LAILA Fairus menunjukkan gambar terakhir arwah Nurfarahimi. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
LAILA Fairus menunjukkan gambar terakhir arwah Nurfarahimi. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Larut: "Arwah bagi tahu sebelum dia pencen, dia teringin nak naik helikopter. Sepanjang kerjaya, ini kali ketiga dia naik (helikopter) itu pun selama tiga hari disebabkan terbabit dalam latihan raptai."

Demikian kata Laila Fairus Ismail, 58, ibu saudara kepada Nurfarahimi Mohd Saedy, 41.

Menurutnya, pada Aidilfitri lalu, arwah antara orang yang paling ceria dan memaklumkan kepada saudara-mara yang dia akan pencen tidak lama lagi dan akan menetap dengan suaminya di Kuantan serta tidak akan tinggal lagi di Lumut.

"Arwah seorang yang mudah happy dan pada hari raya (lalu), dia memaklumkan akan pencen, kalau tak salah pada Jun ini.

"Dia juga ada memaklumkan sebelum ini yang dia tak pernah naik helikopter dan teringin nak merasainya sebelum berpencen nanti.

"Namun tak disangka kejadian seumpama itu berlaku," katanya ditemui media di Banggol Jas, Sungai Bayor, Selama.

Menurutnya, arwah sudah bersuami yang juga seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Kuantan, Pahang, dan mempunyai tiga orang anak berusia 16,12 dan lapan tahun.

Tambahnya lagi, dia dimaklumkan ahli keluarga, jenazah arwah dalam keadaan sempurna dan hanya terdapat kecederaan pada bahagian kepala sahaja.

Sementara itu, kakak sulung mangsa, Nurlaida Mohd Saedy,55, berkata, arwah adiknya juga sempat membuat rakaman video pemandangan dari atas helikopter ketika berlepas dan menghantarnya ke aplikasi WhatsApp keluarga.

"Dia anak keempat daripada lima beradik.

"Sepanjang kariernya, arwah sering menghantar gambar dan video-videonya terus kepada saya dan jarang berahsia.

"Malah pagi hari kejadian, dia sempat menghantar (gambar) pemandangan dari udara sebelum tragedi itu," katanya.

Tambahnya lagi, arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Damak, Sungai Bayor, Selama, selepas selesai urusan bedah siasat, hari ini atas permintaan suami adiknya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 7:44 AM