UMAT Islam harus memahami  sifat   Imam Mahdi  supaya mereka tidak mudah terpedaya dengan pihak yang  mengaku pemimpin akhir zaman.
UMAT Islam harus memahami sifat Imam Mahdi supaya mereka tidak mudah terpedaya dengan pihak yang mengaku pemimpin akhir zaman.
Musytaq Al Ash’ari

Sebelum ini telah kita kongsikan berkenaan dengan tanda-tanda kiamat yang besar dan di antaranya adalah kemunculan Imam Mahdi AS pada akhir zaman yang akan memimpin umat Islam sehingga pada zaman tersebut tidak akan berlaku lagi kezaliman bahkan bumi akan diisi dengan keadilan.

Umat Islam sekarang ternanti-nanti akan ketibaan Imam Mahdi AS sehingga ada sebahagian golongan mengambil kesempatan ke atas mereka dengan mendakwa diri mereka atau ketua mereka merupakan Imam Mahdi yang mereka nantikan itu sehingga ada sebahagian orang awam terpengaruh dengan dakwaan mereka.

Akhirnya mereka terpengaruh dengan golongan tersebut sehinggalah menjadi pengikut yang taasub.

Oleh kerana itu, di sini penulis ingin berkongsi sedikit berkenaan dengan ciri-ciri serta sifat Imam Mahdi AS yang dikhabarkan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam beberapa hadis agar kita sebagai umat Islam ini tidak mudah tertipu dengan dakwaan palsu tersebut.

Di antara sifat Imam Mahdi AS adalah:

1. Namanya sama dengan nama Nabi Muhammad SAW

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Mas'ud berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak hancur dunia (kiamat) sehinggalah bangsa Arab akan dikuasai oleh seorang lelaki daripada kalangan ahli baitku (Nabi) yang namanya sama dengan namaku (Nabi)." (Riwayat Imam Tirmizi)

2. Imam Mahdi AS adalah keturunan Nabi SAW.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: "Al Mahdi daripada keturunanku daripada anak Fatimah AS." (Riwayat Abu Daud)

3. Dahinya luas dan hidungnya mancung.

Hadis daripada Abu Said al Khudri RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda: "Al Mahdi daripadaku.

Dahinya luas dan hidungnya mancung. Dia akan memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia dahulunya dipenuhi dengan kezaliman dan dia akan menguasai selama tujuh tahun." (Riwayat Abu Daud)

4. Tempat kelahiran Imam Mahdi AS

Berkenaan dengan tempat kelahiran Imam Mahdi AS, terdapat perbezaan para alim ulama dalam menentukan tempat kelahirannya. Ada yang mengatakan bahawa beliau dilahirkan di Maghrib dan ada yang mengatakan dilahirkan di Andalus.

Tetapi pandangan yang tepat adalah di Madinah al Munawwarah seperti mana diriwayatkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib RA dan al Imam Abu Nuaim al Asfahani di dalam kitabnya berjudul al Sa'ah li Asyrath al Sa'ah, ada menyebutkan beberapa ciri-ciri yang terdapat pada diri Imam Mahdi AS:

Pertama, di bahagian bahunya terdapat tanda yang sama pada bahu Nabi Muhammad SAW

Kedua, akan berkumpul bersama-sama dengan Nabi Isa AS.

Ketiga, Nabi Isa AS akan menunaikan sembahyang di belakang beliau.

Keempat, penduduk bumi akan merasa cukup ketika beliau memerintah dan akan kelihatan banyaknya keberkatan daripada tampuk pimpinannya.

Ada sebahagian ulama mengatakan bahawa ciri-ciri Imam Mahdi AS adalah kedua-dua matanya bercelak, wajahnya bercahaya seakan-akan beliau adalah bintang yang menyinar, warna kulitnya adalah warna orang Arab.

Umurnya empat puluh tahun dan dalam sebahagian riwayat tiga puluh hingga empat puluh dan akhlak beliau seperti akhlak Nabi Muhammad SAW.

Imam Ibn Katsir menyatakan pandangannya tentang keluarnya Imam Mahdi AS di dalam kitab al Fitan wal Malahim adalah ketika turunnya Nabi Allah Isa AS, berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabi Bin Abdullah, Rasulullah SAW bersabda: "Isa bin Maryam AS turun lalu berkata pemimpin mereka (al Mahdi): Marilah solat bersama kami. Lalu Nabi Isa AS berkata: Tidak, sesungguhnya sebahagian kalian menjadi pemimpin atas sebahagian yang lain. Kemuliaan Allah kepada umat ini." (Riwayat Muslim)

Dengan adanya tanda-tanda yang diceritakan oleh Nabi Muhammad SAW melalui sabdanya, kita mengetahui tentang Imam Mahdi AS yang sebenar dan boleh kita buat perbandingan terhadap golongan yang mendakwa dirinya sebagai Imam Mahdi AS.

Bahkan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-81 pada 19 April 2012 telah membincangkan dan memutuskan bahawa ciri-ciri ajaran sesat yang disenaraikan adalah merupakan amalan, upacara dan adat istiadat yang bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Ia adalah sesat dan menyeleweng daripada akidah Islam yang sebenar serta haram dilakukan. Antaranya ialah mendakwa sebagai Imam Mahdi.

Wallahu'alam.

Penulis pendakwah bebas

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 January 2024 @ 5:59 AM