PERLENGKAP ilmu demi mengamalkan ajaran Islam. - Gambar hiasan
PERLENGKAP ilmu demi mengamalkan ajaran Islam. - Gambar hiasan
Dr Zuraimy Ali

Negara dikejutkan dengan berita terkait dengan isu 'Mawla Amin' yang dikatakan sebagai keturunan Nabi Muhammad yang ke-38. Bahkan kegiatan pengikut 'Mawla Amin' berada dalam radar pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pemantauan pihak berkuasa agama Islam negeri.

Bukan sekadar itu sahaja, bahkan pengikut terbabit dikatakan bergiat aktif mengutip dana sumbangan orang ramai secara tidak sah bagi membiayai pertubuhan berkenaaan. Hal ini bertujuan mewujudkan kerajaan yang dikenali sebagai 'Kerajaan 9' yang dianggap sebagai tempat persiapan akhir zaman sehingga munculnya Imam Mahdi.

Jika ditelusuri modus operandi yang digunakan kebanyakan pengikut ajaran sesat yang difatwakan oleh pihak berkuasa agama negeri jelas mempunyai ciri-ciri sama dan sifat keadaan yang mampu mempengaruhi umat Islam dengan kaedah serta pendekatan sama. Masyarakat Islam mudah tertipu dengan penampilan berjubah dan berserban ditambah pula dengan dakwaan mempunyai salasilah keturunan Nabi Muhammad SAW sedangkan tiada bukti kukuh terhadap dakwaan terbabit. Selain itu, kegiatan mengutip derma secara tidak sah tanpa kelulusan dan kebenaran pihak agama negeri membuktikan bahawa kelompok itu berjaya memanipulasi pandangan orang awam atas nama Islam.

Ketaasuban pengikut yang mengangkat tokoh pimpinan mereka yang didakwa sebagai keturunan Rasulullah juga menjadi faktor pendorong kuat ajaran ini mudah diterima dalam kalangan umat Islam. Bagi pengikut yang taasub, kebanyakan mereka gagal menilai fakta dan inti pati ajaran agama berbanding dakwaan palsu dikaitkan dengan keturunan Nabi sehingga sanggup percaya secara membuta tuli. Hal ini tidak boleh dipandang remeh oleh pihak berkuasa kerana tipu daya dan penerimaan masyarakat yang kurang asas agama Islam akan mudah terpesong dan akhirnya menyebabkan ketaasuban kepada pemimpin berkenaan akan mudah dimanipulasi sehingga masyarakat awam mudah terjebak dengan dakyah mereka.

Allah SWT berfirman yang bermaksud "Katakanlah: 'Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang sesat sebelum ini serta menyesatkan banyak manusia dan juga (sekarang) mereka tersesat (jauh) dari jalan yang benar.'" (Surah al-Maidah ayat 77)

Pada ayat ini Allah melarang Ahli Kitab pada masa Nabi Muhammad SAW yang bertindak keterlaluan dalam agama sebagaimana nenek moyang mereka dahulu dan melarang mengikuti sebab yang membawa nenek moyang mereka kepada kesesatan sehingga menyesatkan pula orang lain daripada kebenaran (ajaran Islam). Mereka meninggalkan hukum syariat dan mengikuti hawa nafsu yang buruk.

Kedangkalan ilmu dan sikap ketaasuban ini mendorong ramai pengikut mereka cuba mencari jalan yang 'cepat' dan 'mudah' untuk ke syurga. Bahkan ada yang sanggup memandang kumpulan mereka adalah ahli syurga berbanding mereka yang berada di luar kumpulan mereka. Bahkan sesetengah ajaran sesat mendakwa sesiapa yang tidak masuk dalam kumpulan mereka adalah ahli neraka. Begitu cara dan kaedah sesetengah ajaran sesat membentuk pemikiran pengikut mereka sehingga gagal untuk membezakan yang hak dan dusta. Maka ingatlah ingatan dan ancaman Allah SWT terhadap kelompok yang suka berdusta atas nama Allah dan Rasul-Nya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Kecelakaan besar pada hari itu, bagi orang yang mendustakan. Iaitu mereka yang mendustakan hari pembalasan. Dan tiada yang mendustakannya melainkan tiap-tiap orang yang melampaui batas (kebenaran), lagi amat derhaka!" (Surah al-Mutaffifiin ayat 10-12)

Justeru, sebagai Muslim yang bertanggungjawab mari sama-sama kita membantu membendung pengaruh dan dakyah ajaran sesat yang cuba dimanipulasi atas nama agama Islam demi kepentingan kelompok tertentu yang sudah tentu mencemarkan kesucian Islam. Bagi memenuhi maksud dan tekad ini ayuh seluruh umat Islam memelihara kesucian Islam dengan menekuni ilmu yang benar daripada pihak berautoriti diberikan tauliah agama oleh pihak berkuasa agama negeri supaya kesucian Islam dan keharmonian masyarakat dapat dipelihara dengan sempurna. Bagi pihak berkuasa agama dan badan bertindak undang-undang perlu segera menangani gerakan ajaran sesat dengan memastikan mana-mana tokoh atau pengikut yang cuba memesongkan pemikiran umat Islam dibanteras dengan segera sebelum merebak menjadi barah dalam negara kita, Malaysia. Di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diharapkan Malaysia mampu merealisasikan gagasan 'baldatun taiyyibatun warabbun ghafur' (Negara yang baik dan Allah Maha Pengampun) dapat dilaksanakan segera. Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi negara Islam contoh yang hebat dan terbaik di dunia jika usaha pembasmian ajaran sesat dapat dibanteras segera.


Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 6:01 AM