PETUGAS media menunggu diluar Jabatan forensik Hospital Sungai Buloh bagi menunggu perkembangan terkini jenazah Nur Farah Kartini yang mati dibunuh. FOTO Hazreen Mohamad
PETUGAS media menunggu diluar Jabatan forensik Hospital Sungai Buloh bagi menunggu perkembangan terkini jenazah Nur Farah Kartini yang mati dibunuh. FOTO Hazreen Mohamad
Nurul Hidayah Bahaudin

Sungai Buloh: Punca kematian Nur Farah Kartini Abdullah, 25, belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayatnya yang sudah reput di bahagian dada dan muka.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihak Pakar Patalogi Forensik Hospital Sungai Buloh memerlukan keputusan analisis makmal ke atas beberapa sampel biologi yang diambil pada mayat.

"Buat masa ini, pakar tidak dapat mengesahkan punca kematian kerana mayat sudah reput terutama di bahagian dada serta muka.

"Selepas dapat keputusan analisis makmal, baru pakar dapat memutuskan punca kematian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, keputusan analisis makmal penting bagi menolak kemungkinan punca lain berkaitan kematian mangsa.

Sementara itu, Hussein turut mengesahkan pihaknya merampas sebuah kereta model Toyota milik suspek untuk siasatan lanjut.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Nur Farah Kartini yang dilaporkan hilang sejak 10 Julai selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan mati di kawasan tidak jauh dari Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Mayat Nur Farah Kartini ditemukan kira-kira 6 petang dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

Susulan itu, polis turut menahan seorang lelaki yang juga penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Polis Perak kemudian mengesahkan suspek adalah seorang anggotanya berpangkat Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai ini untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 11:23 AM