MAWAR Rashid panjat rasa syukur selepas dapat dorongan daripada orang sekeliling ekoran ujian diterima.
MAWAR Rashid panjat rasa syukur selepas dapat dorongan daripada orang sekeliling ekoran ujian diterima.
Najiy Jefri


Penghujung tahun lalu boleh dianggap bukan perjalanan terbaik buat insan bernama Mawar Rashid.

Namanya menjadi bualan ramai apabila tular kisah keputusannya tidak lagi bertudung dan perceraiannya dengan Raf Yaakob sekitar November tahun lalu.

Bagaimanapun hal yang terlalu berat bagi wanita kelahiran Kelantan itu pastinya episod pengakhiran rumah tangga yang dibina sejak 2017.

Segala impian dan cerita indah yang ingin dijalani bersama menemui titik noktah selain tinggal kenangan.

Biarpun sudah memasuki lembaran tahun baharu, Mawar mengakui masih terkesan dengan perpisahan itu.

Namun ibu kepada tiga cahaya mata itu percaya segala perasaan sedih akan menemui ubat dan penawarnya.

"Mungkin saya nampak gembira, tapi hakikatnya saya masih bergelut dengan perasaan.

"Tapi saya percaya masa akan menyembuhkan (kesedihan). Saya kena fokus kepada kesihatan mental dan kerjaya saya.

"Pada masa yang sama, saya kena jaga diri dan anak-anak saya. Mereka adalah keutamaan saya sekarang," katanya.

Mengakui bercerai bukan penamat kehidupan, Mawar sebaliknya menganggap perjalanan itu umpama helaian terakhir sebuah novel.

MAWAR enggan kongsi kisah peribadi.
MAWAR enggan kongsi kisah peribadi.

"Saya anggap ia babak hidup yang ditutup. Perceraian juga bukan satu tragedi, sebaliknya tragedi adalah jika anda hidup dalam rumah tangga yang tidak bahagia.

"Sekarang tiba masa untuk babak baharu dalam hidup saya. Orang takut nak umum perceraian, sebab masyarakat akan pandang negatif. Keputusan ini memerlukan kekuatan untuk bawa diri keluar dari sesuatu yang tidak layak untuk anda.

"Apapun saya bangga dengan diri sendiri. Apa yang berlaku, sebab dan akibat, biar kami yang tahu," katanya.

Setiap kali pertemuan bersama wanita jelita ini, Mawar sentiasa tenang dan mengunci rapat punca perceraian dan mohon keputusannya itu dihormati semua pihak.

Katanya, tindakan itu adalah untuk kebaikan anak-anaknya yang mungkin lebih terkesan sekiranya kisah perceraian ibu bapa mereka terus dimainkan di media.

"Saya minta maaf, tak akan beri kenyataan berhubung perceraian kami.

"Saya ada anak-anak, justeru saya tak mahu mereka membesar dengan membaca cerita-cerita yang tidak sepatutnya. Ini adalah kehidupan peribadi saya," katanya.

Menyentuh bagaimana dia mengumpul segala kekuatan untuk melangkah ke depan, Mawar berkata, dia tidak keseorangan dalam memujuk hatinya.

MAWAR bercerai November tahun lalu.
MAWAR bercerai November tahun lalu.

"Kita manusia memerlukan sokongan. Tuhan memang selalu ada, itu saya yakin.

"Tetapi dalam pada masa sama, saya bersyukur keluarga, sahabat sentiasa ada di sisi. Mereka setia menjadi pendengar dan selalu mengingatkan saya terus kuat.

"Saya juga selalu pesan kepada diri sendiri, fokus untuk tambah baik kualiti hidup dengan cara sendiri. Buat perkara yang menggembirakan dan menyihatkan mental serta fizikal," katanya.

Mawar dan Raf mengesahkan perceraian mereka sekitar November tahun lalu selepas bergelar suami isteri selama lebih enam tahun.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Raden Muhammad, 5, Raden Seri Rosabella Cinta, 3 dan Raden Seri Riyanna Sayang, 1.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 7:00 AM