeter (mm) me­nyerap tekanan dengan baik pada kelajuan rendah dan penulis lebih yakin dengan pelbagai kelajuan terutama apabila melewati selekoh.

Untuk kelancaran, lengan ayun dan penyerap hentakan tunggal boleh laras pelbagai peringkat dibantu penyerap hentak redaman Nitrox 77mm pada bahagian belakang beroperasi dengan baik ketika melalui jalan tidak berturap, menjadikan perjalanan lebih selesa termasuk jika membawa pembonceng.

Kerangka Perimeter Beam Type ternyata teguh dan lasak serta rekaan tangki ergonomik kalis hakisan dan fleksibel menambah keseronokan ketika perjalanan jauh.

Saiz casis dengan panjang 2,156 milimeter (mm), lebar 813mm, tinggi 1,112mm dan berat sekitar 182 kilogram (kg) menjadikan D400 jentera bersaiz sederhana yang mudah dikawal, memecut atau melepasi laluan sempit.

Sesuai sebagai konsep Sport Tourer, kedudukan menunggang yang santai dengan pelana lebar menjadi kelebihan model ini.

Penulis menggemari paparan meter digital penuh LCD dua bahagian, lengkap dan memudahkan perjalanan terutama mengetahui maklumat tahap bahan api, kedudukan gear, waktu dan meter kelajuan.

Lampu hadapan LED penuh dengan Auto Headlamp On (AHO) empat mod larasan boleh dilihat dari jarak sekitar 1.5km untuk aspek keselamatan, sama ada ketika tunggangan siang atau malam.

Untuk membrek, ia dileng­kapi brek cakera hadapan dan belakang serta fungsi Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) saluran berkembar belakang bagi meningkatkan daya pemberhentian jentera dan pelaras rantai yang ha­nya terdapat pada motosikal premium.

Penggunaan bahan api 13 liter bergantung pada penunggang apabila penulis yang menunggang dengan motosikal dipasang kotak perjalanan GIVI pada belakang dan sisi mampu melangkau jarak lebih 200km pada kelajuan konsisten sekitar 150km/j.

Secara keseluruhannya, Modenas Dominar D400 adalah motosikal dengan ciri terkini yang kebanyakan hanya ditemui pada motosikal berkuasa lebih besar serta harga lebih tinggi.

Sesuai bagi kegunaan harian ke tempat kerja dan menjelajah ke destinasi pilihan, D400 kekal bergaya, selesa, bertenaga dan rekaan yang ranggi.

Ciri keselamatan terbaik seperti lampu indikasi untuk tongkat sisi dan motosikal dalam keadaan gear me­nyebabkan enjin tidak dapat dihidupkan bagi mengelakkan daripada berlakunya ‘jumping’ dan pengesan ‘rollover’ bagi mengelak enjin motosikal terus hidup jika terjatuh.

Kepada mereka yang gemar dengan aktiviti penjelajahan, kotak belakang dan sisi boleh dipasang tambahan kos sekitar RM1,400, selain tampil lebih ranggi seakan-akan jentera touring dengan kapasiti enjin lebih tinggi.

Untuk pasaran tempatan, Modenas Dominar D400 dijual pada harga RM13,788 dengan waranti pengeluar dua tahun atau 24,000km dan servis percuma lima kali.

Enam pilihan warna ditawarkan iaitu Hitam, Biru Midnight, Putih Moon, Twilight Plum, Biru Glacier dan Merah Canyon.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 3:55 AM