MASYARAKAT Islam perlu berpegang kepada ajaran akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
MASYARAKAT Islam perlu berpegang kepada ajaran akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Dr Azri Bhari

Mutakhir, akhbar melaporkan berkaitan pergerakan sebuah kumpulan ajaran sesat dari negara jiran iaitu Hadi Minnallah yang kini dikesan aktif di beberapa negeri di Malaysia.

Pengasas kumpulan terbabit mengaku tidak beragama menyebarkan fahaman makrifat sesat, Nur Muhammad dan pluralisme agama. Selain itu, mendakwa Tuhan tidak melihat kepada agama dan turut menolak hadis.

Seterusnya, pengasas itu juga didapati menyelewengkan tafsiran al-Quran, menganggap dirinya wali, mengharamkan makan daging dan mewajibkan pengikut membayar zakat kepadanya sebagai tanda menyucikan diri.

Allah SWT mejelaskan bahawa sudah menjadi tabiat manusia mudah terjerumus dalam kesesatan dan penyelewengan walaupun sudah menerima penjelasan dan keterangan mengenai akidah Islam.

Sifat melampau yang disebabkan kejahilan, kekeliruan dan keingkaran terhadap batasan agama menjadi punca kesesatan kebanyakan manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami telah menerangkan jalan-jalan menetapkan iktiqad dan tauhid dengan berbagai cara di dalam al-Quran ini supaya mereka beringat (memahami dan mematuhi kebenaran); dalam pada itu, penerangan yang berbagai cara itu tidak menjadikan mereka melainkan bertambah liar." (Surah Al-Isra': 41)

Golongan sesat sentiasa wujud pada setiap zaman sama ada disebabkan kejahilan, kedegilan, mempercayai ilmu daripada sumber yang tidak benar, menyandarkan kepercayaan kepada sangkaan semata-mata, sifat ego, ingin dipuja dan disanjung, keinginan untuk menjadi berbeza daripada yang lain serta tunduk kepada hawa nafsu.

Firman Allah yang bermaksud: "Sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran (iktiqad)." (Surah Al-Najm: 28)

Ada beberapa kaedah untuk mengenali ajaran sesat yang boleh dijadikan panduan kepada masyarakat Islam dalam menilai dan meneliti sesuatu ajaran yang benar atau salah.

Pertama, berlaku keajaiban dan perkara pelik serta ganjil yang tidak mampu dilakukan seseorang manusia lain. Lantaran itu, segelintir masyarakat mengangkat individu terbabit sebagai guru. Padahal tanpa disedari, individu yang diagung-agungkan itu mengamalkan ajaran sesat.

Menurut Imam al-Shafie: "Jika kamu melihat seseorang boleh terbang di udara dan boleh berjalan di atas air, jangan kamu tertipu dengannya sehingga kamu mengukur peribadi dan amalannya dengan pertimbangan neraca al-Quran dan al-Sunnah."

Sewajarnya difahami bahawa perkara yang ganjil tidak semestinya tergolong dalam 'karamah' wali, namun boleh juga berlaku dengan perantaraan sihir yang didampingi jin dan syaitan.

Kedua, pengakuan guru sebagai Tuhan atau nabi. Dakwaan pelik ini akan tertolak dengan mudah tanpa perlu kepada penelitian dan rujukan kepada ilmuan agama.

Akal yang waras akan menolak dakwaan terbabit kerana mustahil manusia yang terdedah kepada kesakitan dan kematian boleh menjadi Tuhan. Begitu juga tidak ada lagi rasul dan nabi selepas kewafatan Nabi SAW.

Sewajarnya, pengikut ajaran berfikir secara logik bagaimana guru boleh mendakwa menerima wahyu, sedangkan sahabat Nabi SAW yang jauh lebih mulia dan dijamin syurga, tidak seorang pun mendakwa pernah mendapat wahyu dari Allah SWT.

Ketiga, dakwaan menjadi Imam Mahdi yang dibangkitkan sebagai penyelamat umat pada akhir zaman. Dakwaan ini dapat dikesan pembohongan secara jelas apabila meneliti ciri-ciri Imam Mahdi yang dijelaskan oleh Nabi SAW dalam hadis yang sahih.

Contoh ciri utama Imam Mahdi ialah berketurunan Arab Quraisy. Justeru adalah sangat melucukan apabila ada individu berbangsa Melayu dan tidak mengerti Bahasa Arab, bahkan jahil dalam asas agama tergamak mendakwa diri sebagai Imam Mahdi.

Keempat, dakwaan boleh menguasai jin dan berupaya mengarahkan mengikuti arahannya dan menundukkan binatang buas di hutan. Sedangkan kelebihan terbabit hanya diberikan kepada Nabi Sulaiman AS.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya jin Ifrit telah muncul di hadapanku secara tiba-tiba pada malam tadi, Allah telah membantuku menguasainya. Aku ingin mengikatnya di salah satu tiang di antara tiang-tiang masjid sehinggalah menjelang waktu pagi supaya kamu semua dapat melihatnya. Tetapi aku kemudiannya teringat kepada perkataan saudaraku Nabi Sulaiman yang pernah berdoa: "Wahai Tuhanku, ampunilah aku, dan anugerahkanlah kepadaku kerajaan yang tidak akan dimiliki oleh sesiapa pun setelahku". Maka aku pun melepaskan (Jin Ifrit itu) pergi dengan hinanya." (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Kelima, menzahirkan amalan yang jelas bertentangan dengan amalan ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah. Contohnya, mendakwa bahawa amalan yang dilakukan umat Islam seperti solat, puasa dan rukun Islam yang lain sudah dimansuhkan.

Selain itu, terdapat contoh program anjuran sebuah kumpulan supaya berzikir dalam keadaan bertelanjang, kononnya sebagai latihan untuk menghadapi suasana Padang Mahsyar yang akan dibangkitkan dalam keadaan tidak berpakaian untuk membiasakan diri dengan suasana ketika masih hidup di dunia lagi.

Keenam, perlakuan mencerca dan mengecam tokoh Muslim terdahulu, khususnya isteri Nabi SAW serta juga Sahabat RA antaranya Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab dan lain-lain.

Golongan sebegini sudah pastinya tersesat dari landasan yang benar kerana adalah mustahil Nabi SAW menerima dan memperakui golongan yang sudah mencela isteri Nabi SAW dan Sahabat RA.

Cercaan dan kecaman terbabit jelas bertentangan dengan syariat dan tidak boleh diterima akal. Malangnya, ada segelintir masyarakat Islam yang terpengaruh dengan ajaran sesat terbabit.

Demikianlah, memelihara agama adalah tuntutan penting dalam maqasid syariah terutama ketika masyarakat Islam mendepani penularan aliran fahaman yang menyeleweng melalui pelbagai medium baharu pada era teknologi pada masa kini.

Masyarakat Islam perlu berpegang kepada ajaran akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang merupakan jalan yang betul, selamat, jelas dan tiada kekeliruan serta juga yang bersandarkan sumber al-Quran, Sunnah, ijmak dan qias.

Sinergi pelbagai pihak berautoriti seperti Jabatan Mufti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah diperlukan bagi tindakan menyekat dan membanteras penularan ajaran sesat di Malaysia.

Penulis Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (Acis) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 7:01 AM