Norhayati Nordin


BAKI Zainal adalah antara nama tidak asing dalam industri hiburan tanah air.

Apatah lagi, dia begitu dekat dengan kelompok peminatnya dalam kalangan masyarakat Cina kerana fasih berbahasa Mandarin.

Pernah dikenali sebagai pelakon dan penyampai radio di Suria FM bersama-sama Allahyarham Adibah Noor dulu, pemuda berusia 43 tahun ini bagaimanapun lebih popular sebagai pengacara program televisyen.

Banyak terbabit dengan program berbahasa Cina di ntv7 dan 8tv pada awal karier pengacaraannya, kini Baki atau nama sebenarnya, Zahamin Baki Zainal mampu berpuas hati apabila dia dilabel antara pengacara Malaysia bertaraf Asia.

Masih selesa dengan kehidupan solo, anak kelahiran Johor ini berkata, dia sekarang menjaga ibunya, Zainah Hassan, 80, yang sudah lama menetap bersama dan keutamaan penuh memang kepada ibu tersayang.

"Soal jodoh, saya serahkan pada Allah saja. Cuma, sekarang ibu saya lebih penting dan saya mengutamakan segala kebahagiaannya. Ini termasuk banyak belajar resipi masakannya kerana saya bercadang terbabit dalam perniagaan makanan.

MINAT memasak akhirnya beri peluang Baki ada program masakan sendiri.
MINAT memasak akhirnya beri peluang Baki ada program masakan sendiri.

"Alhamdulillah, walaupun saya tiada ijazah yang melayakkan untuk bergelar cef, tapi saya boleh memasak dan syukur juga kini mendapat peluang mempunyai program masakan sendiri," katanya.

Menurut Baki, dia tidak menduga inisitiaf berkongsi video memasak resipi istimewa air tangan ibunya di media sosial ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 kira-kira empat tahun lalu membuka cabang karier baharu kepadanya.

"Ketika itu, apabila sepanjang masa berkurung di rumah dan tak boleh keluar bekerja, saya fikir perlu buat sesuatu untuk aktifkan diri sendiri. Jadi, saya teringat juadah makanan enak resipi ibu yang dimasak ketika masih kecil dulu.

"Ditambah, saya juga memang rajin ke dapur dan suka memasak. Pada masa sama, saya nak bantu golongan ibu menyediakan hidangan enak untuk anak dan keluarga ketika PKP itu. Tidaklah rasa tertekan nak fikir resipi baharu.

"Tak disangka juga, video masakan saya diterima ramai sebab resipi dikongsikan sangat mudah dan boleh cepat dimasak. Kesedapan hidangan juga saya yakin dapat dirasai sebab banyak maklum balas diterima minta terus buat video masakan lagi.

"Daripada situ, saya memang selalulah memasak dan sekarang dapat pula rezeki ada program masakan sendiri. Saya teruja kerana dalam program masakan itu akan berpeluang memasak juadah unik masyarakat setempat di setiap destinasi seluruh Malaysia yang dikunjungi," katanya.

Mengulas mengenai peminat, Baki yang juga fasih berbahasa Inggeris berkata, sekarang kelompok peminatnya seimbang antara Melayu, Cina, India dan antarabangsa berbanding dulu yang dikatakan agak terarah kepada satu kaum saja.

"Sebenarnya, kemahiran saya dalam fasih berbahasa yang membawa hingga ke tahap ini dalam karier. Saya amat bersyukur dapat ketengahkan nama dan bakat sebagai insan seni tanpa sebarang kontroversi atau gosip.

"Jadi, saya ingatkan belia negara masa kini agar teruslah menimba ilmu pengetahuan hingga ke peringkat tertinggi. Walaupun platform media sosial kini boleh jana pendapatan, namun menimba ilmu jangan diabaikan," katanya.

Antara filem lakonan Baki ialah Sini Ada Hantu pada 2011, Rentap (2014) dan Juang (2022), manakala program televisyen dihoskan seperti Let's Cycle, Travel With My Love termasuk Asian Television Awards 2016 dan 2017 di Singapura.

KEUTAMAAN Baki adalah menjaga ibu tersayang, Zainah Hassan.
KEUTAMAAN Baki adalah menjaga ibu tersayang, Zainah Hassan.

Rezeki jadi 'duta masyarakat'

Baru-baru ini, Baki bersyukur dilimpahi rezeki apabila diumumkan sebagai Duta Masyarakat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi Eco-Shop yang komited dalam melindungi kelestarian alam terutama lautan.

Baki berkata, dia amat berbesar hati menerima tanggungjawab itu kerana gemar turun padang bertemu masyarakat untuk bersama-sama memupuk kesedaran pentingnya menjaga alam sekitar.

"Dalam keadaan dunia serba moden ini, saya dapati penting untuk menggerakkan pelbagai inisiatif kelestarian, berinteraksi dengan komuniti dan mempromosikan kesedaran alam sekitar melalui kempen serta acara pendidikan.

"Justeru, saya gembira menjadi sebahagian daripada misi perjuangan amalan lestari ini kerana ia diyakini mampu memberikan peluang yang luar biasa untuk memberi inspirasi kepada perubahan kehidupan positif.

"Sudah tiba masanya untuk kita semua bersama-sama berganding bahu menjadi individu dan masyarakat yang memperkasa serta mengamalkan gaya hidup mesra alam supaya lebih tenang, selamat dan hijaukan semula bumi," katanya.

Menurut Baki, sekarang sangat wajar untuk menyemarakkan kempen 'No Plastic, Go Eco' sebagai langkah menerapkan amalan mesra alam dengan pengguna tidak lagi terlalu bergantung pada penggunaan beg plastik dalam kehidupan harian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 6:00 AM